Thursday, 17 October 2013

Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh (siri 35)


Isu hutang UMNO Bahagian Pasir Puteh semasa era YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor sedang digunakan oleh penyokong-penyokong YB Cikgu Zawawi Othman, penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh sebagai bahan-bahan serangan utama disaat-saat akhir secara terbuka keatas YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor.

Saya tidak membantah isu ini dipermainkan jika saya hanya tahu bahawa hutang-hutang seperti itu wujud semasa era UMNO Bahagian Pasir Puteh berada dibawah kepimpinan YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor sahaja. Setahu saya, hutang sudah mula ada sejak dari era kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh dibawah Ketua UMNO Bahagian yang pertama lagi iaitu Allahyarham Tuan Hj Abdul Rahman Yusoff pada tahun 1957. Hutang-hutang itu kemudian berada dibawah kepimpinan YBhg Dato' Hj Mohamad Idris dan seterusnya beralih dibawah kepimpinan YBhg Datuk Hj Mohd Jelani Jaafar. Semasa YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor mengambilalih dari YBhg Datuk Hj Mohd Jelani Jaafar, hutang-hutang itu sudah pun bertambah. Oleh itu, jikalaulah YB Cikgu Zawawi Othman pula yang mengambilalih dari YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor pula, sudah tentulah hutang-hutang seperti itu adalah sesuatu yang bukan luar biasa.

Inilah juga yang terjadi apabila BN mengambilalih pemerintahan negeri Kelantan daripada tangan PAS dulu. Kemudian PAS pula mengambilalih dari BN pun dengan kerajaan negeri ada hutang.

Oleh itu, jika seseorang Ketua UMNO Bahagian tidak mahu mengambil tanggungjawab untuk menanggung hutang dan berusaha untuk melangsaikannya, maka saya berpendapat lebih baiklah seseorang itu tidak memegang jawatan Ketua.

Orang sudah lupa tetapi saya tidak. Jasa YBhg Datuk Hj Kamarusddin Md Nor bukanlah kecil terhadap UMNO Bahagian Pasir Puteh. Banyak jasa-jasanya terhadap orang-orang UMNO termasuk jugalah terhadap sesetengah pemimpin utama UMNO Bahagian secara peribadi. Sebagai contoh, beliau telah mengambil inisiatif untuk mengubahsuai pejabat UMNO Bahagian Pasir Puteh yang melibatkan kos sebanyak RM300 ribu. Kalau sebelum itu, pejabat berada di dalam keadaan yang sangat daif, tetapi kedaannya berubah sama sekali. Banyak bilik-bilik dibuat baru, dewan diperbaiki dan diubahsuai dan daripada kipas tukar kepada penghawa dingin. Kos sebanyak itu telah ditanggung oleh YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor dengan wang poketnya sendiri tanpa satu sen pun terlibat dengan wang parti. Saya tidak lupa kerana saya bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan UMNO Bahagian Pasir Puteh pada masa kerja-kerja ubah suai itu siap. Selain daripada itu, arwah ayah saya pula ialah Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Pasir Puteh sebelum itu iaitu sebelum pejabat diubahsuai. Oleh itu, kemudahan yang sedang dikecapi oleh Ketua UMNO Bahagian sekarang adalah dari jasa-jasa YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor.

Jika kita bercakap tentang hutang lagi, orang sudah lupa juga bahawa dalam manifesto pilihanraya BN 2004, BN ada memuatkan janji untuk menghapuskan cukai tertunggak jika BN dapat memerintah negeri Kelantan. Oleh itu, walaupun BN gagal, tidakkah menjadi sesuatu yang janggal jika hutang-hutang itu hendak dilunaskan juga jika kita yakin pada PRU13 yang lalu BN dapat mengambilalih negeri Kelantan?

Orang juga sudah lupa bahawa hutang negara pun semakin terkumpul setiap kali berlakunya pemindahan kuasa Perdana Menteri Malaysia. Sebagai contoh, sewaktu YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mengambilalih dari Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi, hutang negara sudah besar juga jumlahnya. Sekarang hutang itu ialah sebanyak RM40 bilion.  

Tentang isu kedua iatu ramainya orang-orang UMNO hadir disatu-satu perjumpaan itu pula, saya berpendapat siapa pun yang jadi Ketua, kehadiran tetap juga ramai kerana tetamu jemputan yang datang itu ialah YAB PM (dua kali) dan YAM TPM (sekali) secara berasingan.

Oleh itu, saya ingin menasihatkan penyokong-penyokong penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh supaya melihat isu hutang dan kehadiran itu secara lebih luas dan berfakta. Kata-kata kasar dan kesat semata-mata dengan tujuan untuk menghina dan menjatuhkan maruah YBhg Datuk Hj Kamaruddin Mohd Nor sebagai pencabar bukanlah satu tindakan yang bijak dan matang. Jika tidak, ubahlah dulu perlembagaan parti supaya jawatan Ketua UMNO Bahagian tidak dipertandingkan lagi selepas ini.

Ini semua adalah kerana saya tidak mahu menulis apa-apa tentang bagaimana cara YB Cikgu Zawawi Othman menang sewaktu beliau menentang YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor dalam pemilihan pada 8 Nov 2008 yang lalu. Perkara yang lepas biarlah lepas walaupun banyak yang saya tahu kerana saya menyebelahi YB Cikgu Zawawi Othman ketika itu dengan cara menulis sebanyak 7 artikel untuknya. Apa yang penting bagi saya ialah sikap hormat menghormati diantara satu sama lain supaya dengan itu penyokong kedua-dua belah pihak tidak berbalah dan bersengketa secara berlebih-lebihan. Siapa yang menang nanti masih juga perlu terus menghormati yang kalah, bahkan kalau boleh diberikan tempat dalam parti untuknya. Cara inilah barulah perpaduan parti dapat dicapai dengan cemerlang. Peranan YB Cikgu Zawawi Othman masih lagi ada untuk parti sebagai wakil rakyat kalau pun beliau kalah. Namun, kewajipan sebagai seorang wakil rakyat hendaklah dibuat dengan sempurna. Janganlah lagi teruskan amalan 'absent' dari menghadiri sidang dewan sehingga orang bercakap bahawa sejak menjadi YB hanya dua kali sahaja setakat ini hadir.

Percayalah.

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas

No comments:

Post a Comment