SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (62)
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan)
Saya banyak membuat pemerhatian keatas komen-komen yang disampaikan dalam Facebook oleh orang-orang tertentu terhadap orang perseorangan. Ada komen dibuat secara bijak dan membina tetapi tak kurang juga komen-komen yang kurang bijak dan tidak matang.
Saya melihat perkembangan aktiviti mengisi masa lapang dengan hobi membaca dan menulis komen dalam Facebook sebagai sesuatu yang baik kerana kita boleh berkongsi pendapat dan pandangan diantara satu sama lain secara terus dan spontan walaupun tidak berdepan. Selain daripada ianya menjimatkan, kita juga bebas untuk menulis sebanyak mana komen-komen kita tanpa had berbanding dengan sms atau perbualan telefon.
Dalam pemerhatian saya, bermacam-macam ragam dan gaya boleh dilihat apabila kita membaca komen-komen yang ditulis. Kadang-kadang kita boleh mengenali atau mengecam penulis itu tetapi banyak diantaranya tidak dapat dikenali kerana penulis berkenaan menggunakan nama samaran. Jika orang itu kita kenali, maka tindakbalas kita dalam memberikan komen sudah tentulah lebih ikhlas dan terbuka. Jika sebaliknya, kita akan merasa was-was dan tidak yakin untuk memberikan komen balas kerana tidak mengetahui keikhlasan dan keintelektualan penulis itu. Sebab itu kita dapati komen yang diberikan mengenai sesuatu topik perbahasan kadang-kadang tersasar atau tidak jelas kepada maksud yang dikehendaki.
Apa pun, saya melihat komen terbentuk dalam dua kelas. Kelas pertama (1st class) ialah komen dari orang-orang yang tidak mempunyai sebarang kepentingan sementara kelas kedua (2nd class) ialah komen dari orang-orang yang mempunyai kepentingan.
Oleh kerana saya terlibat dalam penulisan artikel politik, pemerhatian saya sentiasa terarah kepada komen-komen terhadap orang-orang politik yang melakukan aktiviti-aktiviti politik. Saya dapati komen kelas pertama adalah daripada orang-orang yang tidak mempunyai kepentingan politik kerana itulah komen-komen yang jelas dan ikhlas samada komen itu menyokong atau pun membantah. Kelas kedua adalah komen-komen yang datangnya dari orang-orang yang ada kepentingan politik seperti ada cita-cita hendak menjadi calon atau sebagainya. Orang-orang seperti ini pada kebiasaannya tidak dapat menerima hakikat bahawa ada orang lain yang lebih layak daripadanya. Orang-orang seperti ini akan hanya mampu berhujah mengkritik orang lain secara negatif sahaja dan tidak mampu memberikan pandangan atau cadangan yang baik dan membina kerana sikap mereka yang tidak bebas dan tidak berkecuali. Mereka tidak bersikap rasional dan professional dalam membahas sesuatu isu atau topik dan akan sentiasa bersikap ‘sarcastic’ dan ‘sceptical’ dalam setiap hujahnya.
Saya hanya membuat penilaian sebagai satu catatan peribadi didalam hal ini. Saya tidak bermaksud supaya mereka yang berada di dalam kelas kedua itu ditinggalkan hanya kerana komen-komen mereka yang tidak matang. Terpulanglah kepada rakan-rakan FB yang lain bagaimana nak ‘handle’ mereka secara bijak dan halus.
Jika dirasakan komen mereka tidak memberi sebarang faedah, biarkanlah mereka dengan cara mereka. Kadang-kadang pihak pengendali sesuatu forum itu harus tegas dalam bertindak supaya orang-orang lain tidak hilang minat untuk meneruskan perbincangan. Samada hapuskan penyertaannya atau jangan dilayan komen-komen seperti itu.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
16 Ogos 2011 / 16 Ramadhan 1432H
Semerak.
No comments:
Post a Comment