Sunday, 14 October 2012

MyDiary (97)


MyDiary (97)
14 Okt 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

'PEPERANGAN' POLITIK KEPARTIAN

Dalam politik terdapat tiga (3 ) tahap ‘peperangan’.
Pertama:  Menangkis.
Kedua:  Menyerang.
Ketiga: Menangkis dan Menyerang.

Akhir-akhir ini, saya perhatikan pihak parti lawan lebih banyak menggunakan strategi ‘menyerang’ parti UMNO dan BN berbanding dengan ‘menangkis’ manakala parti UMNO dan BN pula masih lagi lebih banyak ‘menangkis’ berbanding ‘menyerang’ parti lawan.

Pada pendapat saya, strategi kedua adalah strategi terbaik untuk masa ini dan serangan hendaklah dilakukan secara konsisten selain daripada ianya hendaklah berfakta dan relevan. Apa sahaja isu yang cuba ditimbulkan oleh pihak parti lawan hendaklah diabaikan kecuali mana yang betul-betul perlu dijawab sahaja. Pada saya, daripada membuang masa melayani isu-isu yang remeh temeh, adalah lebih baik UMNO dan BN mencari dan memberikan tumpuan kepada usaha-usaha menyerang parti lawan dengan cara-cara yang lebih agresif. Ini adalah kerana isu-isu yang remeh itu boleh melalaikan kita dan pihak parti lawan sememangnya sentiasa mahu supaya kita berada didalam keadaan lalai. Dengan itu, bolehlah mereka alihkan tumpuan pengundi-pengundi daripada isu-isu lain yang boleh merugikan mereka.

Dengan masa yang sudah tidak berapa ada ini, saya ingin cadangkan supaya UMNO dan BN mula menggunakan sepenuh masa dan tenaga untuk usaha-usaha ‘menyerang’ sahaja. Walau bagaimana pun, kalau diperingkat nasional, serahkanlah tugas-tugas ini kepada pucuk kepimpinan parti. Kalau di peringkat akar umbi pula, biarkanlah tugas-tugas ini dipikul oleh kepimpinan Bahagian, Cawangan serta Jawatankuasa DUN masing-masing. Isu-isu nasional kurang sesuai ditangani oleh Bahagian atau Cawangan atau Jawatankuasa DUN. Begitu jugalah isu-isu tempatan kurang sesuai ditangani oleh kepimpinan parti diperingkat pusat. Sebagai contoh, isu royalti dan bekalan air adalah isu nasional yang mana kedua-dua isu ini kurang sesuai dibawa ke pentas ceramah oleh Bahagian atau Cawangan atau Jawatankuasa DUN kerana Bahagian atau Cawangan atau Jawatankuasa DUN tidak mempunyai kemampuan yang mencukupi untuk mengubah polar pemikiran pengundi-pengundi dengan isu-isu seperti ini. Apalagi jika orang-orang Kelantan tidak menganggap isu seperti ini sebagai isu yang boleh ‘memati-hidupkan’ mereka. Orang-orang Kelantan masih tetap boleh hidup seperti biasa dengan bekalan air dari sumber-sumber alternatif lain walaupun ketiadaan bekalan air oleh AKSB kerana masih terlalu besar bilangan mereka yang sudah pun hidup selama ini tanpa bergantung dari sumber AKSB. Oleh itu, pengundi Kelantan tidak mengambil kisah jika pun bekalan air masih di takok lama dan tuntutan royalti tidak berjaya. Mereka akan tetap juga mengundi parti lawan.

Oleh itu, pada pendapat saya, adalah lebih baik UMNO dan BN menekankan kepada isu-isu tempatan yang boleh dirasai oleh pengundi-pengundi secara langsung tanpa perlu dikaitkan dengan isu-isu nasional seperti isu royalti dan isu bekalan air itu. Ada banyak isu-isu tempatan yang lebih sesuai dan boleh diketengahkan untuk menarik sokongan pengundi-pengundi terhadap UMNO dan BN.

Terpulanglah kepada kepimpinan Bahagian, Cawangan dan Jawatankuasa DUN untuk mengatur startegi ‘peperangan’ mereka.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak

No comments:

Post a Comment