MyDiary (87)
17 Ogos 2012
(Saya akan
sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau
pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya
selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai
sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita
supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak
kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting
bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan
mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari
mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).
PROGRAM KOSMETIK UMNO BAHAGIAN PASIR PUTEH
Saya yakin kritikan keras saya sebelum ini tentang kegagalan
perpaduan parti dan pengundi luar atau 3PL itu telah mendapat perhatian dan
tindakan segera oleh kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh.
Oleh itu, saya ingin mengambil sedikit kesempatan di sini
untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada kepimpinan UMNO Bahagian Pasir
Puteh. Sekurang-kurangnya usaha sudah
dibuat walaupun sudah terlewat.
Pada masa ini, orang-orang Pasir Puteh yang tinggal di Kuala Lumpur dan di
lain-lain tempat sudah mulai pulang ke Kelantan untuk berhari raya di kampung
masing-masing. Ada
yang pulang menaiki bas, ada juga dengan kapal terbang. Ada yang memandu bersama keluarga, ada juga
dengan keretapi. Ramainya orang-orang Pasir Puteh yang tinggal atau bekerja di
Kuala Lumpur dan di tempat-tempat lain boleh dilihat setiap kali hari raya
Aidil Fitri dan Aidil Adha menjelang tiba apabila mereka semua pulang ke Pasir
Puteh. Mereka tidak sebegitu ramai untuk pulang pada hari cuti-cuti yang lain.
Kepulangan mereka pada tahun ini menyaksikan sedikit
kelainan. Kalau ditahun-tahun yang lalu, tiada sesiapa menyambut mereka di
sempadan Terengganu/Kelantan contohnya, tetapi pada tahun ini ada kain rentang
dengan kata-kata menyambut kepulangan mereka. Di situ, mereka akan ditahan oleh
beberapa orang yang memakai baju merah dan apabila cermin pintu diturunkan,
salam dihulur dan disusuli dengan pertanyaan ‘apa khabar dan dari mana’.
Pemandu kenderaan yang ditahan itu pun menjawab ‘dari KL’ contohnya, sambil
tangannya menerima sebuah beg plastik yang ada isi di dalamnya. Penyambut dan pemandu
pun sama-sama mengucapkan terima kasih sambil berlalu dengan penuh senyuman.
Bagi yang menyambutnya tadi, hatinya berharap orang itu
faham bahawa sambutan beserta buah tangan itu bermakna. Hatinya berharap orang
itu tadi adalah pengundi luar yang akan pulang lagi nanti ke Pasir Puteh untuk
mengundi BN apabila PRU13 diumumkan. Seorang demi seorang pemandu ditahannya.
Sudah tentulah jumlah kenderaan yang lalu pada masa ini sangat banyak dan sudah
tentulah harapan penyambut-penyambut seperti itu tadi setinggi gunung supaya
mereka semua adalah penyokong-penyokong parti UMNO dan BN.
Itu semua hanyalah ‘harapan’ semata-mata. Mana mungkin
penyambut itu tadi boleh bertanya kepada pemandu yang ditahannya itu
soalan-soalan seperti “demo parti gapo?” atau berkempen “pakoh dacing deh!”.
Sebab itulah saya telah tekankan dari awal-awal dulu lagi
supaya kepimpinan UMNO Pasir Puteh jangan melengah-lengahkan masa dalam soal
menarik sokongan pengundi-pengundi luar ini. Kaedahnya hendaklah awal dan
dilakukan dengan cara “outreach” iaitu kepimpinan sendiri pergi ke Kuala Lumpur contohnya,
untuk menemui mereka secara peribadi dan juga secara berkumpulan. Dengan cara
ini, barulah dapat dipastikan siapa yang benar-benar berstatus ‘pengundi luar’
dari Pasir Puteh itu. Dengan sekadar menahan mereka di sempadan sahaja, kita
tidak boleh tahu yang mana pengundi luar Pasir Puteh dan yang mana bukan tetapi
apabila kenderaan itu ditahan, mahu tidak mahu kita terpaksa menganggap mereka
sebagai pengundi luar Pasir Puteh juga walaupun bukan. Maka, lain yang disasar,
lain yang terkena. Sehari suntuk berpenat lelah, hasilnya belum tentu berbaloi.
Buah tangan habis, undi belum tentu.
Program itu melibatkan kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh.
Kita tengok pula program yang melibatkan sayapnya iaitu Pemuda UMNO
Bahagian Pasir Puteh yang juga berkaitan dengan pengundi-pengundi luar.
Semalam telah diadakan satu program ‘Makan Colek’ peringkat
Pemuda UMNO DUN Semerak di sebuah warong di tepi jalan pekan Semerak untuk
meraikan pengundi-pengundi luar Semerak yang mana sudah pulang untuk
berhariraya. Program itu sangat berjaya kerana jumlah kehadirannya yang sangat
besar. Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada
Pemuda UMNO DUN Semerak kerana mampu menarik sebegitu ramai orang ke majlis
ini.
Kepimpinan Pemuda UMNO Bahagian dilihat sangat berpuas hati
dengan kejayaan program itu termasuk jugalah Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh
sendriri yang turut hadir dan berucap. Mereka menganggap bahawa ini juga sebagai
petanda UMNO/BN Semerak akan mencapai kejayaan di dalam PRU13 nanti. Kepimpinan
Pemuda berhak merasa begitu walaupun pada hakikatnya, jumlah pengundi luar yang
hadir itu bukan sebenarnya boleh lagi dianggap sebagai lambang kejayaan kerja
Pemuda UMNO DUN Semerak dalam PRU13 nanti.
Saya yakin mereka pun tahu bahawa jumlah itu tidak boleh
dijadikan kayu ukur kejayaan dalam PRU13 ini kerana jumlah pengundi-pengundi
luar yang hadir dan dibangga-banggakan itu masih lagi jauh berbanding dengan
jumlah yang sudah berjaya digenggam oleh ADUN PAS Semerak.
Sebab itulah, kedua-dua program parti UMNO itu saya labelkan
sebagai program kosmetik kerana ianya dibuat hanya untuk menunjuk-nunjuk
sahaja. Hati pengundi-pengundi luar ini tidak juga dapat diselami dan
dipastikan kerana mereka tidak pernah diziarahi sebelum ini di tempat mereka
oleh kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.
No comments:
Post a Comment