8 Ogos 2012
(Saya
akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat
atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya
sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai
sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita
supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak
kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting
bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan
mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari
mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)
PENGUNDI-PENGUNDI LUAR SEMERAK DI TANGAN ADUN SEMERAK
Pengundi-pengundi luar Semerak dianggarkan berjumlah lebih
kurang 1,800 orang kebanyakannya di Lembah Kelang.
ADUN Semerak YB Wan Hassan telah berjaya
‘mengikat’ sekurang-kurangnya 30% daripada mereka untuk pulang mengundi PAS
nanti dalam PRU13, iaitu satu jumlah yang sudah boleh menentukan kemenangan beliau atau pun mana-mana
calon PAS di Semerak (jikalau pun beliau sendiri tidak dicalonkan semula) sedangkan pemimpin UMNO Pasir Puteh atau pemimpin UMNO
DUN Semerak tidak mampu memperolehi walau 5% pun daripada jumlah itu.
Mereka telah lama mengenali rapat YB Wan Hassan tetapi tidak
langsung mengenali mana-mana pemimpin UMNO Pasir Puteh terutamanya Ketua
Bahagiannya sendiri.
Ini adalah kerana YB Wan Hassan sangat rajin turun menemui
mereka di sana dari masa kesemasa sejak dari dahulu lagi tetapi pemimpin UMNO
Pasir Puteh hanya sibuk bermesyuarat di Pasir Puteh mengumpul maklumat dan data
tentang profil pengundi-pengundi luar di Lembah Kelang sahaja. Itu pun
dilakukan setelah dilantik seorang pengerusi baru beberapa bulan yang lepas.
Selama ini UMNO Bahagian Pasir Puteh tidak pernah ada dikalangan mereka orang yang berminat untuk
mengadakan sebarang mesyuarat pun, apalagi untuk pergi ke Kuala Lumpur berjumpa dengan pengundi-pengundi luar ini secara konsisten seperti yang telah dilakukan oleh YB Wan Hassan itu.
Jumlah yang ada di tangan Pengurusi Pengundi Luar UMNO
Bahagian Pasir Puteh ini dikatakan seramai 5,000 orang setelah kesemua
Pengerusi JKKKP (bukan Ketua-Ketua Cawangan) setiap DUN diarah supaya mengumpul
maklumat dari daftar pemilih beberapa bulan yang lepas. Sudah tentulah jumlah
ini sangat besar kesannya keatas kemungkinan menang kalahnya seseorang calon yang akan
bertanding nanti terutamanya calon parlimen.
Walau bagaimana pun, tiada sesiapa yang boleh mengesahkan
jumlah itu. Saya sendiri pernah berpeluang untuk melihat senarai
pengundi-pengundi luar Semerak yang disediakan oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh
itu dan saya dapati separuh daripada jumlah mereka bukan sebenarnya pengundi
luar tetapi mereka adalah anak-anak tempatan yang tinggal di Semerak. Ada yang bekerja sebagai
guru dan ada yang bertugas dalam jentera parti. Ada juga nama-nama itu disenaraikan sampai
dua atau tiga kali dengan nama penuh dan nombor kad pengenalan yang sama.
Seperti yang telah saya sebutkan di dalam artikel saya yang
terdahulu, saya tidak mengambil kisah tentang senarai seperti ini kerana ianya
sudah lazim diamalkan oleh kedua-dua parti UMNO dan PAS selama ini untuk tujuan
tuntutan peruntukan. Apa yang penting ialah dua perkara utama. Pertama, kesemua
pengundi luar tulen hendaklah didaftarkan supaya mereka tidak tercicir dan
mendapat hak mereka apabila mereka pulang mengundi nanti. Kedua, usaha-usaha
harus dilakukan untuk menambat hati mereka dengan cara sepertimana yang
sepatutnya, bukan sekadar merasa bangga dan megah dengan jumlah palsu yang ada di
dalam daftar yang tersimpan di dalam 'pendrive' itu.
Punca utama yang menyumbang kearah ketidakmampuan UMNO
Bahagian Pasir Puteh menentukan sebahagian besar pengundi luar ini menyokong
UMNO hanyalah disebabkan oleh keengganan pihak kepimpinannya mendengar saranan
dan nasihat dari orang-orang lama parti. Kepimpinan yang baru menerajuinya
tidak mahu mengambil usaha merujuk kepada orang-orang lama parti yang sudah
berpengalaman.
Mereka lebih sibuk dengan kerja menjaga lembu-lembu yang
akan diagihkan dagingnya nanti kepada orang ramai contohnya, sehingga tiada masa lagi untuk
menjaga pengundi-pengundi luar ini.
Mereka lupa bahawa pengundi-pengundi luar ini tidak boleh
dianggap seperti sekawan lembu yang boleh dikepong dan dihambat atau dicucuk
hidung mereka dengan tali untuk diheret pulang supaya menyokong UMNO.
Mereka semua adalah manusia biasa dan kebanyakannya adalah cerdik pandai yang tidak pun memerlukan apa-apa dari UMNO Bahagian Pasir Puteh kecuali hubungan silaturrahim atau 'interact spirit' dan rasa dihurmati sebagai seorang pengundi.
Di tangan mereka ada undi yang tidak ternilai yang boleh menentukan menang kalah seseorang calon dan seterusnya pula menentukan parti mana yang akan memerintah kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
Di tangan mereka ada undi yang tidak ternilai yang boleh menentukan menang kalah seseorang calon dan seterusnya pula menentukan parti mana yang akan memerintah kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.
No comments:
Post a Comment