Sunday, 8 July 2012

MyDiary (62)

MyDiary (62)
8 Julai 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

SIKAP SOMBONG PEMEGANG JAWATAN PARTI ATAU POLITIK

Pada masa dahulu, orang-orang muda sangat menghurmati orang-orang tua. Jikalau di dalam bas, mereka akan berebut-rebut untuk memberikan tempat duduk mereka kepada orang-orang tua yang berdiri. Di dalam bank, mereka akan berundur untuk memberikan tempat beratur di hadapan kepada orang-orang tua. Begitu juga di dalam kedai makan atau restoran, mereka akan memberikan kerusi dan meja kepada orang-orang yang lebih tua.

Itu dulu, dimana asuhan orang-orang tua sangat berkesan keatas anak-anak muda. Mereka sangat dihurmati dan sentiasa ditegur sapa dengan sopan walaupun mereka tidak dikenali.

Segala-galanya telah berlalu dan berubah. Tidak mungkin tradisi dan nilai itu kembali semula ke dalam masyarakat kita. Anak-anak muda sekarang tidak lagi menjadikan amalan menghurmati orang-orang tua sebagai amalan harian mereka. Apa yang penting bagi mereka, jika menaiki bas, mereka mesti duduk. Jika beratur di dalam bank, mereka mesti cepat mengeluarkan wang. Jika mereka di dalam restoran, mereka mesti mendapatkan makanan dengan segera dan duduk di tempat yang selesa. Mereka tidak lagi peduli siapa di sebelah mereka walaupun mereka adalah orang-orang tua yang sebaya ibubapa mereka.

Dalam politik pun begitu juga. Orang-orang sekarang tidak lagi menghurmati orang-orang lama parti. Dengan jawatan yang dipegang, mereka tidak peduli samada orang-orang tua sudah makan atau pun belum, asalkan mereka boleh makan dulu. Apalagi jika mereka mendapat peluang duduk di sebelah Ketua UMNO Bahagian. Malah mereka tidak peduli langsung untuk berpaling dan bertanya pun kepada orang-orang tua yang ada berdiri itu. Yang penting mereka dapat makan di sebelah Ketua UMNO Bahagian supaya dianggap seperti “VIP” dan kenyang sebelum orang-orang lain kenyang.

Cerita saya ini sangat kecil. Namun, nilai sesebuah masyarakat itu kadang-kadang datangnya dari sikap-sikap kecil seperti ini. Sebabnya, jika tentang makan pun mereka tidak peduli kepada orang-orang tua, bayangkanlah bagaimana nak diharapkan di dalam perkara-perkara lain pula.

Sebab itulah UMNO menjadi semakin hari semakin lemah dari segi minat orang ramai. Yang meminatinya hanyalah mereka yang ada jawatan politik atau pun parti. Tidak lagi seperti dulu di mana semua orang meminatinya kerana mereka sentiasa dihurmati oleh orang-orang yang memegang jawatan. Orang-orang dulu yang memegang jawatan sentiasa pergi menemui orang ramai jika mereka hendak menyampaikan sesuatu kerana mereka menghurmati orang ramai ini. Sekarang sudah terbalik, orang-orang yang memegang jawatan tidak lagi mahu pergi menemui orang ramai tetapi mereka lebih suka orang ramailah yang datang mencari mereka di rumah mereka.

Saya menyentuh isu ini kerana saya tidak lagi boleh melihat kepimpinan UMNO Bahagian memberikan ‘latihan’ kepada orang-orang yang memegang jawatan ini supaya tidak sombong dan menghurmati orang-orang tua, terutamanya mereka yang berpengalaman memegang jawatan terlebih dahulu sebelum mereka memegangnya. Mereka ini sesetengahnya sudah pun memegang jawatan yang pada masa itu orang-orang yang memegangnya sekarang ini masih lagi bersekolah atau belajar. Pada masa dahulu, ‘latihan’ sentiasa diutamakan untuk menentukan orang-orang yang memegang jawatan tidak sombong dan angkuh. Sekarang ‘latihan’ seperti ini tidak lagi dijadikan agenda.

Maka, apabila nilai ini sudah tidak ada dikalangan pemegang-pemegang jawatan ini, mereka tidak akan mendapat panduan dan belajar apa-apa dari pengalaman orang-orang lama. Mereka menjadi kerugian dan parti pun tidak lagi nampak menarik disebabkan sikap mereka itu.

UMNO ialah parti tulen orang-orang melayu tetapi nilai melayu dengan kehalusan keperibadiannya semakin dipupuskan oleh orang-orang UMNO sendiri yang memegang jawatan.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment