Friday, 26 December 2014

PT3 Kearah Melahirkan ‘Generasi Pelajar Mampu Berfikir’ atau GPMB dan Juga Kearah Melahirkan ‘A New Generation’ atau ANG

Satu Harapan

PT3 sudah dilaksanakan dan hasilnya sudah pun diketahui. Samada keputusannya sudah dijangka begitu atau pun tidak, tidaklah pula dapat sesiapa pun memperkatakannya.

Kalau benih padi, ianya adalah benih baru yang telah membuahkan hasil padi yang pertama. Benih baru ini sudah tentulah dibuat kajian dan ujikaji terlebih dahulu sebelum diluluskan dan diedarkan kepada petani. Kajian keatasnya pula sudah tentulah semata-mata bagi tujuan menaikkan mutu padi dan menambahkan jumlah hasil tanaman setiap hektar.

Begitulah juga dengan PT3 yang baru diperkenalkan ini. Namun, ianya bukanlah seperti benih padi yang boleh dibuat ujikaji atau ‘experiment’ keatas pelajar-pelajar. Peperiksaan dan keputusan yang baru lalu itulah ujikaji dan hasil pertama yang diperolehi.

Sememangnya ia nampak seolah-olah gagal. Bahkan ada ibubapa yang mendakwa bahawa anak-anak merekalah yang menjadi mangsa pertama kepada sistem yang baru ini. Mereka membayangkan bahawa jika sistem lama dikekalkan, anak-anak mereka ini sepatutnya lulus dengan lebih cemerlang lagi.

Saya tidak boleh mengulas secara lebih mendalam dalam hal ini kerana saya bukan pakar peperiksaan. Walau bagaimana pun, sebagai seseorang yang telah pernah melalui zaman peperiksaan ‘subjective’, maka saya tetap bersetuju dan menyokong penuh perubahan yang dilakukan ini. Pada saya, dengan cara inilah sahaja murid-murid akan dapat dididik dan diasuh supaya berfikir. Mereka diperlukan berfikir dan faham sebelum menjawab sebarang soalan bukan lagi mengambil jalan mudah hanya dengan meneka dan mengagak sahaja.

Ini bermakna murid-murid harus belajar mengasah fikiran dan menajamkan tumpuan terhadap pelajaran. Inilah ‘pentaksiran’ yang boleh menentukan tahap dan mutu pemikiran seseorang murid. Sistem ini juga bukan bermakna hanya murid-murid yang pintar sahaja boleh menjawab semua soalan-soalan dengan baik dan lancar. Murid-murid biasa dari sekolah-sekolah biasa pun boleh juga berbuat demikian jika mereka sentiasa memberikan sepenuh perhatian dari awal-awal lagi terhadap apa yang diajar guru dalam kelas dan rajin serta tekun membuat ulangkaji di rumah. Sistem lama tidak begitu kerana  jika bernasib baik, murid yang kurang pintar atau pemalas pun boleh juga lulus dengan cemerlang.

Oleh itu, saya ingin menasihatkan para ibubapa supaya bersabar. Setiap yang baru sudah tentulah dirasakan ‘kekok’ pada permulaannya. Selepas beberapa tahun, ianya sudah tentu akan menjadi kebiasaan.

Kepada Kementerian Pelajaran pula, teruskanlah dengan PT3 ini. Sistem peperiksaan seperti ini sangatlah baik untuk melahirkan generasi yang boleh berfikir. Bila rakyat lebih ramai boleh berfikir, negara pun menjadi lebih maju, produktif dan berkualiti.

Oleh itu, GPMB adalah juga ‘A New Generation’.

No comments:

Post a Comment