Wednesday, 11 July 2012

MyDiary (64)

MyDiary (64)
12 Julai 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

ADUN SEMERAK DENGAN JALAN YANG ROSAK

Jalan Taman Jaya, Semerak adalah jalan yang agak sibuk juga. Jalan ini bermula dari persimpangan betul-betul di hadapan pejabat ADUN Semerak sehingga ke Bukit Peraksi melalui Kg Ketereh Tugal, Kg Siam, Taman Jaya, Kg Lembah dan Kg Besar dengan jaraknya lebih kurang 3 kilometer. Selain daripada orang-orang kampong dari 5 buah kampong utama itu yang menggunakannya, terdapat juga sebuah sekolah rendah dimana kebanyakan guru-guru berulang alik dari luar ke sekolah itu.

Oleh kerana penggunaan jalan ini agak sibuk sepanjang hari, maka sudah tentulah banyak tempat yang rosak dan berlubang terutama selepas musim tengkujuh. Kerosakan jalan ini lebih banyak tertumpu di sepanjang jalan dari permulaan simpang masuk sehingga Kg Ketereh Tugal disebabkan lori-lori sentiasa keluar masuk dengan muatan berat besi lusuh atau ‘scrap metal’ kerana di situ terdapat sebuah kawasan menghimpun atau ‘stockpile’ bahan-bahan ini sebelum dibawa keluar ke kilang besi.

Apa yang dikesali oleh penduduk kampong-kampong berkenaan termasuk guru-guru sekolah ialah kerja-kerja penyelenggaraan jalan itu tidak dilakukan oleh pihak ADUN atau pun pengusaha besi lusuh itu. Mahu tidak mahu, penduduk kampong terpaksa mengambil usaha membaikinya sendiri dengan cara bergotong royong. Pada peringkat pertama usaha itu telah dilakukan oleh UMNO Cawangan Taman Jaya dan peringkat kedua pula dilakukan oleh PIBG SK Kg Sepulau.

Saya menyentuh isu ini kerana saya melihat tiada peranan yang diambil oleh kedua-dua pihak ADUN dan pengusaha besi lusuh itu. Mereka pun padahal merupakan pengguna jalan ini setiap hari tetapi tidak mahu mengambil peduli tentang kerosakan itu seolah-oleh sengaja membiarkannya untuk diperbaiki oleh orang-orang kampong sendiri.

Sebagai ADUN, saya tidak percaya tiada peruntukan kerajaan negeri yang beliau boleh usahakan untuk tujuan seperti ini. Sudahlah peruntukan untuk membina jalan ini datangnya dari kerajaan pusat, takkanlah membaikinya pun hendak diserahkan juga kepada kerajaan pusat padahal jalan ini semua orang menggunakannya termasuk orang-orang PAS juga. Begitu juga dengan pengusaha besi lusuh itu, Saya tidak percaya beliau tidak mampu menghulurkan sedikit bantuan pun untuk tujuan membaiki jalan yang digunakan sebagai kemudahan keluar masuk lori-lorinya juga.

Artikel pendek saya pada kali ini sekadar memberikan gambaran betapa seorang wakil rakyat yang dipilih itu, kadang-kadang terlalu sibuk dengan tugas-tugas lain sehingga tiada masa untuk memberikan perhatian kepada keperluan-keperluan asas rakyatnya sendiri.

Masalah jalan yang rosak ini hanyalah sebagai satu contoh sahaja apabila masalah rakyat tidak mendapat perhatian dan tindakan wakil rakyat. Mungkin banyak lagi yang masih tidak selesai yang sepatutnya menjadi tanggungjawabnya menyelesaikannya.

Janganlah pula sampai ada yang berkata ADUN Semerak hanya berminat untuk membaiki kerosakan di jalan yang menjadi laluan lori-lori mengangkut bijih besi sahaja.




Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.   

No comments:

Post a Comment