Monday, 22 June 2015

Kemelut 1MDB


Dalam banyak-banyak isu yang timbul, isu inilah yang menjadi paling utama dan paling besar pada masa ini. Walaupun ianya tidak berupa jenayah berbentuk pembunuhan seperti kes Altantuya contohnya, namun skala perhatian oleh rakyat menjadikannya paling tinggi. Kalau dibandingkan dengan skala gempa bumi pun, mungkin skalanya melebihi 9.0.

Walaupun saya orang kampong biasa yang tidak mempunyai PhD dan bukan berlatarbelakangkan pengajian ekonomi, namun dari dulu lagi saya sudah menghidu bahawa isu 1MDB ini akan menimbulkan banyak masalah kepada rakyat dan negara. Ini betul-betul terbukti apabila YABhg Tun Dr Mahathir sendiri pun mempersoalkannya secara serious dan lantang sekarang. Suara dari seorang bekas perdana menteri yang pernah mentadibir negara selama 22 tahun sudah tentu tidak boleh dianggap ringan dan dipermain-mainkan kerana walaupun usia beliau akan genap 90 tahun pada 10hb Julai 2015 ini, beliau masih belum nyanyok dan pelupa.

Saya menghidu bau masalah 1MDB ini apabila saya mendapat tahu bahawa sejumlah 1,000 jemaah dihantar oleh 1MDB untuk menunaikan haji secara percuma. Pada masa itu saya sudah pun terfikir apakah 1MDB ini sebuah entiti swasta atau kerajaan dan dari manakah wang pembiayaan ini? Sejenak selepas itu, saya kembali mengambil sikap bahawa mungkin itu adalah rezeki mereka yang terpilih.

Kemudian, datang pula persoalan ke dalam fikiran saya tentang apakah ‘standard’ atau kriteria yang digunapakai oleh 1MDB untuk menentukan siapa yang terpilih dan siapa yang tidak. Saya mula mengesyaki bahawa program ini tidak betul apabila saya mendapati bahawa mereka yang terpilih ini terdiri daripada mereka yang berjawatan dalam parti UMNO sahaja. Saya tertanya-tanya jika mereka yang terpilih ini tidak berjawatan,  apakah mereka diberikan peluang?

Tidakkah ianya menjadi lebih adil jika 1MDB mengutamakan orang-orang lama UMNO terlebih dahulu terutamanya mereka yang belum pernah pergi ke Mekah?

Sekarang apabila timbul tohmahan bahawa 1MDB inilah yang digunakan oleh pemerintah untuk mengekalkan kuasanya, maka ianya pun menjadi terang bagai disuluh. Bagi orang-orang kampong biasa seperti saya, cukuplah dengan program penghantaran kumpulan ini ke Mekah sebagai buktinya. Untuk meneliti perkara-perkara lain yang lebih tinggi sudah tentulah tidak sampai kepada tahap pemahaman saya dan orang-orang kampong lain.

Penghantaran kumpulan pemegang jawatan dalam parti UMNO ini ke Mekah dengan pembiayaan sepenuhnya oleh 1MDB membuktikan dengan jelas bahawa pihak pemerintah sememangnya menggunakan kaedah ‘memelihara’ mereka supaya mereka menjadi lebih kuat bekerja mempertahankan rejim yang ada. Golongan ini dianggap sebagai mereka yang ada pengaruh di kampong-kampung dan cara ini boleh menjadikan mereka merasa sangat terhutang budi kepada pemerintah.

Sebab itulah kita dapati mereka yang telah pergi dengan pembiayaan yang berbentuk ‘rasuah’ ini tidak berubah setelah pulang kerana wang yang digunakan bukan dari titik peluh mereka sendiri tetapi dari satu sumber yang tidak jelas.  

Saya menyokong jika selepas ini 1MDB dibubarkan dan segala asetnya dibekukan. Kerajaan masih boleh meneruskan program menghantar rakyatnya ke Mekah tetapi bukan lagi dengan cara pilih kasih dan niat yang salah serta dari sumber yang tidak jelas atau haram.

No comments:

Post a Comment