Thursday, 23 August 2012

MyDiary (88)


MyDiary (88)
23 Ogos 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

UMNO PASIR PUTEH DAN SIKAP MATERIALISMA KEPIMPINANNYA

Apabila seseorang itu hendak ke Mekah, niatnya pun sudah dianggap sebagai sesuatu yang sangat mulia walaupun orang yang berniat itu belum pun ada wang untuk membolehkannya ke sana. Pada kebiasaanya, niatnya itu akan ditunaikan juga oleh Allah SWT akhirnya selagi seseorang itu ikhlas dan bersungguh-sungguh dengan tekadnya itu sambil berusaha mengumpul duit.

Begitu jugalah saya anggap dalam perjuangan politik oleh kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh. Niat mereka hendak memenangkan parti dalam pilihanraya umum ke-13 juga adalah sesuatu yang sangat mulia kerana niatnya itu adalah demi agama, bangsa dan negara walaupun jalannya penuh ranjau dan duri.

Mereka memikul tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin parti di barisan hadapan untuk menentukan parti mencapai kemenangan. Merekalah orang-orang yang terlebih dahulu menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan sebelum kejayaan dicapai. Merekalah orang-orang yang akan menerima ucapan tahniah jika parti menang tetapi mereka jugalah orang-orang yang akan menerima cemuhan dan kutukan jika sebaliknya pula.

Kedua-dua objektif di atas itu ada perbezaannya. Seseorang yang hendak ke Mekah adalah untuk dirinya sendiri sedangkan perjuangan parti adalah untuk seluruh orang-orang melayu dan juga negara. Perhimpunan di Mekah melibatkan kepentingan umat Islam dari seluruh dunia sedangkan perhimpunan di dalam UMNO melibatkan kepentingan orang-orang melayu dalam Malaysia.

Namun, kedua-duanya sama sahaja dari segi keperluan asasnya. Kedua-duanya memerlukan bekalan kewangan yang mencukupi. Tidak mungkin seseorang itu dapat menunaikan hajinya jika sekiranya wang di dalam tabungnya belum mencukupi. Begitu jugalah, tidak mungkin seseorang pemimpin itu dapat menunaikan tugas dan tanggungjawabnya sebagai pemimpin UMNO jika wang untuk minyak keretanya pun tidak ada. Apatah lagi untuk menjalankan program parti yang sudah tentu memerlukan peruntukan yang lebih besar.

UMNO Pasir Puteh dilihat masih menghadapi masalah ini secara berpanjangan. Peruntukan tidak ada untuk membolehkan program-program parti dijalankan. Kalau pun ada, tidak mencukupi. Di DUN Semerak contohnya, program parti masih belum rancak dijalankan kecuali beberapa program kecil seperti berbuka puasa dan ‘makan colek’ pada bulan Ramadan yang lalu itu. Itu pun, banyak daripadanya dibiayai oleh orang-orang tertentu.

Apakah UMNO Bahagian Pasir Puteh tidak pernah diberikan sebarang peruntukan oleh UMNO Pusat selama ini? Apakah tiada langsung sumber kewangan dari mana-mana pihak untuk membolehkan UMNO Pasir Puteh menjalankan aktiviti-aktiviti politiknya selama ini? Apakah pada masa-masa yang lalu UMNO Pasir Puteh terpaksa mencari sendiri sumber kewangannya?

Terdapat berbagai-bagai pendapat oleh orang ramai tentang persoalan ini. Ada yang berkata bahawa setiap UMNO Bahagian sememangnya dibekalkan sejumlah peruntukan setiap bulan atau setiap tahun oleh UMNO Pusat untuk membolehkan setiap Bahagian itu menjalankan aktiviti politiknya. Ada juga yang berkata mereka tidak tahu menahu tentang perkara ini walaupun mereka memegang jawatan parti diperingkat Bahagian juga.

Jikalaulah UMNO Pasir Puteh sememangnya dibekalkan sejumlah peruntukan seperti yang didakwa itu, mengapa perkara ini tidak diketahui oleh orang-orang parti sendiri? Dimanakah semua wang itu dan mengapa tidak dibelanjakan mengikut arahan UMNO Pusat? Beginilah bunyinya apa yang dipercakapkan oleh orang ramai mengenai perkara ini sejak akhir-akhir ini.

Tiada sesiapa yang mengetahui jawapannya kecualilah orang yang memegang jawatan terpenting parti itu dan Bendahari UMNO Bahagian Pasir Puteh sahaja. Mereka berdua sahajalah yang betul-betul tahu tentang perkara ini. Mereka berdua sahajalah yang boleh menentukan samada orang-orang lain perlu tahu atau pun tidak. Itu hak mereka kerana tidak ada di dalam perlembagaan parti yang menyebut bahawa setiap sen yang dimasukkan ke dalam akaun parti hendaklah diumumkan kepada setiap orang lain yang memegang jawatan parti diperingkat Bahagian pada setiap masa kecualilah pada masa Mesyuarat Perwakilan Bahagian apabila Penyata Kewangan dibentangkan.

Ini bermakna bahawa orang-orang parti diperingkat Bahagian hanya berhak untuk memberikan cadangan sahaja tetapi yang menentukan samada sesuatu program itu dibiayai atau pun tidak adalah hak mutlak kepimpinannya. Beliaulah yang berhak menentukan samada program yang dirancang itu boleh dilaksanakan atau pun sebaliknya. Jika beliau bersetuju, peruntukan parti akan dikeluarkan. Jika sebaliknya, peruntukan lain hendaklah dicari sendiri.

Inilah yang sudah sekian lama berlaku di UMNO Bahagian Pasir Puteh sejak kepimpinan baru mengambilalih pada 8 November 2008 yang lalu. Sebelum ini, persoalan seperti ini tidak pernah dipercakapkan oleh orang ramai terutamanya ahli-ahli UMNO. Mungkin kepimpinan terdahulu lebih telus agaknya didalam soal ini.

Saya bukan berniat hendak cuba menuduh mana-mana pihak didalam hal ini. Apa yang penting ialah pendapat ahli-ahli UMNO itu hendaklah diambilkira iaitu peruntukan yang diperolehi (jika ada) hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya. Jika peruntukan itu sepatutnya dibelanjakan untuk membiayai program parti, maka sewajarnyalah ianya dikeluarkan mengikut keperluan itu.

Ahli-ahli UMNO sekadar tidak mahu melihat ada orang yang menyalahgunakan kuasa menjadikan UMNO sebagai alat untuk memperkayakan diri sendiri dengan cara mengalihkan peruntukan kepada akaun kroni-kroni, contohnya. Mereka juga tidak mahu separuh sahaja dari peruntukan itu digunakan dengan separuh lagi digunakan pula kemudian nanti untuk kepentingan kempen peribadi semasa pilihanraya atau pemilihan, contohnya. Mereka tidak mahu melihat ada orang yang menjadi jutawan segera selepas berhenti memegang jawatan parti sedangkan sebelum ini tidak sedemikian kecualilah jika orang itu sudah ada empayar perniagaan sendiri sebelum memegang jawatan penting parti.

Itulah harapan semua ahli-ahli parti UMNO terutama yang tidak memegang jawatan parti dan itulah hak mereka apabila mereka memilih pemimpin mereka.

Janganlah niat awalnya ikhlas, tetapi menjadi nafsu dan tamak haloba yang memakan diri sendiri akhirnya.

“BERSATU”   “BERSETIA”   “BERKHIDMAT”

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment