MyDiary (85)
15 Ogos 2012
(Saya akan
sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau
pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya
selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai
sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita
supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak
kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting
bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan
mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari
mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).
KEKALAHAN BN DI DUN SEMERAK BAKAL BERPUNCA DARIPADA DUA (2)
PERKARA UTAMA (JIKA TIDAK DITANGANI SEGERA)
Saya tahu saya tidak sepatutnya menulis perkara seumpama ini
sebagai seorang ahli UMNO, apalagi jikalau menulis perkara yang sama berulang kali.
Namun, sebagai seorang penulis bebas, saya sekadar ingin menyuarakan sesuatu
yang benar walaupun berulang kali dan pahit rasanya.
Pada ketika ini, masa untuk UMNO Bahagian Pasir Puteh
memperbetulkan dua perkara di atas itu sudah agak terlalu lewat dan suntuk
masanya kerana kedua-dua perkara itu tidak boleh diperbetulkan dan dibina kekuatannya dalam masa
yang singkat.
Perkara yang pertama ialah perpaduan parti. Sampai sekarang
usaha menyatukan semula dua kelompok terbesar yang sedang berpecah tidak pernah
dibuat. Perpecahan yang berlaku diantara dua kelompok ini sudah tidak menjadi
rahsia lagi. Semua orang sudah lama tahu kerana ianya bermula sebaik sahaja
tamat pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh pada 8 November 2008.
Pada mulanya perpecahan ini tidak berlaku secara ketara dan
besar tetapi oleh kerana kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh terus
membiarkannya, maka perpecahan itu sudah menjadi semacam barah di dalam parti
UMNO Pasir Puteh. Pada masa selewat ini, saya tidak nampak sebarang usaha
dilakukan lagi dan ini menjadi petanda bahawa perpecahan akan berlarutan
sehingga PRU13. Pada masa itu, bayangkanlah akibatnya. Sudah tentulah yang
menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu kerana parti sendiri jugalah yang
akan mengalami kekalahan.
Saya berkata bahawa kepimpinan UMNO Pasir Puteh tidak
mengambil kisah tentang perkara ini kerana dalam setiap perjumpaan atau
mesyuaratnya, masalah ini tidak kedengaran difokuskan. Mereka lebih suka
memberi arahan kepada petugas-petugas parti supaya bendera-bendera parti
diperbanyakkan di tepi-tepi jalan contohnya. Mereka lebih suka menganjurkan
majlis berbuka dan ‘makan colek’ sesama mereka kalau dibulan puasa contohnya.
Mereka lebih suka juga mengadakan majlis penyampaian zakat contohnya tetapi semua
itu dilakukan oleh orang-orang tertentu yang ingin mencari nama dan populariti
semata-mata supaya mereka dapat menjadi calon pilihanraya. Sebab itu, mereka
sangat gemar jikalau gambar mereka diambil dan dipaparkan ke dalam akhbar atau
Facebook.
Mereka tidak mahu memikirkan apa yang akan terjadi kepada
parti di dalam pilihanraya nanti jika perpaduan parti tidak ditangani. Yang
penting bagi mereka hanyalah populariti dan nama tersenarai sebagai bakal calon
pilihanraya sahaja. Mereka masih tidak sedar bahawa ADUN Semerak telah membina
dan menjalin hubungan yang rapat sesama pengundi-pengundi PAS DUN Semerak
sambil mengawal suasana supaya tiada perpecahan berlaku dikalangan mereka.
Perkara kedua yang dijangka akan menyumbang kepada kekalahan
UMNO dan BN di DUN Semerak ialah faktor pengundi-pengundi luar. Faktor kedua
ini sudah dianggap sebagai sesuatu yang tidak mungkin boleh dibuat apa-apa lagi
oleh UMNO Pasir Puteh dan perkara ini pun bukan rahsia lagi kerana semua orang
sudah lama juga tahu tentang hal ini.
Sebahagian besar pengundi-pengundi luar itu sudah berada di
dalam genggaman ADUN Semerak. Kepimpinan UMNO Pasir Puteh membiarkan ADUN
Semerak ini membina hubungannya dengan pengundi-pengundi luar ini sehingga
kepada peringkat ianya sudah boleh menjamin kemenangannya dalam pilihanraya
nanti kerana pengundi-pengundi luar ini sudah pun memberikan jaminan mereka
untuk pulang dan mengundi beliau. Oleh itu, kemenangan beliau sudah dianggap
pasti, bahkan majoriti pun dijangka akan bertambah berbanding PRU12.
Saya tidak tahu samada benar-benar
dibuat 'post-mortem' selepas PRU12 dulu dan 'post-mortem' itu dijadikan asas
oleh UMNO Pasir Puteh dalam mengatur langkah menghadapi PRU13 pula. Saya yakin
jikalau 'post-mortem' itu dibuat, dua perkara ini (3PL) telah dikenalpasti
sebagai diantara penghalang utama kemenangan BN di Semerak tetapi masih
diabaikan oleh kepimpinan UMNO Bahagian PP sehingga sekarang. Ini belum lagi
termasuk kerja-kerja kecil seperti medekati pengundi-pengundi tempatan secara
peribadi dan usaha-usaha lain yang boleh membina sokongan kepada parti.
Bukan soal memperbanyakkan bendera
dacing di tepi-tepi jalan sahaja (sepertimana yang dikehendaki oleh kepimpinan
UMNO Pasir Puteh melalui Bendahari Bahagian dalam mesyuaratnya dengan Pemuda
UMNO Semerak baru-baru ini) yang boleh memenangkan parti UMNO, tetapi dua perkara
penting itulah yang sepatutnya ditangani dan dijadikan agenda terbesar parti.
Saya menjangkakan ramai ahli-ahli
UMNO sendiri di Semerak akan mulai merasa kecewa jika mereka mengetahui bahawa
kepimpinan UMNO Pasir Puteh tidak mahu berbuat apa-apa. Oleh itu besar
kemungkinan semangat dan sokongan mereka menurun pada musim pilihanraya nanti.
Akibatnya, ramai diantara mereka mungkin membuat keputusan untuk tidak mahu
keluar mengundi kerana mengetahui undi mereka akan menjadi sia-sia sahaja dan
tidak boleh merubah keadaan..
Akibatnya, orang-orang UMNO
terpakasa menunggu lima tahun lagi kerana lima tahun yang lalu telah
dipersia-siakan dan pada masa yang akan datang keadaan akan menjadi lebih sukar kerana kemungkinan orang-orang
UMNO pun ramai yang sudah lari ke parti lain kerana tidak lagi yakin dengan
kepimpinannya.
Akibat dan kesan akhirnya pula ‘at
the end of the day’, tinggallah UMNO Pasir Puteh dengan orang-orang yang menang
jawatan parti sahaja tetapi UMNO sendiri kalah dan kalah dalam setiap
pilihanraya.
Moga-moga tulisan saya kali dianggap
sebagai kemuncak ‘amaran’ saya kepada kepimpinan UMNO Pasir Puteh supaya segera
berbuat sesuatu. Jika pun masalah pengundi-pengundi luar tidak sempat ditangani
atau berbuat apa-apa lagi, sekurang-kurangnya tanganilah masalah perpaduan
parti.
Bagi pihak saya sendiri selaku ahli
UMNO, saya akan sentiasa membantu sekadar yang terdaya melalui kaedah penulisan
seperti ini dengan mencari isu atau bahan politik tempatan yang relevan dalam
usaha saya ‘menyerang’ ADUN dan parti PAS Semerak. Selebihnya, terpulanglah
kepada kepimpinan UMNO Pasir Puteh..
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.
No comments:
Post a Comment