Semerak terletak bersempadan dengan Kuala
Besut. Kuala Besut ialah DUN yang sedang sibuk dengan PRK kerana kematian ADUN
pada 5hb Jun yang lalu. Jika sesiapa ke sana sekarang, tiadalah cerita lain di
kedai-kedai kopi kecuali cerita mengenai PRK pada 24hb Julai ini sementara esok
12hb Julai ialah hari penamaan calon.
“Orang-orang luar” yang paling ramai
mengunjungi Kuala Besut sudah tentulah orang-orang Semerak. Mereka sudah biasa
melangkah sempadan negeri ke sana pada setiap hari Jumaat untuk membeli belah
di pasar minggu. Peraih-peraih ikan pula ke sana untuk memborong ikan di jeti
perikanan. Selain daripada mereka ini, orang-orang Semerak ramai yang ada
saudara mara yang tinggal di Kuala Besut seperti saya. Oleh itu, orang-orang
Semeraklah sebagai orang luar yang lebih ramai berkunjung ke sana berbanding dengan orang-orang dari kawasan lain.
Budaya hidup, mata pencarian utama dan loghat
percakapan orang-orang Kuala Besut sama dengan orang-orang Semerak walaupun
Kuala Besut berada di dalam negeri Terengganu. Oleh itu, PRK pada kali ini
sangat-sangatlah dirasai dan dihayati juga oleh orang-orang Semerak. Kalau
Semerak dikuasai oleh BN, maka Kuala Besut pun diharapkan kekal semula dengan
BN seperti dahulu. Inilah harapan yang dibawa oleh orang-orang Semerak di dalam
hati mereka walaupun ianya tidak terucap secara jelas.
Saya tidak melihat secara itu sahaja. Kuala
Besut bukan seperti Semerak. Kalau Semerak berada dibawah pemerintahan kerajaan
PAS, Kuala Besut masih lagi dibawah BN. Seandainya Semerak diadakan PRK, ianya
masih tetap dibawah kerajaan negeri pimpinan PAS sekali pun BN menang lagi.
Kuala Besut berbeza. Jika BN menang, kuasa pemerintahan negeri kekal dibawah
BN. Jika sebaliknya, kuasa pemerintahan boleh bertukar tangan.
Ini bermakna kerajaan BN negeri Terengganu
berada di hujung tanduk kerana nasibnya betul-betul berada di tangan DUN Kuala
Besut. Sebab itu, Timbalan Pengarah Pilihanraya DUN Kuala Besut yang juga Ketua
UMNO Bahagian Besut berkata, peluang untuk PAS menang adalah sangat tipis
kerana hendak menarik seribu lebih pengundi sudah tentu sangat sukar apabila
PRU13 baru sahaja sebulan lebih berlalu. Maka sebab itulah juga, beliau telah
sarankan supaya PAS tidak meletakkan calonnya untuk bertanding dalam PRK ini.
Katanya lagi, jika ini boleh dilakukan, tindakan ini juga sekaligus sebagai menghormati Allahyarham ADUN yang baru meninggal itu.
Inilah diantara modal perbualan yang
dipercakapkan oleh orang-orang Kuala Besut sehari dua ini. Mereka bertanya
bagaimana seorang pemimpin politik seperti itu boleh menyarankan supaya PAS
tidak meletakkan calonnya hanya semata-mata untuk menghormati seorang wakil
rakyat BN yang telah meninggal dunia? Kenapa PAS sahaja yang diminta supaya
berbuat sedemikian? Bagaimana pula jika wakil rakyat yang meninggal nanti
adalah wakil rakyat PAS? Apakah BN sanggup menghormati wakil rakyat PAS yang
meninggal itu dengan cara tidak meletakkan calonnya untuk bertanding?
Kata mereka, kadang-kadang inilah caranya
seseorang pemimpin politik itu bercakap apabila beliau merasa tertekan dan dibayangi
kekhuatiran melampau akan kehilangan kerusi partinya sekaligus hilang juga kuasa diperingkat negeri. Prinsip demokrasi pun hendak dicabuli
padahal sistem pilihanraya semula sudah lama diamalkan apabila ada kematian
wakil rakyat. Oleh itu, saranan seperti itu dianggap tidak logik dan tidak
sepatutnya datang dari seseorang yang menjawat jawatan menteri dan juga bekas
menteri besar.
Orang-orang Semerak adalah “orang-orang luar”
yang paling hampir dengan Kuala Besut. Sebab itulah, orang-orang Semerak lebih
mengetahui tentang Kuala Besut dan pengundi-pengundinya. Oleh itu, tidaklah
menjadi sesuatu yang ganjil apabila pemimpin politik dari Semerak merupakan ‘pemimpin
luar’ yang paling aktif membantu.
ADUN Semerak sudah tentulah orangnya yang
paling utama dari BN Kelantan selain daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO sendiri.
Beliau tidak perlu berkampong di sana seperti lain-lain wakil rakyat kerana
jarak dari rumahnya yang sangat berdekatan. Dengan semangat supaya BN boleh
mengekalkan semula kerusi DUN Kuala Besut, beliau sudah tentu akan bekerja
keras siang dan malam membantu calon BN DUN Kuala Besut.
Semangat seperti ini adalah semulajadi
sebenarnya bagi setiap wakil rakyat di mana-mana pun. Wakil rakyat BN sudah tentu
datang membantu calon BN, manakala wakil rakyat PR sudah tentu datang membantu
calon PR, tak kiralah dari negeri mana sekali pun.
Yang perlu disedari dan dibezakan ialah
wakil-wakil rakyat itu ada yang datangnya dari negeri-negeri yang diperintah
oleh BN dan ada yang diperintah oleh PR. Ada wakil rakyat BN dari negeri yang
jauh dan negerinya diperintah oleh BN. Ada wakil rakyat BN dari negeri yang
dekat tetapi negerinya diperintah oleh PR. Yang jauh itu datang membawa modal
yang lengkap kedua-duanya sekali iaitu dirinya sendiri menang dan negeri juga
diperintah oleh BN. Yang dekat walaupun bersempadan hanya sekadar boleh
berbangga dengan kemenangan dirinya sendiri sahaja tetapi tidak boleh membawa
contoh kerja untuk menawan negeri kerana negeri sendiri pun masih lagi dikuasai
oleh parti lain walaupun telah berhempas pulas selama puluhan tahun.
Oleh itu, wakil rakyat BN dari negeri Kelantan
terutamanya yang berjiran dengan Kuala Besut contohnya, tiada apalah yang boleh
diharapkan sangat oleh pengundi-pengundi Kuala Besut kerana mereka pun gagal menguasai
negeri sendiri.
Justeru itu, saya sarankan supaya wakil-wakil
rakyat BN negeri Kelantan janganlah terlalu ghairah hendak membantu calon
negeri orang. Jika pun hendak membantu sebagai kawan separti dan seperjuangan, janganlah terlalu
banyak menggunakan masa di sana sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat sendiri.
Salam Silaturrahim
Drp
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak
No comments:
Post a Comment