Wednesday, 11 February 2015

MAN (Mahathir Anwar Najib)

Liwat 2: Yang menang Mahathir, yang kalah Anwar dan Najib..

"Najib juga perlu mengambil kira kesan keputusan itu apabila dia seterusnya mengetuai BN pada pilihan raya akan datang. Tuduhan liwat terhadap Anwar sebelum ini berjaya menarik undi yang besar pada 2013, dan kini hukuman penjara beliau hanya akan memberi lebih banyak undi kepada pembangkang.
Ketika ini pun, DAP dan PKR mengambil pemimpin muda yang merugikan Umno dan sekutu-sekutunya. Keputusan Anwar akan menambahkan lagi penghijrahan ke PR dan mempercepatkan kematian parti bukan Melayu dalam BN ~ The Malaysian Insider"

 Liwat 2: Yang menang Mahathir, yang kalah Anwar dan Najib..

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjalani hukuman lima tahun penjaranya selepas rayuan terhadap sabitan dan hukuman kes Liwat 2 ditolak Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Kes liwat kedua beliau ini, yang bermula pada 2008, tidak menarik perhatian sebegitu ramai orang seperti mana sokongan diterimanya ketika kes pertama pada 1998, tetapi sokongan terhadapnya dan Pakatan Rakyat (PR) meningkat dalam tahun-tahun yang lalu.

Walaupun dengan tuduhan liwatnya, Anwar dan PR meraih lebih banyak penyokong di kalangan pengundi semasa pilihan raya umum 2013 (PRU13), merampas 52% undi popular dan sekali lagi menafikan Barisan Nasional (BN) majoriti dua pertiga di Parlimen.

Berikut pandangan The Malaysian Insider mengenai mereka yang menang dan yang kalah susulan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini.

YANG MENANG

1. Tun Dr Mahathir Mohamad

Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat ini memecat Anwar pada 1998, kononnya kerana meliwat dan penyalahgunaan kuasa, walaupun ia dilihat sebagai satu langkah mengekang rampasan kuasa dalam parti.

Sejak itu, Anwar merupakan musuh politik nombor satu Dr Mahathir, dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada 1999. Anwar dibebaskan pada 2004 apabila pengganti Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan.

Anwar dan sekutunya menguraikan pegangan BN pada PRU 2008 dan 2013, mengancam legasi Dr Mahathir dan meletakkan beliau dalam perdebatan sebagai bakal perdana menteri.

Bagaimanapun, sabitannya yang terkini dan hukuman penjara itu mengesahkan beliau tidak akan menjadi perdana menteri.

Ia juga memberi jalan untuk Dr Mahathir menumpukan kempennya bagi memastikan Umno kekal berkuasa, termasuk menghapuskan pemimpin parti yang dirasakannya tidak sesuai.

2. Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

Peguam Umno itu dipilih untuk mengetuai rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan Anwar atas dakwaan liwat oleh Mahkamah Tinggi pada 2012. Beliau berjaya mengetuai pihak pendakwa di kedua-dua Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Beliau memenangi kedua-duanya, walaupun popularitinya agak malap baru-baru ini apabila timbul berita mengenai surat jaminan menteri dalam negeri pada anak guamnya Paul Phua, yang menghadapi tuduhan di Amerika Syarikat, membuat pertaruhan Piala Dunia di Internet.

Terdapat spekulasi mengatakan kekalahan Anwar akan mengukuhkan peluang Shafee menyandang jawatan peguam negara apabila Tan Sri Abdul Gani Patail bersara tahun ini.

3. Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Presiden PAS ini tidak pernah senang dengan Anwar sejak dahulu sewaktu mereka berada di dalam pergerakan pelajar Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada akhir 70-an.

Dari segi politik juga, mereka tidak sehaluan apabila Hadi menyertai PAS pada 1978 dan Anwar menyertai Umno pada 1982. Anwar dilihat maju dalam Umno dan kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir sehingga tahun 1998 apabila beliau dipecat.

Pemecatan itu menyatukan mereka semula dalam menentang Umno tetapi persaingan antara mereka dan kelebihan Anwar dari segi kebolehannya mengendalikan kedua-dua politik antarabangsa dan dalam negeri, sentiasa meletakkan Hadi di belakang.

Perubahan kepimpinan Selangor yang dipanggil Langkah Kajang menyaksikan Hadi enggan melayan percaturan dirancang PKR, mengakibatkan kebuntuan dan ketegangan dalam hubungan mereka selama beberapa bulan.

Dengan Anwar dipenjara, Hadi, seorang yang ultra-konservatif, boleh meraih pengaruh yang lebih besar ke atas PR, yang mungkin akan diketuai Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk sementara waktu.

