Wednesday, 3 July 2013

Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh 2013 (siri 1)


Seperti yang telah saya perkatakan lebih awal bahawa kawan-kawan saya di Kuala Lumpur meminta supaya saya menulis sesuatu tentang pemilihan di atas itu.

Kata mereka, jika Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir menyarankan supaya pertandingan di peringkat jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak diadakan demi menjaga perpaduan dalaman parti, pertandingan di peringkat jawatan Ketua UMNO Bahagian pun sewajarnya juga tidak diadakan.

Ini adalah kerana pertandingan diperingkat jawatan Ketua UMNO Bahagianlah yang sebenarnya punca perpecahan di dalam parti. UMNO Pasir Puteh telah pun mempunyai pengalaman ini apabila berlakunya pertandingan untuk jawatan ini pada tahun 2008. Kesan perpecahan ini masih dirasai sehingga kini walaupun dalam pilihanraya yang baru lalu Ketua UMNO Bahagian menang.

Memang sesuatu yang agak mustahil untuk menjadikannya sebagai sesuatu yang berbentuk arahan oleh pucuk kepimpinan parti. Di dalam perlembagaan parti, tiada sebarang peruntukan tentang perkara ini. Oleh itu, jika pun pucuk kepimpinan parti  inginkan supaya pertandingan pada peringkat jawatan ini tidak diadakan, ianya sudah tentu akan dianggap melanggar perlembagaan parti.

Sebab itu, saranan seperti ini hendaklah datangnya dari pihak lain yang tidak lagi memegang sebarang jawatan tertinggi parti dan orang yang paling layak membuat saranan ini termasuklah Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir, bekas Presiden UMNO.

Jika pertandingan diperingkat jawatan Ketua UMNO Bahagian tidak diadakan, maka saya yakin usaha perpaduan dalaman parti akan menjadi lebih mudah. Dengan itu, saya yakin usaha untuk menyatupadukan semula orang-orang melayu melalui dua parti terbesar orang-orang melayu iaitu UMNO dan PAS akan juga menjadi lebih mudah.  Ini adalah kerana sesuatu yang hendak diputuskan oleh parti menjadi lebih mudah apabila keseluruhan ahlinya seia dan sekata. Sebaliknya, usaha ini tidak akan menjadi mudah jika perpaduan dalaman parti itu sendiri tidak  dijadikan kekuatan dalaman.

Saya yakin jika dibuat tinjauan secara menyeluruh, peratusan ahli yang menyokong cadangan ini melebihi peratusan yang tidak menyokong. Orang-orang melayu sudah sedar dan tidak mahu lagi membuang masa dengan perkara-perkara yang boleh melemahkan perpaduan dan juga kuasa politik mereka.

Saya harap Yang Amat Berbahagian Tun Dr Mahathir sudi kiranya mengambil cadangan ini ke dalam perhatiannya kerana UMNO masih mengharapkan beliau berperanan sebagai ‘bapa’ dan ‘penasihat’ selagi hayatnya dikandung badan.

Salam Silaturrahim
Drp
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

No comments:

Post a Comment