Komen-Komen Pilihan Dalam Facebook (siri 43)
Suburkah
demokrasi dalam UMNO? Soalan ini sukar dijawab, tetapi merujuk kepada
kenyataan MB Negeri Sembilan DS Mohamad Hasan, UMNO masih bertatih dalam
melaksanakan demokrasinya. Ini kerana peraturan dalam pemilihan UMNO
ketat sekali sehingga calon tidak boleh berkempen secara bersendirian
bagi bertemu dengan ahli UMNO. Beliau berkata, jawatan ketua kelas pun
kena kempen inikan pula bertanding untuk merebut jawatan tertinggi parti?
Kaburnya demokrasi dalam UMNO boleh diperkukuhkan lagi dengan sekatan
yang dikenakan ke atas ahlinya yang ingin bertanding. Semalam saya
bercerita panjang dengan Dr Najmil Faiz Mohamed Aris, seorang anak muda
yang berhasrat untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala
Terengganu, tetapi disekat atas alasan pencalonan beliau tidak layak
kerana bertentangan dengan Fasal 15.5 Perlembagaan UMNO, iaitu:
“Calon-calon yang ingin bertanding untuk mana-mana jawatan Ahli
Jawatankuasa Bahagian hendaklah mendaftarkan dirinya dan telah menjadi
ahli sekurang-kurangnyua tiga (3) tahun.”
Anehnya Dr Najmil
adalah ahli UMNO semenjak tahun 2009 lagi dan adalah Ketua Pergerakan
Pemuda UMNO Cawangan Taman Setia Burung Kuala Terengganu yang dipilih
pada 22 Jun 2010 dan dipilih semula sebagai Ketua Pemuda Cawangan yang
sama pada 23 Ogos 2013. Rekod keahliannya menunjukkan beliau telah
menjadi ahli UMNO melebihi dari tiga tahun.
Tetapi kerana
persaingan dalam politik Bahagian dan Negeri, pencalonannya ditolak atas
alasan tidak mematuhi Fasal 15.5. Penolakan terakhir adalah surat yang
diterimanya dari Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu bertarikh 1
Oktober.
Dr Najmil adalah anak muda yang luar biasa
pencapaiannya. Pada tahun 2005, beliau menjadi anak Malaysia pertama
diberikan penghormatan untuk membentangkan tesis PhDnya di Parlimen
Britain. Pembentangan beliau mengenai teknologi nano membuatkan para
tetamu terhormat dan saintis yang hadir di House of Commons terpegun.
Kajian beliau kemudiannya dinobatkan sebagai Prospek Terbaik untuk
industri pembuatan.
Melihat kepada kes Dr Najmil ini, saya
tertanya: Jika kempen pemilihan pun calon disekat dengan pelbagai
peraturan dan pantang larang, bilakah UMNO akan terbuka untuk menerima
perubahan ke arah yang lebih demokratik? Jika hasrat anak muda untuk
bertanding pun dikuburkan, bilakah UMNO akan dapat mencari barisan
pelapis kepimpinannya yang berwibawa? Jika begitulah sikap pemimpin UMNO
yang kerjanya mencantas orang baru untuk muncul dalam politik, saya
tidak tahu bila UMNO akan berubah.
Merenung ke depan, saya semakin pesimis dengan perubahan dalam parti UMNO. Semoganya itu persepsi saya sahaja!
No comments:
Post a Comment