Friday, 10 August 2012

MyDiary (82)


MyDiary (82)
11 Ogos 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

AKTIVITI 'MAKAN COLEK' ORANG-ORANG UMNO PASIR PUTEH DIBULAN RAMADHAN

Sepertimana biasa setiap tahun, aktiviti utama orang-orang UMNO ialah ‘makan colek’ bersama kawan-kawan selepas solat tarawih sepanjang bulan Ramadhan. Tahun ini, aktiviti ini tetap popular seperti pada tahun-tahun yang lepas, bahkan mungkin lebih meriah dan lebih ramai penyertaannya.

Dimana-mana sahaja hampir setiap malam aktiviti ini dianjurkan. Semuanya sudah tentulah di kedai-kedai makan atau warung-warung, bukan di rumah-rumah. Ada colek buah, ada colek ayam. Ada juga yang sekadar minum sahaja kerana sudah kenyang, ada juga yang terus bersahur kerana isteri tiada di rumah.

Tempatnya mungkin berbeza-beza. Orang pun mungkin berbeza-beza juga kumpulannya. Ada yang berkumpul dengan kawan-kawan biasa, ada yang berkumpul dengan ahli-ahli sesuatu kumpulan tertentu.

Yang menjadi persamaannya ialah hampir semua acara ‘makan colek’ dibulan puasa ini dianjur dan dibiayai oleh individu-individu tertentu. Jarang kedengaran apabila majlis ini diadakan, bayaran makan dan minumnya dibayar sendiri oleh masing-masing orang yang hadir.

Yang menjadi persamaannya juga ialah setiap yang membiayai acara ‘makan colek’ itu terdiri daripada tokoh-tokoh politik yang sedang mencari pengaruh dan populariti. Mereka semua menggunakan kesempatan dibulan puasa mengumpul kawan-kawan dengan tujuan tertentu.. Ada yang hendak berbincang tentang bagaimana hendak memperkukuhkan parti didalam menghadapi PRU13 ini. Tak kurang juga yang berkisar kepada hal-hal peribadi. Semua ini dapat diketahui melalui paparan di dalam Facebook kerana hampir setiap acara itu ada dipaparkan di dalamnya oleh mereka yang aktif melibatkan diri mereka sebagai ahli di dalam sesuatu kumpulan.

Begitulah saban tahun ‘trend’ ini dilihat berlaku di mana-mana apabila sahaja bulan Ramadhan tiba. ‘Makan colek’ menjadi budaya yang sudah sebati dengan jiwa orang-orang Kelantan di bulan Ramadhan. Selepas bulan ini, tiadalah lagi kesempatan seperti ini kerana kedai-kedai makan atau warung tidak lagi menjual ‘colek’ seperti biasa kecuali kedai-kedai tertentu sahaja. Oleh itu, orang-orang politik pun tidaklah lagi mendapat peluang seperti yang ada dibulan Ramadhan. Kalau pun mereka hendak mengadakan sebarang perjumpaan lagi selepas itu, mereka hanya boleh menganjurkannya dengan acara lain yang tidak sehebat dan semeriah acara ‘makan colek’ itu. Mereka terpaksa datang ke Tok Bali contohnya, untuk makan ikan bakar pula. Acara ini tidak bolehlah diadakan seramai dan semeriah seperti ‘makan colek’ kerana kosnya terlalu tinggi. Oleh itu, orang-orang yang dijemput hanyalah mereka yang utama dan penting sahaja bagi individu-individu yang ingin menganjurkannya..

Begitulah aktiviti yang dijalankan oleh orang-orang UMNO sepanjang bulan Ramadhan. Bagaimana pula dengan orang-orang PAS? Apakah mereka juga banyak mengadakan acara ‘makan colek’ dikalangan mereka dibulan Ramadhan?

Saya tidak boleh menggambarkannya kerana saya tidak dapati ada tokoh-tokoh PAS yang aktif menganjurkannya di tempat saya. Setahu saya hampir tidak ada.

Jikalau benar, maka inilah yang membezakan diantara orang-orang UMNO dan orang-orang PAS. Orang-orang UMNO suka berkumpul di kedai-kedai makan dibulan Ramadhan sambil mengisi perut tetapi orang-orang PAS tidak. Orang-orang UMNO suka bercakap tentang politik dibulan Ramadhan tetapi orang-orang PAS tidak. Orang-orang UMNO masih suka berceloteh tentang peribadi orang-orang lain dibulan Ramadhan tetapi orang-orang PAS tidak..

Apakah sikap berlawanan orang-orang PAS seperti ini boleh ditafsirkan bahawa mereka tidak kuat dalam penyatuan mereka?

Sebaliknya pula, apakah apabila orang-orang UMNO suka berkumpul ‘makan colek’ dibulan Ramadhan, maka perpaduan dikalangan orang-orang UMNO menjadi semakin kukuh?

Saya khuatir kesannya menjadi sebaliknya, iaitu semakin memburukkan lagi perpaduan parti kerana semua penganjur-penganjur itu mempunyai kepentingan peribadi semata-mata.
.


Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.   

No comments:

Post a Comment