MyDiary (99)
30 Okt 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada
para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat
dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa
diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau
matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri
Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil
kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan
menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana
individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana
individu untuk tujuan ini).
CONTOH KEPIMPINAN
ORANG-ORANG DAHULU
Saya tertarik untuk menulis sedikit tentang topik di atas kerana saya
melihat kepimpinan sekarang sudah sangat jauh berbeza dengan kepimpinan
orang-orang dahulu. Keupayaan saya bukanlah besar dalam usaha untuk
membandingkan mereka tetapi saya agak bernasib baik kerana saya dapat melalui
zaman kepimpinan yang berbeza itu.
Saya mula menyertai parti UMNO pada tahun 1983 sewaktu berumur 30 tahun
dengan nombor keahlian UMNO saya 592247 (sijilnya masih saya simpan dalam
keadaan baik). Pada tahun 1997 apabila berlakunya PRK DUN N31 Semerak, saya
telah ‘diperangkap’ lalu ‘terjerat’ untuk menentang UMNO tetapi tidak
ditakdirkan untuk menjadi ahli PAS. Pada tahun 2002, apabila YBhg Dato’ Pahamin
A. Rajab pulang ke Pasir Puteh untuk bergiat didalam politik, saya telah
‘ditariknya’ untuk balik semula kepada UMNO dengan menjadi ahli baru di
Cawangan Kg Gelam Pasir Puteh dibawahnya. Di Cawangan ini beliau ialah Ketua
UMNO Cawangan yang baru sementara saya pula dilantiknya sebagai Setiausaha. Di
sinilah saya mendapat semula keahlian UMNO saya dengan nombor baru 03924693
itu.
Ini bermakna bahawa penglibatan saya didalam politik ialah selama
hampir 30 tahun termasuk 5 tahun berada di luar UMNO secara bebas. InsyaAllah,
jika dipanjangkan umur, pada 5 Jan 2013 umur saya akan genap 60 tahun dan ini
bermakna peluang untuk saya menyertai kumpulan veteran UMNO akan terbuka.
Saya masih mampu mengingati pada masa dahulu betapa kepimpinan UMNO
Bahagian Pasir Puteh begitu mementingkan perpaduan parti. Tanpa membuang masa, mereka akan terus
mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera jika didapati ada unsur-unsur
perpecahan berlaku di mana-mana yang boleh merugikan parti. Mereka akan segera
pergi berjumpa dengan pihak-pihak yang bertelagah itu untuk tujuan mendamaikan
mereka semula. Berbagai-bagai cara dan kaedahlah dilakukan mengikut kesesuaian
kes dan tempat serta tahap mentaliti pihak yang bertelagah itu. Jika mereka
dari kelas atasan, pemimpin ini akan cuba selesaikannya dengan kaedah yang
sesuai dengan taraf mereka. Begitu jugalah dengan orang-orang kampong biasa.
Ini bermakna bahawa pemimpin dahulu sentiasa boleh menjadikan diri
mereka sesuai dengan segenap lapisan masyarakat. Walaupun mereka berpelajaran
tinggi, mereka sanggup ‘merendahkan’ diri mereka jika mereka terpaksa
berhadapan dengan orang-orang yang tidak berpelajaran tinggi. Mereka lakukan
semua ini hanyalah semata-mata demi memastikan supaya perpaduan parti
terpelihara kerana mereka sedar tanpa perpaduan, parti akan mengalami kesukaran
untuk memenangi pilihanraya.
Sekarang apa yang berlaku ialah sebaliknya. Kepimpinan diperingkat Bahagian tidak
dilihat begitu mementingkan lagi perpaduan parti padahal contoh sudah
ditunjukkan oleh kepimpinan terdahulu. Saranan demi saranan telah juga dibuat supaya
isu ini dijadikan keutamaan, namun ianya hanyalah seperti mencurah air ke daun
keladi sahaja. Rungutan dan keluhan ahli-ahli UMNO di bawah tidak langsung
diberikan perhatian apalagi hendak bertindak. Mereka tidak merasa apa yang
disuarakan oleh ahli-ahli parti di bawah yang tidak memegang sebarang jawatan
parti itu sebagai penting.
Inilah perbezaan ketara yang saya anggap sebagai pengalaman paling
penting bagi diri saya sebagai ahli UMNO. Pemimpin dahulu sentiasa mendapatkan
buah fikiran atau nasihat daripada ahli-ahli bawahan selain daripada AJK
Bahagian contohnya, dalam banyak hal yang berkaitan dengan urusan parti dan
juga politik. Pemimpin sekarang tidak lagi begitu. Kadang-kadang bukan sahaja
tidak mahu mendapatkan nasihat dari ahli-ahli biasa diperingkat bawahan, bahkan
terdapat juga kes dimana pertelingkahan berlaku diperingkat kepimpinan sendiri
sehingga kepada tahap tindakan diambil dengan menggugurkan jawatan yang
disandang oleh orang-orang yang dianggap tidak sehaluan atau sependapat
dengannya.
Itulah perbezaan yang saya maksudkan dan sudah tentulah sikap dan gaya
kepimpinan terdahulu lebih bererti untuk UMNO.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693 (asal 592247)
Semerak.
No comments:
Post a Comment