Friday, 13 March 2015

PRK DUN N06 Chempaka - Siri 17



ADRUJA WIJAYAMALA SINGA (DEWI DURGA)
CIK SITI WAN KEMBANG 1
PENGASAS DAN PEMERINTAH PERTAMA KESULTANAN SERENDAH
1335- 1345M
Sejarah mencatatkan di bumi Kelantan tentang seorang puteri raja yang sangat masyhur bukan sahaja di Tanah Melayu bahkan sehingga ke seluruh Nusantara. Suatu ketika dahulu  puteri melayu ini bukan sahaja telah mengangkat martabat bangsa Melayu di mata dunia, malah Baginda juga turut Berjaya membuktikan kemampuan kaum wanita ketika di medan perang mahu pun dalam seni mempertahankan diri. Dalam mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan Langkasuka daripada dijajah oleh pihak musuh, puteri raja ini telah bertindak memenggal kepala salah seorang raja Siam yang zalim. Ini sekali gus menjadikan nama Baginda begitu gah dalam sejarah bangsa Melayu.

Sejarah bermula di sebuah negara kota dan negara persekutuan Melayu yang terletak di utara Semenanjung Tanah Melayu iaitu tempat asal Adruja Wijayamala Singa. Baginda merupakan puteri kepada Raja Sang Tawal (1247 - 1311), Maharaja Grahi yang ketiga. Kota Grahi di Surat Thani merupakan Kota Hindu Buddha dan orang pada zaman itu digelar Pamalayur (Melayu). Kesan-kesan peninggalan sejarah masih terdapat di Kota Grahi, Surat Thani yang terbukti wujudnya satu kerajaan besar suatu ketika dahulu di tapak tersebut dan terkenal sebagai Kota Hindu Buddha. Namun setelah sekian lama bertahan dari serangan tentera Siam, akhirnya kerajaan Grahi dan kota Grahi jatuh juga pada tahun 1325. Kekalahan tersebut menandakan bermulanya zaman pencerobohan bangsa Siam (Thai) di bumi Semenanjung Tanah Melayu. Ini membuatkan mereka terpaksa berundur secara besarbesaran yang turut disertai oleh kerabat diraja Grahi, para menteri, para panglima, rakyat jelata dan pasukan perang pimpinan Adruja iaitu Seri Wijayamala ke arah selatan iaitu ke Pattalung dan kemudiannya ke Sanjura (Sanggora) Pattani dan di sini lah di bina sebuah kota sebagai ibu negeri Langkasuka yang baru di sebelah Pattani untuk dijadikan seusat pemerintahan. Setelah siap, kota tersebut diberi nama kota Mahligai.

Sebelum Raja Sang Tawal mangkat pada tahun 1335, Baginda telah menganugerahkan sebuah negeri kepada Adruja sebagai mengenang jasa puteri kesayangannya itu yang telah berperang demi tanah air. Negeri tersebut diberi nama Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau nama lainnya Kisaran Payung yang berpusat di Kuala Krai (Kelantan Selatan) Menurut sejarah lama yang pernah ditulis oleh Hamid, Rogayah A. dan Mariyam Salim, Kesultanan Melayu Kelantan, (K.L:DBP, 2006) zaman pemerintahan Paduka Cik Siti Wan Kembang bermula di Gunung Cintawangsa dan Kuala Krai. Dalam tempoh yang singkat, Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga telah berubah menjadi sebuah negeri yang sungguh indah dan maju dibawah pemerintahan Adruja.

Menurut Christopher Buyers, Salasilah Raja-Raja Kelantan (Genealogy Raja-Raja Kelantan),
Adruja Wijayamala Singa (Cik Siti Wan Kembang) bermula dengan Maharaja Srimat Trailokyaraja Warmadewa yang meninggal tahun 1233M. Baginda kemudiannya digantikan oleh Raja Surendra (Maharaja Grahi) yang menjadi Raja Jawaka. Sehingga Baginda juga meninggal dunia tahun 1253M. Baginda Raja Surendra kemudiannya digantikan oleh puteranya iaitu Raja Thilam yang meneruskan pemerintahan sehingga 1267M. Maharaja Thilam pula mempunyai seorang putera yang bernama Raja Sakranta yang mana Baginda meawarisi takhta ayahandanya. Daripada generasi ini telah membawa kepada lahirnya seorang pemerintah agung, Adruja Wijayamala Singa atau Cik Siti Wan Kembang.

