MyDiary (55)
8 Jun 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)
Pada 8 Nov 2008, tiada siapa yang tahu bahawa seorang pemimpin UMNO Bahagian yang baru akan mentadbir Bahagiannya itu dengan cara yang begitu ‘tersendiri’ dan 'abnormal'. Pada hari ini, semua orang sudah tahu dan menganggap cara pentadbirannya itu mungkin merupakan satu-satunya dalam Malaysia.
Beliau menang apabila bertanding jawatan Ketua Bahagian kerana disangka boleh memimpin dengan cara yang lebih baik berbanding Ketua-Ketua yang terdahulu. Pada masa itu, beliau disangka akan menjadi seorang pemimpin yang lebih demokratik dan suka menuruti apa yang dikehendaki oleh Cawangan-Cawangan selain daripada mentadbir mengikut apa yang terkandung di dalam perlembagaan parti.
Namun, segala-galanya sudah jelas sekarang. Sangkaan dan jangkaan itu meleset sama sekali. Beliau tidak berjaya membuktikan bahawa beliau lebih baik dari pemimpin-pemimpin yang terdahulu itu. Bahkan, ramai orang menganggap bahawa caranya itu semakin memburukkan lagi perpaduan parti. Oleh kerana itu, banyaklah perkara-perkara yang dibuatnya dilihat tidak menepati kehendak parti.
Pada peringkat awal beliau memegang tampok kuasa, keadaan dilihat agak menguntungkan parti apabila dikatakan ramai orang-orang PAS yang masuk UMNO. Tiap-tiap hari digembar-gemburkan bahawa ribuan orang-orang PAS masuk UMNO di sana sini sejak beliau memegang kuasa kepimpinan Bahagian. Semua orang-orang UMNO pun merasa seronok dan yakin bahawa UMNO akan menang dalam pilihanraya kali ini kerana sokongan yang tiba-tiba bertambah itu. Namun, tiada siapa yang mengetahui siapa ribuan orang-orang PAS yang masuk UMNO itu dan di mana.
Pada masa itu, orang menganggap mungkin itu adalah strategi parti maka siapa orang-orang PAS itu tidak bolehlah didedahkan kepada umum dan semua orang memahaminya pada masa itu. Namun, apabila masa berjalan, orang menganggap pula bahawa cerita itu hanyalah rekaan semata-mata bertujuan untuk menggambarkan ‘kehebatan palsu’ pemimpin itu sahaja. Rahsia tentang perkara seperti ini tidak mungkin tersimpan sebegitu lama. Lama kelamaan, orang akan tahu juga terutama orang nombor 2 atau nombor 3 atau orang-orang lain dalam barisan kepimpinan Bahagian. Namun, mereka semua tidak pun tahu apa-apa tentang cerita itu seolah-olah Bahagian ini Ketuanya seorang sahaja yang buat kerja dan tahu segala-galanya.
Saya yakin Bahagian-Bahagian lain tidak begitu. Segala kerja dibuat secara ‘teamwork’ atau berpasukan, bukan secara individu membawa arah masing-masing kerana kekuatan dan perpaduan parti tidak mungkin terhasil dengan cara ini.
Saya tidak tahu sampai bila keadaan ini hendak dibiarkan sedangkan PRU13 sudah semakin hampir. Apa yang saya tahu, harapannya amatlah tipis sekali untuk UMNO dan BN menguasai semula di sini kecuali sesuatu yang sangat drastik dilakukan segera.
Jika tidak, tiadalah lagi jalan yang lain melainkan menukar semula kepimpinan parti apabila sampai masanya nanti.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.
No comments:
Post a Comment