MyDiary (66)
13 Julai 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)
‘OPERA CINA’ PROJEK PELABUHAN TOK BALI
Apabila perkataan ‘Opera Cina’ disebut, sudah tentu kita boleh bayangkan persembahan teater cina dengan lakonan bermuzik oleh pelakon-pelakon yang memakai kostum berwarna warni dan kosmetik atau make-up tebal di muka. Pelakon-pelakon ini mempersembahkan babak demi babak lakonan di atas pentas sebagai hiburan kepada penonton. Watak-wataknya berlakon sambil bernyanyi dengan suara yang tinggi dan nyaring.
Saya masih ingat sewaktu saya masih kecil, di Pulau Pinanglah banyak persembahan teater ini pada masa itu kerana penduduknya ramai orang cina dan kebanyakannya adalah generasi pertama yang berhijrah ke negara ini. Pada masa ini, persembahan ini tidak lagi popular seperti dahulu.
Walau bagaimana pun, ilusi persembahan ini ada berlaku di Tok Bali buat pada masa ini. ‘Opera Cina’ sedang rancak berjalan. Bahasa pertuturannya sudah tentulah bahasa cina kerana opera ini berasal dari negara Cina yang tidak boleh diucapkan di dalam bahasa lain kecuali bahasa asalnya sahaja. Oleh itu, apabila ianya dipersembahkan di dalam kawasan orang-orang melayu, maka apa yang diucapkan itu tidaklah difahami. Namun, persembahan ini tetap dikagumi kerana lakonan, nyanyian dan pakaian mereka. Orang-orang melayu tetap terpesona.
Inilah yang sedang berlaku terhadap projek Pelabuhan Tok Bali atau Tok Bali Port. Kerajaan negeri sedang mengadakan persembahan ‘Opera Cina’ dengan bantuan daripada rakannya dari negara Cina. Rakyatnya sedang terpesona kerana pada asalnya mereka difahamkan projek ini hendak dibina selepas majlis pecah tanah, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya pula. Mereka melihat sebuah 'pelabuhan' yang sudah bergerak siang dan malam setiap hari tanpa henti dengan aktiviti pemunggahan bijih besi dan ‘manganese’ oleh ratusan lori-lori panjang untuk dieksport ke negara Cina, padahal majlis pecah tanah baru sahaja disempurnakan pada 29 Mac 2012 yang lalu dan projek ini pula sepatutnya mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan.
Apabila ditanya mengapa aktiviti ini dijalankan, ada yang menjawab ianya untuk rakyat juga. Hasil jualan bijih ini akan menjadi hasil negeri untuk rakyat juga kerana ianya akan dijadikan modal untuk membina pelabuhan ini.
Jawapan itu tidak meyakinkan orang ramai terutamanya rakyat tempatan. Mereka tidak yakin hasilnya akan masuk ke dalam tabung kewangan negeri kerana tidak pernah dinyatakan dengan jelas dan telus tentangnya secara terbuka oleh kerajaan negeri, baik di dalam Dewan Undangan Negeri atau pun media umum. Oleh itu, mereka berkata rakyat Kelantan sebenarnya sedang ditipu lagi oleh kerajaan negeri sepertimana projek-projek lain yang gagal dilaksanakan itu. Mereka menjadikan hasil galian bumi negeri ini seperti milik peribadi mereka sendiri, bukan milik rakyat.
Mereka bertanya, mengapa sekarang kerajaan negeri baru hendak menunjukkan kepada rakyat perkara-perkara seperti ini? Mengapa sebelum ini tidak diusahakan setelah memerintah negeri selama 22 tahun? Jika jawapannya ialah tiada kemudahan pelabuhan, maka mengapa sekarang boleh pula dijalankannya padahal fasa pertama pelabuhan yang hendak dibina itu belum pun disiapkan lagi?
‘Opera Cina’ yang dimainkan di tapak projek Pelabuhan Tok Bali ini mungkin sengaja diadakan untuk tujuan tertentu. Kerajaan negeri mungkin hendak membuktikan seolah-olah mereka mampu menjalankan aktiviti pengeksportan bijih besi ini secara komersial kepada negera luar walaupun kemudahan pelabuhan yang lengkap belum ada. Itulah gambaran dan mesej yang hendak dihantar kepada rakyat dan juga kepada kerajaan pusat yang memerintah. Kepada rakyat, mereka hendak tunjuk bahawa mereka ada kemampuan merancang dan membinanya. Kepada kerajaan pusat pula, mereka hendak tunjuk negeri Kelantan sangat memerlukan sebuah pelabuhan dan keperluan ini cuba dibuktikan dengan aktiviti awal pengeksportan bijih besi itu walaupun kemudahan sebuah pelabuhan yang lengkap belum ada.
Itulah ‘Opera Cina’ yang sedang dimainkan anjuran kerajaan negeri Kelantan. Mereka faham bahasa cina yang dituturkan melalui jurubahasa mereka, tetapi rakyat tidak. Oleh itu, kesempatan sedang diambil keatas rakyat yang tidak memahami bahasa cina ini.
Hasilnya mungkin semata-mata untuk tujuan mengumpul dana pilihanraya demi mengekalkan kuasa politik dengan mengurbankan hak rakyat.
Kalau di Semerak contohnya, mungkin dana disalurkan sebagai persediaan untuk wakil rakyatnya menghadapi PRU13. Sebab itu beliau sentiasa kesana untuk memantau aktiviti pemunggahan.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.
No comments:
Post a Comment