Sunday, 9 June 2013

Terbitan Khas



Hakisan Keyakinan Orang2 Melayu Terhadap UMNO (siri 3)

Ada pendapat yang mengatakan bahawa Presiden UMNO semakin menghadapi tekanan selepas PRU13 yang lalu kerana agenda perpaduan orang-orang UMNO belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan, bahkan semakin parah secara dalaman.

Ini akan dapat dilihat secara lebih jelas apabila menjelangnya musim pemilihan parti nanti. Mereka yang dijangka akan cuba sedaya upaya untuk mengisi jawatan-jawatan utama parti diperingkat Bahagian contohnya, adalah mereka yang memenangi kerusi-kerusi parlimen dan DUN dalam pilihanraya yang baru lepas. Mana-mana calon yang kalah baru-baru ini tetapi memegang jawatan-jawatan penting parti akan cuba disaingi oleh mereka yang menang itu. Suasana akan berubah menjadi lebih sengit jika penyandang utama iaitu Ketua Bahagian sendiri menang dalam pilihanraya itu baru-baru ini. Sudah tentulah beliau mahukan ‘orang-orangnya’ mengisi semua jawatan-jawatan penting dan utama itu supaya kerjanya menjadi mudah dan tidak terhalang.

Sebab itu bagi saya, pindaan perlembagaan yang membolehkan pemilihan dibuat dengan membabitkan seasas-asas Cawangan pun tidak membawa sebarang erti. Sikap mementingkan diri sesetengah daripada pemimpin parti diperingkat Bahagian contohnya, masih lagi menebal dan pindaan yang dilakukan itu tidak sedikit pun memberi kesan dalam meredakan sikap mereka ini. Mereka masih lagi boleh mencari jalan yang lain untuk mencapai cita-cita mereka itu. Mereka yang seperti ini sanggup mengorbankan segala apa yang ada hatta harta peribadi pun asalkan jawatan yang hendak dikekalkan atau dihajati itu tercapai kerana jika jawatan yang direbut-rebut itu berjaya disandang, apa yang sudah hilang itu akan mudah diganti balik dalam masa yang singkat sahaja.  

Saya teringat pada masa dahulu apabila jemaah menunggu-nunggu untuk solat. Jika imamnya tidak hadir, jemaah akan menolak-nolak belakang masing-masing supaya orang lain yang bergerak kehadapan untuk menjadi imam. Pada masa ini, suasana sebegitu sudah tidak ada. Apa yang ada ialah jemaah akan berebut-rebut untuk naik ke depan menjadi imam. Dengan berbuat demikian, orang yang berkenaan itu akan merasa bangga dan mengharapkan beliau dihurmati dikalangan masyarakat tempatan. Dengan itu juga, mudah-mudahan beliau pun ditawarkan apa-apa jawatan oleh kepimpinan parti seperti guru mengajar Al-Quran atau guru KAFA. Ini sudah tentulah menguntungkan kerana jawatan-jawatan itu berelaun. Malangnya, orang yang seperti ini tidak sedar bahawa beliau bukanlah yang terbaik bacaannya kerana ada orang lain yang lebih tinggi pelajaran dan ilmu agamanya.

Presiden UMNO hanyalah ‘kapten’ sebuah kapal yang membawa ramai penumpang. Jika penumpang-penumpangnya berdisiplin, kapal itu tidak akan menghadapi sebarang masaalah. Namun, jika penumpang-penumpangnya tamak untuk sampai dahulu, kapal itu akan karam kerana semua penumpang hendak berada di hadapan yang menyebabkan kapal itu senget dan karam sebelum sampai ke daratan.

Saya ingin cadangkan di sini supaya perlembagaan parti UMNO diubah lagi. Kali ini perubahan yang saya maksudkan ialah melibatkan pemansuhan pemilihan di peringkat Bahagian. Jika ini dapat dilakukan, barulah cita-cita Presiden UMNO untuk melihat semua orang-orang UMNO bersatu dan berpadu tercapai. Jawatan-jawatan utama seperti Ketua, Timbalan dan Naib tidak dipertandingkan tetapi dilantik oleh Presiden parti melalui nasihat Pengerusi Perhubungan.

Jika ini dapat dilaksanakan, maka perpecahan dalaman parti akan dapat dikurangkan secara ketara. Ini adalah kerana perpecahan dalaman parti berlaku sebaik sahaja berlakunya pertandingan di ketiga-tiga peringkat jawatan utama ini. Apabila sudah berpecah, maka teramat payahlah untuk disatukan kedua-dua golongan yang bertentangan ini kerana sudah tentulah ketua kepada setiap kumpulan ini mempunyai pengaruh yang besar keatas penyokong-penyokongnya masing-masing.

Sebaliknya, jika ini tidak dapat dilaksanakan, apa yang pernah diperkatakan oleh mantan Presiden UMNO bahawa UMNO hari ini semakin dijauhi oleh orang-orang cerdik pandai semakin menjadi kenyataan kerana mereka tidak lagi melihat UMNO sebagai sebuah parti yang menarik walaupun UMNO ialah parti orang-orang melayu.

Ini semua disebabkan oleh nilai-nilai murni perjuangan UMNO yang asal sudah dihakiskan oleh pemimpin-pemimpinnya sendiri yang bersikap tamak haloba.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak

No comments:

Post a Comment