Monday, 15 August 2011

SSPDS 59


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (59)
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan atau sekurang-kurangnya BN menang diperingkat parlimen Pasir Puteh dalam PRU ke-13 nanti)
Saya akan memetik jari jemari saya ke atas keyboard netbook saya apabila sahaja saya ada masa lapang untuk menulis. Sama juga orang yang hobinya bermain gitar. Beliau akan terus mencapai gitarnya dan memetik-metik talinya apabila sahaja beliau ada masa lapang. Begitu jugalah dengan orang-orang yang mempunyai pelbagai hobi yang lain.
Kadang-kadang saya bukannya ada apa-apa untuk ditulis tetapi apabila sahaja menghadapi meja, idea itu datang dengan sendirinya. Saya teringat sewaktu saya menjadi pemimpin pelajar dulu. Kadang-kadang saya diminta naik ke pentas tanpa dimaklumkan terlebih awal akan topik pidatonya tetapi apabila berada di atas pentas, idea datang dengan sendirinya dan saya boleh berpidato sehingga kadang-kadang selama 2 jam tanpa henti.
Itu semua sudah berlalu. Sekarang saya mampu sekadar menulis sahaja.
Kali ini, saya ingin menyentuh sedikit tentang tokoh-tokoh politik UMNO yang ada di Pasir Puteh.
Saya ada ditanya mengapa saya asyik menulis tentang dua  (2) orang tokoh sahaja iaitu Cikgu Azmi Bin Mohamad Noor dan Kapt. (B) Wan Marzudi Bin Dato’ Hj. Wan Omar, JP.
Memang pun begitu kerana kemampuan saya sekadar menulis tentang mereka berdua sahaja. Diharapkan ada orang lain yang boleh menulis tentang tokoh-tokoh lain pula.
Mereka berdua ini sememangnya rapat dengan saya. Sentiasa datang berjumpa dengan saya atau sekurang-kurangnya bertanya khabar melalui telefon atau sms. Yang lain-lain tak rapat bahkan ada yang tak kenal pun saya. Oleh itu saya tidak boleh menulis apa-apa secara panjang lebar tentang mereka kerana jikalau kita hendak menulis tentang sesiapa kita hendaklah mengenali orang itu secara dekat supaya apa yang ditulis tidak silap dan salah faktanya.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
15 Ogos 2011 / 15 Ramadhan 1432H
Semerak.

No comments:

Post a Comment