Thursday, 12 July 2012

MyDiary (65)

MyDiary (65)
12 Julai 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

PERPADUAN PARTI UMNO PASIR PUTEH

Pada waktu ini, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh dilihat sangat aktif dengan program dan aktiviti parti. Kadang-kadang jadual beliau sangat padat dengan program perjumpaan dan mesyuarat di seluruh kawasan parlimen Pasir Puteh sehingga beliau tidak dapat berehat walau seketika pun. Disebabkan itu, beliau mengalami masalah tekanan darah rendah apabila membuat pemeriksaan kesihatan di hospital.

Kerja kuatnya itu sangat disanjungi dan dihurmati. Rata-rata mengakui bahawa memang Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh sangat kuat bekerja dengan memenuhi undangan demi undangan setiap hari meliputi seluruh kawasan parlimen Pasir Puteh. Ini dilakukan kerana beliau menganggap sememangnya inilah pilihanraya yang paling mencabar dalam sejarah politik UMNO dan BN. Oleh itu pengurbanannya tanpa mengambilkira kesihatan dirinya sendiri sangatlah terserlah dan dikagumi oleh semua ahli-ahli UMNO Pasir Puteh.

Kerja kuatnya itu sebenarnya merupakan satu tanggungjawabnya sebagai seorang ketua sebuah parti di peringkat Bahagian. Orang-orang di bawahnya bekerja kuat juga mengikut kapasiti jawatan yang dipegang mereka. Saya menganggap mereka semua pun bekerja kuat juga. Masing-masing hendakkan supaya UMNO menang dalam PRU13 ini sehingga mencapai kejayaan memerintah semula negeri Kelantan setelah berada didalam kekalahan selama 22 tahun.

Sesiapa pun melihat UMNO Pasir Puteh seolah-olah nampak seperti tiada masalah. Namun, masih terdapat sesuatu yang belum sempurna sebenarnya.

Secara diam-diam, masih terdapat satu kegagalan utama dan paling besar UMNO Bahagian Pasir Puteh iaitu ketidakmampuan kepimpinannya untuk menyatukan semula semua ahli-ahli UMNO Pasir Puteh sehingga sekarang.

Perpecahan di dalam parti telah berlaku apabila sahaja berlaku pertandingan 3 penjuru bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian. Usaha Ketuanya untuk menyatukan semula dirinya sendiri dengan bekas Ketua tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ini telah menyebabkan parti masih berada di dalam perpecahan sehingga kini. Ini adalah kerana, disamping kita melihat Ketua Bahagian sibuk dengan aktiviti parti, terdapat juga aktiviti-aktiviti lain yang terus dijalankan secara berasingan oleh individu-individu tertentu pada setiap masa. Aktiviti-aktiviti lain ini merangkumi berbagai-bagai kaedah dan cara meliputi seluruh kawasan parlimen juga. Ada yang dipanggil sebagai Taqarrub, ada juga yang dipanggil Addin. Ada aktiviti menghulurkan derma kewangan kepada mereka yang memerlukan, ada juga aktiviti menghulurkan bantuan dalam bentuk bahan makanan asas seperti beras dan lain-lain. Ada aktiviti lawatan ke rumah, ada aktiviti lawatan ke hospital. Ada aktiviti kesukanan, ada aktiviti makan dan minum. Semua mereka berkata bahawa apa yang mereka lakukan adalah semata-mata untuk membantu parti walaupun tidak dilibatkan mana-mana orang parti yang memegang jawatan penting semasa aktiviti dijalankan.

Namun, saya tidak melihat perkembangan seperti ini membantu parti kearah mencapai kemenangan dalam pilihanraya nanti. Mereka semua mempunyai pengaruh masing-masing. Semakin hari semakin terbina dengan sendirinya kekuatan pengaruh masing-masing kerana masing-masing membawa stail kepimpinan tersendiri. Ada yang menyukai Ketua UMNO Bahagian dengan stail barunya, ada juga yang menyukai bekas Ketua dengan stail konvensionalnya. 

Oleh yang demikian, jika suasana ini masih wujud sehingga musim pilihanraya, saya tidak yakin kemenangan calon BN akan dapat dicapai kecualilah satu formula berkesan dirumus segera dalam masa singkat yang berbaki ini supaya kesemua mereka ini bergabung semula sebagai satu pasukan kerja yang mantap secara keseluruhannya. Jika tidak, apa yang akan terjadi ialah kemungkinan apa yang telah saya sebutkan dalam artikel saya yang terdahulu iaitu MyDiary (63) bertarikh 9 Julai 2012 bertajuk “Cah Keting”.

Oleh itu, segala-galanya terpulang kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh sendiri untuk samada memikul tanggungjawab memulakan semula usaha penyatuan dengan kesungguhan yang tiada taranya atau membiarkannya sahaja sehingga PRU13 ini untuk menyaksikan lagi kekalahan teruk seperti dahulu.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment