MyDiary (98)
24 Okt 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada
para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat
dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa
diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau
matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri
Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil
kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan.
Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan
tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk
tujuan ini).
PROGRAM PARTI DI DUN SEMERAK
Pada masa ini tidak banyak yang boleh saya
perkatakan tentang apa yang dilakukan oleh UMNO DUN Semerak. Orang ramai
termasuk orang-orang UMNO masih seperti biasa. Yang sukakan kedai kopi untuk
berjumpa dengan kawan-kawan masuk ke kedai atau warung yang biasa dikunjungi
seperti biasa. Yang sukakan aktiviti memancing akan ke tepi Sungai Semerak
untuk memancing seperti biasa walaupun tidak mendapat ikan kerana ikan boleh
dibeli di pasar. Yang sukakan bermain burung akan membawa burung-burungnya ke
tempat pertandingan suara burung. Begitu jugalah yang sukakan rumah akan
tinggal saja di rumah sepanjang hari tanpa berkawan.
Suasana menunjukkan seolah-olah mereka tidak kisah
tentang politik. Yang ada di kedai kopi akan berbual tentang perkara-perkara
harian biasa. Kalau pun ada sesiapa yang cuba mengeluarkan tajuk politik,
sambutannya agak dingin. Mereka lebih gemar berbual kosong sementara menunggu
waktu solat dengan gurauan sebagai hiburan sahaja.
Suasana begini adalah disebabkan semua orang
sudah merasakan bahawa soal pilihanraya sebagai satu perkara yang tidak ada
apa-apa lagi yang hendak dipercakapkan kecuali menunggu saat diumumkan
pembubaran parlimen dan kerajaan negeri sahaja. Mereka kata zaman sekarang
bukan lagi seperti dahulu. Dahulu banyak perkara atau isu politik yang baru
akan hanya dipercakapkan di kedai-kedai kopi kerana sumber maklumatnya yang
terhad. Berbeza dengan sekarang apabila setiap isu boleh diketahui pada bila-bila
masa sahaja melalui internet dengan spontan. Mereka tidak perlu keluar ke
bandar Pasir Puteh dan mendengar dari orang-orang lain kerana di rumah mereka
pun sudah ada internet. Oleh itu mereka keluar dan masuk ke kedai kopi di
kampong hanyalah untuk berbual dengan kawan-kawan sekadar untuk memenuhi masa
sahaja.
Dalam hal ini, saya dapati inilah masanya yang
terbaik untuk UMNO mula memberikan penekanan terhadap program parti. Apa sahaja
program perlu dijalankan dengan lancar dan agresif. Program parti bukan
bermakna ceramah sahaja. Banyak perkara yang boleh dirancang dan dilaksanakan
supaya masa tidak terbuang dan menjadi sia-sia. Malangnya, UMNO Semerak masih
seperti ‘tidor lena’ dalam bilik berhawa dingin. Kelibat kepimpinannya pun
masih lagi belum dapat dilihat turun padang berjumpa dan bermesra dengan orang
ramai. Begitu jugalah Bilik Gerakan BN DUN Semerak yang masih belum dibuka-buka
dan diaktifkan lagi.
Dalam keempat-empat DUN parlimen Pasir Puteh,
saya dapati DUN Gaal sudah mula aktif dengan berbagai-bagai program politik. Jentera
DUN Gaal nampak mendahului DUN-DUN lain dengan gerakan bersepadu mereka. Saya
tidak tahu mengapa hanya DUN Gaal yang sudah dilihat sebagai sebuah DUN yang ‘hidup’
berbanding DUN-DUN lain. Apakah semuanya disebabkan oleh semangat dan kerja
kuat jentera DUN sendiri atau pun ianya datang dari arahan ‘bertenaga’ dari
Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh sendiri?
Kalau jawapannya ialah disebabkan oleh semangat
kerja berpasukan DUN, maka itu menunjukkan bahawa DUN Gaal mempunyai kepimpinan
yang berkebolehan. Jika jawapannya ialah disebabkan oleh arahan ‘bertenaga’
dari Ketua UMNO Bahagian, maka itu menjadi petanda bahawa beliau berkemungkinan
ingin ke sana dalam PRU13 nanti.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693 (asal 592247)
Semerak.
No comments:
Post a Comment