Friday, 29 June 2012

MyDiary (60)

MyDiary (60)
29 Jun 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Setelah ditunggu-tunggu, maka akhirnya Bilik Gerakan BN DUN Semerak dibuka dengan majlis solat hajat pada malam ini. AlhamdulilLAH, syukur.

Kepada yang mengetahui, mereka merasa amat bertuah kerana adanya seorang insan yang sanggup membeli tapak beserta rumah kedai itu, lalu membaiki dan mengubahsuainya untuk dijadikan Bilik Gerakan BN DUN Semerak. Setelah diperbaiki dan diubahsuai, mereka pun menunggu-nunggulah pula masa dan ketika ianya dibuka. Mereka dimaklumkan bahawa Bilik Gerakan itu akan dilengkapi dengan segala peralatan asas untuk memenuhi keperluan sebuah Bilik Gerakan termasuk jugalah kemudahan WiFi. Orang ramai terutamanya orang-orang UMNO merasa begitu gembira dan menunggu-nunggu saat ianya dibuka.

Pada malam ini, berlakulah upacara pembukaan yang ditunggu-tunggu itu. Malangnya, ianya disempurnakan jauh daripada jangkaan dan harapan orang ramai. Upacara itu sekadar melibatkan sekumpulan kecil jemaah masjid dan Pengerusi-Pengerusi JKKKP selain daripada beberapa orang penting parti seperti Ketua Bahagian, Pengerusi Penyelaras DUN dan lain-lain termasuk jugalah Bendahari Bahagian yang membeli tapak dan premis lama itu.

Sebahagian besar orang-orang lain yang selama ini menunggu-nunggu saat pembukaannya tidak pun dimaklumkan, jauh sekali dijemput. Mereka pun menganggap upacara pembukaan itu sekadar upacara pembukaan yang skalanya sama sahaja seperti solat hajat memohon berkat untuk anak yang hendak pergi melanjutkan pelajaran ke universiti sahaja. Bagi mereka, inilah akibatnya apabila sesuatu yang hendak dilakukan itu urusannya diserahkan bulat-bulat kepada seseorang yang bersikap tidak mahu menganggap apa sahaja yang dibuat itu, jika sekiranya ianya melibatkan kepentingan parti, hendaklah dibuat supaya ianya sesuai dengan kepentingan politik atau ‘mileage’ politik.

Mereka berkata bahawa, sepatutnya majlis pembukaan itu dibuat secara meriah walaupun keberkatannya diutamakan. Apalagi jika Bilik Gerakan ini ialah Bilik Gerakan BN bukan Bilik Gerakan UMNO sahaja. Sudah tentulah lebih bijak jikalau majlis pembukaan itu dianjurkan secara lebih besar dengan melibatkan semua ahli jentera parti peringkat DUN secara keseluruhan. Dengan cara ini juga, barulah orang melihat bahawa pembukaan sebuah Bilik Gerakan BN DUN Semerak mendapat sambutan dan sokongan ramai ahli-ahli UMNO dan BN termasuk jugalah orang-orang Semerak yang menyokong UMNO dan BN.

Apa yang terjadi seolah-olah menampakkan bahawa orang-orang berkenaan yang ingin menguruskan Bilik Gerakan ini tidak begitu bersungguh-sungguh atau ‘serious’ dalam menentukan parti UMNO dan BN menang di DUN Semerak. Mereka sekadar ingin menunjukkan seolah-olah mereka sahajalah petugas-petugas penting dan utama parti yang bekerja untuk parti. Sebab itulah, majlis pada malam ini tidak langsung dilibatkan orang-orang cawangan walaupun mereka tahu sebenarnya orang-orang cawanganlah yang merupakan ‘akar umbi’ parti yang mana jika kuat akar umbinya, maka kuatlah parti. Jika sebaliknya, itulah faktor utama yang telah mengakibatkan parti sentiasa kalah dalam setiap pilihanraya yang lepas-lepas itu. Begitu jugalah Pemuda DUN. Mereka juga tidak diberitahu dan dijemput sedangkan pada masa pilihanraya nanti, merekalah yang akan dikerah tenaganya seperti biasa.

Kerja mereka dianggap seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja atau pun mungkin sayangkan wang untuk perbelanjaan makan minum orang ramai.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak

No comments:

Post a Comment