Pada 12hb Disember 2014 bersamaan 19hb Safar 1436H iaitu hari Jumaat semalam, sesiapa yang bersolat Jumaat di Masjid Al-Taqwa Semerak tentu merasa begitu kecewa apabila suara khatib yang membaca khutbah dan juga bacaan dalam solat oleh imam tidak langsung kedengaran kerana kegagalan secara total sistem pembesar suara masjid ini.
Makmum yang berada di depan
bolehlah mendengar suara khutbah terus dari mulut khatib dan bacaan solat terus
dari mulut imam (orang yang sama) tetapi mereka yang berada di saf-saf belakang
tidak mendengar langsung. Saya boleh mengandaikan bahawa lebih dari 50% makmum
tidak mendengar apa-apa. Ketika hendak memulakan solat pun, masing-masing
memandang diantara satu sama lain sahaja kerana tidak tahu samada imam sudah
mengangkat takbirratulihramnya atau pun belum. Keadaan tidak dapat mendengar
apa-apa dari imam ini berterusan sampailah kepada rukun ke-12 iaitu memberi salam. Makmum sekadar mengikut sahaja makmum lain di hadapan atau di sebelahnya.
Saya tidak tahulah mengapa masjid
ini menjadi semakin dibiarkan padahal masjid ini ialah masjid utama dalam Mukim
atau DUN Semerak. Sudahlah imam tuanya tidak dilantik-lantik lagi sejak
kematian imam asalnya setahun lebih yang lalu, sistem pembesar suaranya pun
tidak dijagai dengan rapi. Saya rasa pihak MAIK seharusnya mengambil berat
tentang soal-soal seperti ini. Jangan lagi dibiarkan gejala memegang
jawatan-jawatan dalam sesebuah jawatankuasa masjid menjadi rebutan dan
kebanggaan sahaja sedangkan masalah-masalah seperti ini pun tidak mampu
diselesaikan. Lantiklah orang-orang yang layak untuk memegang semua jawatan
bermula dari pengerusi sehinggalah kepada siak lalu pastikan tugas-tugas
dijalankan dengan sempurna sepadan dengan elaun yang dibayar termasuk memeriksa
dan menyelenggara sistem pembesar suara.
Membiarkan khutbah dibaca
tanpa dapat didengari oleh makmum adalah sesuatu yang boleh dianggap sebagai
kecuaian dan kegagalan besar dipihak jawatankuasa masjid kerana khutbah yang
disampaikan adalah untuk didengari. Kalaupun peralatannya dicuri orang, ianya
tetap bukan sesuatu yang boleh dijadikan sebagai alasan. Kewajipan untuk
menentukan khutbah didengari oleh semua makmum adalah tanggungjawab ahli
jawatankuasa masjid walau dalam apa keadaan sekalipun, kecuali terputus bekalan
elektrik. P.A. System masih boleh dipinjam dari mana-mana sekolah yang
berhampiran contohnya, kerana ada ahli jawatankuasa masjid ini bekerja sebagai
guru bahkan rumah seorang gurubesar sebuah sekolah berdekatan masjid ini pun
terletak di depan masjid. Malangnya, mereka memandang remeh perkara seperti ini
dan mengambil jalan mudah dengan mewujudkan sahaja suasana zaman dahulu kala.
Saya harap artikel dalam blog
saya ini mendapat perhatian pihak-pihak yang berkenaan dan tindakan yang sewajarnya
diambil dengan segera supaya dengan itu masalah yang sama tidak berulang lagi
pada minggu hadapan dan minggu-minggu seterusnya. Sepatutnya kelengkapan dan
peralatannya harus dijaga melebihi apa yang ada di dalam sebuah istana kerana
masjid bukan sekadar masjid tetapi ianya adalah rumah Allah.
No comments:
Post a Comment