Saturday, 17 May 2014
JPNIN, RT dan OK
Instrumen Rukun Tetangga atau RT dibawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional atau JPNIN sangatlah luas fungsi dan peranannya. Ianya merangkumi apa sahaja bidang yang ada kaitan secara langsung dengan perpaduan masyarakat seharian seperti budaya, sukan, agama, pendidikan, keusahawanan, latihan, kepimpinan, hiburan, riadah dan bermacam-macam cabang lagi. Pendek kata apa sahaja yang dilakukan oleh setiap orang menjadi sesuatu yang boleh dijadikan aktiviti bersama sesebuah masyarakat melalui RT.
RT tidak ada batasan sepertimana parti politik. Parti politik terhad kepada ahli-ahlinya sahaja sedangkan RT tidak. Sesiapa sahaja boleh disertakan ke dalam programnya tanpa mengambilkira latar belakang atau fahaman politik seseorang itu. Sebab itu kalau diperhatikan, tiada program dibawah RT dan JPNIN melibatkan mana-mana pemimpin politik.
Ini bermakna bahawa JPNIN melalui sayap RTnya mempunyai fungsi yang lebih bermanfaat dan luas berbanding fungsi parti politik. Jika parti politik dianggap memcahbelahkan perpaduan, JPNIN pula dianggap sebagai badan dan agen yang menyatupadukan semula masyarakat. Oleh itu, perpecahan pun tidaklah menjadi semakin melebar dan mengancam kestabilan perpaduan.
Walau bagaimana pun, semuanya bergantung semata-mata diatas kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat terhadap JPNIN dan RT ini. Jika contohnya, RT Kg Raja Dagang Semerak yang baru sahaja dilancarkan perasmiannya oleh YBhg Pengarah JPNIN Negeri Kelantan pada 16hb Mei 2014 yang baru lalu memulakan langkah awalnya dengan asas kepercayaan yang kukuh dari orang ramai, saya yakin sambutan terhadap apa sahaja program dan aktiviti akan terus diberikan sambutan dan kerjasama oleh orang ramai itu.
Asas utama yang saya maksudkan ialah 'ketelusan' dan 'accountability' pihak kepimpinan RT itu sendiri. Dalam konteks ini, sudah tentulah apa yang dijadikan perhatian utama masyarakat terhadap kepimpinannya ialah sejaauh mana tahap 'amanah' yang dipegang terutamanya oleh barisan kepimpinan utama RT seperti Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari.
Apabila disentuh 'amanah', sudah tentulah perkara paling pokok atau utama pula ialah pengurusan kewangan dan logistik. Orang ramai tidak mahu mendengar ada peruntukan yang diperolehi dari JPNIN contohnya, tetapi tidak tahu bila, berapa jumlahnya dan apa yang dibuat dengan peruntukan itu. Mereka sekadar tahu ada, tetapi tidak tahu 'detail' perbelanjaannya. Apabila ini berlaku, masyarakat akan menganggap peruntukan diselewengkan atau sebahagiannya digunakan untuk kepentingan diri pihak-pihak tertentu. Jika dibiarkan, inilah yang akan menyebabkan orang ramai hilang minat terhadap RT dan RT pun menjadi 'hidup segan mati tak mahu' sepertimana yang telah terjadi keatas sesetengah RT yang lain sebelum ini. Akhirnya,matlamat penubuhan RT melalui JPNIN pun menjadi sia-sia dan membazirkan wang kerajaan serta masa pegawai-pegawai JPNIN.
Saya harap dua RT di Semerak menjadi contoh dalam mempamerkan pengurusan yang telus dan terbaik. Dua RT yang saya maksudkan itu ialah :-
1) RT Kg Raja Dagang dan
2) RT Kg Telaga Papan.
(nota: OK ialah singkatan untuk Orang Kampong)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment