Tuesday, 29 October 2013
Perpaduan Orang-Orang Melayu dan PERKASA
Saya ada menulis beberapa kali tentang persoalan ini. Bagi saya agenda perpaduan orang-orang melayu ini hanya boleh dilaksanakan melalui percantuman semula dua parti terbesar orang-orang melayu iaitu UMNO dan PAS sahaja. Gabungan lain tidak akan membawa kepada matlamat ini.
Namun, buat pada masa ini tidak ada mana-mana pihak yang melakukan usaha ini secara agresif dan berkesan. Orang-orang melayu masih lagi leka berbalah sesama sendiri terutamanya diantara orang-orang UMNO dan PAS. Hanya disebabkan berbeza ideologi politik, orang-orang melayu sanggup melupakan kepentingan bersama dan juga masa depan anak-anak bangsa sendiri. Orang-orang melayu lupa bahawa hari ini belum tentu menjanjikan esok yang selamat dan selesa untuk generasi yang akan datang. Mana mungkin keselesaan yang sedang dinikmati ini akan kekal apabila kesatuan orang-orang melayu hancur dan orang lain pula mengambilalih kuasa politik tanah air? Siapa yang boleh menjamin bahawa pada masa itu anak-anak bangsa kita boleh lagi menikmati kemudahan dan keselesaan sepertimana sekarang?
Saya yakin, jauh dibenak hati setiap orang melayu bersetuju bahawa satu adalah lebih baik daripada dua yang berpecah walaupun jumlah satu itu kurang daripada dua kerana satu itu akan menghadapi dengan satu yang lain pula dengan lebih gagah dan kuat.
Pada masa PERKASA ditubuhkan pada tahun 2008, orang melayu merasa seperti sudah mulai ada organisasi yang akan membela orang-orang melayu secara keseluruhan kerana parti-parti politik hanya membela ahli-ahlinya sahaja masing-masing. Orang-orang melayu memberikan perhatian kepada NGO ini kerana ianya dipimpin oleh seorang yang dikenali sangat aktif dan agresif dalam isu-isu besar yang melibatkan kepentingan orang-orang melayu sebelum ini.
Sekarang PERKASA sudah mencapai umur 5 tahun. Kalau budak kecil, umur ini masih belum boleh bersekolah tetapi PERKASA bukanlah budak kecil. PERKASA adalah sebuah pertubuhan besar yang mampu menduduki persada negara bagi orang-orang melayu. PERKASA boleh menjadi 'penghulu' kepada semua NGO-NGO melayu yang lain dalam negara jika usaha dan kerja menyatukan orang-orang melayu dijadikan sebagai keutamaan dalam agenda perjuangannya.
Bila saya berkata 'orang-orang melayu', saya merujuk kepada semua orang-orang melayu. Tidak kiralah samada orang melayu itu orang UMNO atau orang PAS atau orang PKR atau pun orang yang tidak berparti. Tidak kiralah samada orang melayu itu muda atau tua. Tidak kiralah samada orang melayu itu pelajar atau sudah bekerja atau sudah pencen. Semuanya orang melayu.
Inilah yang sepatutnya dilihat oleh kepimpinan PERKASA. Namun, saya dapati kepimpinan PERKASA masih belum mencapai tahap kedewasaannya dalam keupayaan melihat dari sudut atau perspektif ini. Perlembagaannya mungkin sudah lengkap tetapi saya yakin bukan semua perkara di dalamnya dapat difahami dan dijiwai sepenuhnya.
Sebab itulah apabila majlis penubuhan dan perasmiannya dibuat di Pasir Puteh beberapa tahun yang lalu, saya kurang bersetuju apabila 99% yang hadir pada malam itu adalah orang-orang UMNO. Saya tertanya-tanya mengapa tidak ada orang-orang PAS bersama padahal PERKASA bukan sebuah parti politik seperti UMNO atau PAS. Apakah yang salahnya mengikut perlembagaan PERKASA jika orang-orang PAS juga menyertainya?
Jika jawapannya tidak salah, saya harap usaha mula dibuat dari sekarang secara bersungguh-sungguh supaya orang-orang PAS dan PKR pun mula masuk PERKASA. Cara bagaimana saya tidak tahu kerana itu ialah kerja kepimpinan PERKASA disetiap daerah atau kawasan. Merekalah yang sepatutnya mencari ilham dan melakukan usaha-usaha ini. Jika tidak mampu, eloklah diberikan laluan kepada orang lain pula untuk memimpin.
Zaman sekarang ialah zaman dimana orang-orang melayu memerlukan pemimpin yang bersifat 'jantan' bukan 'betina' atau 'pondan'. Zaman yang memerlukan pemimpin yang banyak 'bertindak' bukan banyak 'bercakap'.
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment