Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh
(siri 6)
Pada dasarnya, saya tetap dengan pendirian peribadi
saya selaku orang melayu yang menginginkan perpaduan dikalangan orang-orang
melayu melalui dua parti terbesar orang-orang melayu iaitu UMNO dan PAS dicapai.
Sebab itulah saya pernah berkata bahawa kedua-dua
parti ini perlu mengukuhkan lagi perpaduan dalaman ahli-ahlinya sendiri
terlebih dahulu sebelum agenda ini dicapai. Jika ini tidak diusahakan,
perpaduan yang diharapkan itu tidak mungkin dicapai kerana masalah perpaduan
dalaman setiap parti itu sendiri akan menyekat usaha luaran itu. Ada pihak yang
menyokong, ada yang tidak. Jika perpaduan dalaman dicapai, usaha ini boleh
mencapai kejayaan kerana majoriti ahlinya akan akur dan mengikut apa yang
diputuskan oleh kepimpinan parti.
Sebab itulah juga saya pernah berkata bahawa pertandingan
diperingkat tertinggi pusat dan juga bahagian seeloknya dielakkan terlebih
dahulu buat sementara waktu. Biarkanlah pemimpin yang sedia ada ini memimpin
supaya perpecahan tidak terus berlaku. Inilah yang paling ‘ideal’ untuk tujuan
mengukuhkan perpaduan kearah mencapai cita-cita yang lebih besar itu.
Pendapat saya ini sudah tentulah ada yang bersetuju
dan ada yang tidak. Mereka yang bersetuju adalah golongan yang tidak lagi aktif
dalam parti terutamanya kaum veteran kedua-dua parti UMNO dan PAS, manakala
yang tidak bersetuju itu pula biasanya orang-orang yang memegang jawatan parti
atau sekurang-kurangnya ada kepentingan melaluinya. Mereka yang bersetuju tidak
lagi memikirkan apa-apa yang lain kecuali mahukan kesejahteraan orang-orang
melayu terbela secara menyeluruh melalui kekuatan perpaduan ini sedangkan yang
tidak itu hanya memikirkan kesejahteraan peribadinya sahaja. Mereka yang
bersetuju tidak banyak bercakap manakala yang tidak itu pula banyak berpidato
menentang parti-parti lawan.
Dalam konteks ini, maka itulah sebabnya saya telah
awal-awal cadangkan supaya pertandingan diperingkat tertinggi itu dielakkan
tetapi semuanya tetap terpulang kepada para perwakilan yang akan memilih dan
mengundi itu. Merekalah yang berhak membuat keputusan walaupun apa pun akibat
yang akan terhasil. Jika mereka ingin menentukan supaya jawatan tertinggi itu
tidak dipertandingkan, maka itulah keputusan terbaik. Jika mereka masih ingin
memilih, maka itulah juga keputusan terbaik dalam usaha menyuburkan semangat
demokrasi.
Jika perwakilan merasakan kepimpinan yang ada ini
sudah banyak melakukan kesilapan-kesilapan besar yang ketara dan tidak boleh
dimaafkan, maka pemilihan harus dijalankan untuk menentukan supaya parti tidak
berterusan dipimpin oleh pemimpin seperti ini. Jika dibiarkan, semakin sukarlah
agenda perpaduan hendak dicapai, baik diperingkat dalaman atau luaran.
Dalam kes seperti ini, tiadalah jalan lain melainkan
menukar pemimpin yang berkenaan itu. Lebih baik dibuang segera kepala ikan yang
buruk sementara ikan masih boleh dimasak dan dimakan.
Oleh,
Wan Malek Semerak
Penganalisis dan Pengkritik Bebas
No comments:
Post a Comment