MyDiary (58)
26 Jun 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)
Pada 26 Jun 2012 lebih kurang jam 9.00 pagi, cebisan kertas-kertas telah dilempar keluar dari sebuah kereta betul-betul di hadapan Bilik Gerakan BN DUN Semerak sewaktu kereta itu melalui jalan di hadapan Bilik Gerakan itu. Apabila dikutip dan diperiksa, cebisan kertas-kertas itu adalah kertas-kertas risalah yang mengandungi gambar-gambar dan kata-kata mengkritik parti PAS.
Tidak diketahui pihak mana yang mencetak kertas-kertas itu dan dari mana juga orang yang melempar memperolehinya. Apa yang jelas ialah, tindakan mengoyak dan melemparkan cebisan kertas-kertas itu dihadapan Bilik Gerakan BN DUN Semerak merupakan satu tindakan yang tidak bermoral yang boleh juga dianggap sebagai tindakan berbentuk provokatif. Apalagi jika ianya dilakukan secara terang-terangan pada waktu orang ramai sedang bersarapan pagi di kedai makan bersebelahan Bilik Gerakan itu.
Saya telah mengambil langkah memuatkan gambar cebisan kertas-kertas itu kedalam Facebook tetapi mendapat bantahan keras dari pihak tertentu yang tidak menyenangi tindakan saya itu. Oleh kerana tekanan itu, saya terpaksa memadamkan semula ‘posting’ berkenaan itu.
Walau bagaimana pun, saya masih ingin memberikan nasihat kepada pihak yang tidak menyenangi tindakan saya itu supaya sentiasa mengawal dan mengawasi tindak tanduk orang-orangnya. Bagi saya, ada cara lain untuk menangkis tohmahan yang dilemparkan melalui kertas-kertas risalah seperti itu, bukan dengan cara mengoyak dan melemparkannya di tengah jalan dari dalam kereta yang sedang dipandu dan di tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Selain daripada mencetak balas kertas-kertas risalah seperti ini untuk diedarkan, tohmahan-tohmahan itu boleh juga dijawab melalui ceramah politik.
Saya bukanlah memihak kepada mana-mana parti dalam soal ini. Walaupun saya ialah seorang ahli UMNO, itu bukan bermakna saya menyukai jika ada orang-orang UMNO pula yang melakukan tindakan yang serupa. Bagi saya, bukan soal isu yang terkandung di dalam kertas-kertas risalah itu, tetapi tindakan kebudak-budakan melempar cebisan kertas-kertas itulah yang saya anggap tidak sesuai dan tidak sepatutnya diberikan galakan oleh mana-mana pihak.
Mencetak dan mengedar sebarang risalah politik adalah sesuatu yang biasa menjelangnya setiap pilihanraya, tetapi tindakbalas seperti mengoyak dan melemparkan cebisan kertas-kertas itu adalah sesuatu yang harus dibendung oleh setiap pemimpin dan penggerak atau jentera parti politik, tidak kiralah samada parti UMNO atau pun parti PAS. Ini adalah disebabkan perbuatan itu boleh menjadi punca yang mengundang kepada perbalahan sesama sendiri.
Oleh itu, sikap professional setiap pemimpin parti politik kedua-dua belah pihak amatlah diperlukan didalam konteks ini. Bantahan yang disertakan dengan kemarahan dan tekanan bukanlah ciri-ciri professional seorang pemimpin. Tidak boleh menerima kritikan secara terbuka dan positif bukanlah ciri-ciri profesional seorang pemimpin. Begitulah juga jika menganggap kritikan sebagai usaha untuk 'memperlekehkan' seseorang pemimpin, bukanlah ciri-ciri profesional seorang pemimpin juga.
Pada kebiasaannya, ketiadaan ciri-ciri profesional ini tidak akan membantu seseorang pemimpin itu untuk terus bertahan didalam dunia politik.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.
No comments:
Post a Comment