Friday, 16 May 2014

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional atau JPNIN

Apa-apa pun program kemasyarakatan yang dilaksanakan di Semerak akan saya hadirkan diri jika dijemput dengan syarat program itu tidak disertai oleh pemimpin dari mana-mana parti politik baik UMNO atau pun PAS.

Hari ini saya telah dijemput ke majlis perasmian RT Kg Raja Dagang. Saya hadir apabila saya dimaklumkan bahawa tiada pemimpin UMNO yang terlibat walaupun urusannya berkaitan secara langsung dengan JPNIN iaitu sebuah jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Oleh itu saya amat menghargai dan mengkagumi sikap JPNIN sendiri kerana benar-benar membuktikan bahawa jabatan ini tidak membawa unsur-unsur politik kepartian ke dalam jabatan ini. Jika dasar ini boleh diteruskan, saya yakin ini sahajalah caranya jika JPNIN hendakkan supaya matlamat perpaduan diantara kaum dan agama dicapai.

Hari ini di majlis perasmian RT Kg Raja Dagang, jika ada pemimpin UMNO yang datang, orang-orang PAS sudah tentu tidak duduk lama dan tidak akan hadir lagi pada masa hadapan. Begitu jugalah jika ada pemimpin PAS yang hadir, orang UMNO pula berbuat begitu.

Dengan yang demikian, bukan semua program kemasyarakatan itu setiap pemimpin politik boleh hadir. Ada juga yang tidak sesuai bagi mereka untuk hadir. Sebagai contoh, program Rukun Tetangga di bawah JPNIN. Biarkanlah JPNIN sendiri yang menyelia dan mengawasnya.

JPNIN bukan medan untuk mana-mana pemimpin politik mencari pengaruh. Asas penubuhannya ialah menyuburkan suasana perpaduan kaum dan agama di semua peringkat terutamanya diperingkat akar umbi. Kerja mereka tidak seharusnya diganggu oleh pemimpin politik kerana mereka mampu menjalankannya secara bersendirian dan bebas.

UP: YBhg Dato' Ketua Pengarah JPNIN
YBhg Puan Pengarah JPNIN Negeri Kelantan

No comments:

Post a Comment