Satu sumber dari catatan pengembara Islam tersohor, Ibn Batutta (1304-1369) menyebutkan terdapat seorang Raja perempuan beragama Islam bernama Adruja di Kuala Krai (dalam catatan disebut Kilu Kilai @ Kailu Kiri iaitu Kuala Krai di Ulu Kelantan sekarang). Raja Perempuan itu digambarkan oleh Ibn Batutta sebagai seorang yang gagah perkasa disebalik wajahnya yang jelita, pandai menunggang kuda, memanah, pandai menulis tulisan Arab dan boleh bertutur dalam Bahasa Turki. (Sa’ad Shukri, Detik-Detik Sejarah Kelantan, 1971:30) Ibn Batutta mencatatnya sebagai Urduja.

Menurut satu sumber sejarah, Ibn Batutta yang telah memberikan gelaran “Siti” atau “Paduka Cik Siti” kepada Raja Perempuan Serendah yang membawa maksud seorang perempuan yang menjadi Tuan atau Ketua orang ramai. Gelaran tersebut telah digunakan semula oleh Wan Kembang (1610-1667M) salah seorang keturunan Raja Bharubhasa (atau Sultan Mahmud Syah), iaitu saudara kandung Adruja. Tokoh yang bernama Wan Kembang ini telah dikenalpasti sebagai “Cik Siti Wan Kembang II” oleh golongan sarjana dan sejarawan).

Sejarah bermula apabila Sultan Mansur Shah (Kelantan) mangkat pada 1526 M (928H), maka
putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda Raja Gombak mangkat pada 1548M, maka cucunda baginda Sultan Mansur yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1548M. Dengan gelaran Sultan Ahmad Shah ibni Almarhum Raja Muda Mansur Shah III. Ini kerana Raja Gombak tidak mempunyai anak. Lalu baginda Sultan Ahmad telah berkahwin dengan Cik Banun Puteri Seri Nara D'Raja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Wan Kembang.

Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1561M, sewaktu puteri baginda Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Menurut buku Detik-detik Sejarah Kelantan karangan Sa'ad Shukri Haji Muda, apabila Raja Hussein mangkat pada tahun 1610M (1018H), maka Wan Kembang ditabal menjadi Raja Kelantan pada tahun yang sama. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai.

Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang menggelarkan Cik Siti Wan Kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang amat disukai Baginda, iaitu persembahan daripada rakyat Baginda yang tinggal di Gunung Ayam. Gambar kijang ini telah diterap di atas wang emas dengan perbelanjaan negeri, dan diabadikan pula sebagai sebahagian daripada lambang kebesaran negeri Kelantan yang berkekalan sehingga ke hari ini. Motif kijang ini yang pernah digunakan di Kelantan di zaman lampau turut digunakan sebagai logo oleh Bank Negara Malaysia dan tertera pada wang kertas Malaysia sekarang.

Dalam masa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang memerintah di Gunung Chinta Wangsa itu, maka disebelah timur laut negeri Kelantan telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, dibawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah Baginda mangkat, maka putera Baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.

Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa, dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda Cik Siti Wan Kembang telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti, kerana Baginda tidak mempunyai puteri atau pun putera sebab baginda tidak pernah berkahwin.

Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.

Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang merupakan seorang yang berhati waja, bersifat tabah, kental ibarat membujur lalu melintang patah. Sepanjang kehidupan, baginda pernah menghilangkan diri dengan pergi bertapa untuk mendapatkan petunjuk bagi mengenalpasti penyambung warisan ilmunya yang berhak agar bumi Kelantan sentiasa terpelihara dengan amalan agama Islam dan rakyatnya menjadi manusia yang bermaruah.

PADUKA CIK SITI WAN KEMBANG, nama yang akan terus harum dan terus menjadi kebanggaan khususnya kepada kaum wanita dan lagenda bukan sahaja kepada masyarakat Kelantan, bahkan kepada keseluruhan bangsa Melayu di Nusantara. Namanya akan terus sebati dengan nama negeri Kelantan yang akan terus mendapat jolokan “TANAH SERENDAH SEKEBUN BUNGA, NEGERI CIK SITI WAN KEMBANGatau lebih tepat lagi “TANAH SERI INDAH SEKEBUN BUNGA, KISARAN PAYUNG, WILAYAH CIK SITI WAN KEMBANG”.

No comments:

Post a Comment