MyDiary (61)
6 Julai 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)
Sepatutnya UMNO Bahagian Pasir Puteh tidak perlu dibelenggui masalah remeh temeh lagi. Masalah-masalah dalaman pun sepatutnya berbaki pada tahap minima sahaja.
Sebaiknya, pada saat-saat seperti ini perpaduan parti berada pada tahap maksimum. Jika ini boleh dicapai, barulah UMNO Pasir Puteh berupaya untuk berada pada tahap ‘kesihatan’ yang normal. Apabila ‘kesihatannya’ normal, barulah UMNO Pasir Puteh berupaya pula memberikan sepenuh perhatian kepada kerja-kerja menghadapi PRU13.
Bagi saya, UMNO Pasir Puteh masih belum ‘sihat’ 100%. Masih banyak ‘penyakit’ yang perlu diubati supaya UMNO Pasir Puteh pulih seperti sediakala atau sekurang-kurangnya boleh bangun melakukan kerja-kerja politiknya dengan tenaga yang kuat dan gagah. Buat pada masa ini, Ketuanya sendiri pun tidak boleh memberikan sepenuh perhatian terhadap tugas-tugas politiknya. Fokusnya sentiasa terganggu dan diganggu.
Pada 5 Julai 2012, satu paparan telah diterbitkan dalam Sinar Harian edisi Timur yang telah memuncakkan gangguan terhadap UMNO Pasir Puteh. Di muka surat K17 (ruangan Pasir Puteh) terpampang tajuk “Nelayan Pachakan Tagih Perubahan”. Ruangan itu telah memuatkan berita tentang nelayan pesisir pantai yang menagih perubahan sesuai dengan perubahan industri perikanan negara. Nelayan-nelayan tradisional Kg Pachakan, Semerak ini memerlukan kaedah yang lebih baik untuk tujuan memunggah hasil tangkapan mereka ke darat selain daripada tempat penyimpanan bot yang lebih baik dan tempat kerja-kerja memproses ikan kering bagi wanita-wanita.
Semua masalah itu sepatutnya sudah lama diberikan perhatian dan tindakan oleh kerajaan melalui UMNO Pasir Puteh kerana nelayan-nelayan ini bukan baru menjalankan aktiviti mereka di situ. Mungkin disebabkan itulah, maka apabila terdapat sahaja seseorang yang berkunjung ke sana dan menjanjikan sesuatu, mereka terus menjadi sangat teruja dan dan gembira.
Bagi saya, tidak salah kalau mereka merasa teruja dan tidak salah juga jika ada orang yang pergi ke sana menjajnjikan sesuatu, apalagi jika apa yang dijanjikan itu adalah sesuatu yang sememangnya sudah lama mereka mahukannya.
Yang salahnya ialah apabila orang yang pergi menjanjikan sesuatu itu tidak pergi dengan membawa mandat UMNO Pasir Puteh. Ini jelas dilihat apabila majlis perjumpaan dengan nelayan-nelayan yang diadakan itu tidak langsung melibatkan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh merangkap Pengerusi Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh atau wakilnya sedangkan peruntukan itu, jika diluluskan, adalah peruntukan kerajaan pusat sepertimana kata-kata “masalah itu sudah dibawa ke Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar” oleh orang yang berkunjung itu.
Tiada siapa akan mempertikaikan usaha yang dibuat untuk tujuan membantu nelayan-nelayan itu oleh mana-mana orang jika peruntukan untuk membina kemudahan yang dimaksudkan itu puncanya datang dari orang perseorangan atau syarikat-syarikat korporat yang ingin menderma. Namun, jika ianya adalah peruntukan dari kerajaan pusat, maka mahu tidak mahu, tiada sesiapa boleh ‘membelakangi’ UMNO Bahagian Pasir Puteh walaupun orang itu ‘rapat’ dengan Perdana Menteri sekali pun.
Oleh itu, saya ingin menyeru kepada setiap ahli UMNO yang ingin berkhidmat kepada masyarakat supaya sentiasa berdiri di belakang parti dan bersama-sama menjalankan kerja-kerja kebajikan sebagai sebuah pasukan, apalagi jika ianya melibatkan peruntukan dari kerajaan pusat.
Tak kiralah samada orang itu rapat atau pun tidak dengan YAB Perdana Menteri, namun UMNO terlebih dahulu perlu dijaga dan dihurmati, bukan Presidennya sahaja. Jika ini dilakukan, barulah ianya menjadi tanda dan bukti kesetiaan kita terhadap kepimpinannya.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.
No comments:
Post a Comment