YANG TEWAS

1. Malaysia

Negara dengan 30 juta penduduk ini akan lebih berpecah selepas dua pilihan raya yang memecah belahkan mereka, dan dua perbicaraan liwat yang melibatkan Anwar sejak 17 tahun yang lalu.

Walaupun penyokong Anwar kelihatan kurang pada kes kali ini berbanding ketika beliau disabitkan dengan kes liwat pada tahun 1999, lebih ramai orang mengundi pakatan pembangkang itu berbanding dua pilihan raya sebelum ini.

Sabitan kesalahan liwat yang terbaru menambah kesuraman yang semakin meningkat di dalam negara yang kini berhadapan dengan pendapatan rendah kesan kejatuhan harga minyak dan minyak sawit selain nilai mata wang yang lemah.

Ketidakpastian terhadap status kewangan pelaburan strategik negara, 1MDB, mengaburkan lagi ekonomi negara ketika rakyat bersedia menghadapi cukai GST yang tidak popular itu.

Keputusan terkini kes liwat Anwar juga menarik semula perhatian terhadap badan kehakiman Malaysia dan penghakimannya walaupun Putrajaya dalam hanya 10 minit hari ini, menegaskan badan kehakiman negara bebas dari kuasa eksekutif.

2. Datuk Seri Anwar Ibrahim

Beliau mungkin berkata akan meneruskan perjuangan tetapi pemimpin politik yang popular ini akan genap 68 tahun pada Ogos, dan sebarang pelepasan awal hanya akan berlaku selepas 40 bulan, paling awal pun ketika sudah menjangkau 71 tahun.

Dan dengan halangan menyertai pilihan raya selama lima tahun selepas berakhirnya hukuman penjaranya, Anwar hanya boleh bertanding secara sah apabila berumur 76!

Dalam erti kata lain, hukuman penjara terkini ini hampir membunuh prospek politiknya.

3. Datuk Seri Najib Razak

Bagi perdana menteri, tidak ada orang yang mampu menandinginya baik dalam Umno mahupun BN. Beliau mungkin tidak popular dan prestasinya lebih buruk daripada Abdullah semasa PRU, tetapi beliau tetap satu-satunya pemimpin yang berdaya maju dalam parti pemerintah itu ketika ini.

Lawannya selama ini hanyalah Anwar, yang suatu masa dulu memimpin Najib dan lain-lain di dalam Pasukan Wawasan ketika pemilihan Umno 1993.

Tetapi, dengan Anwar di penjara, membuatkan Najib ibarat sasaran mudah kemarahan dan kekecewaan Dr Mahathir yang semakin memuncak terhadap dasar sosial dan ekonomi perdana menteri itu, selain 1MDB yang sarat dibebani hutang yang memberi kesan kepada kerajaan.

Di peringkat antarabangsa, keputusan Anwar hari ini akan menimbulkan lebih banyak kritikan daripada pemimpin dunia yang selama ini kagum dengan kesederhanaan Najib. Mereka sememangnya bimbang dengan tindakannya berhubung Akta Hasutan, dan keputusan kes Anwar ini akan terus menghakis kepercayaan mereka terhadap perdana menteri ini dalam agenda pembaharuannya.

Najib juga perlu mengambil kira kesan keputusan itu apabila dia seterusnya mengetuai BN pada pilihan raya akan datang. Tuduhan liwat terhadap Anwar sebelum ini berjaya menarik undi yang besar pada 2013, dan kini hukuman penjara beliau hanya akan memberi lebih banyak undi kepada pembangkang.

4. Umno dan Barisan Nasional

Ketidakadilan yang dilihat di dalam keputusan Anwar, dan kurangnya tindakan yang diambil dan hukuman penjara yang panjang terhadap individu di dalam kerajaan yang dikatakan terlibat rasuah, hanya akan menolak orang ramai jauh dari Umno dan parti BN yang lain.

Umno sendiri terbeban dengan tindakan sesetengah pemimpinnya yang mahu mengekalkan kuasa dan menolak penyertaan pemimpin politik muda dalam pertandingan bagi jawatan parti atau kerajaan. Keputusan Anwar hanya akan menarik mereka menyertai PR dan bergerak ke atas dengan lebih cepat.

Begitu juga dengan parti komponen BN yang lain, di mana perbalahan dalaman dan pemimpin lama enggan memberi laluan kepada ahli yang lebih muda, hanya akan menjauhkan rakyat Malaysia yang sedar akan hak mereka dan dapat lebih pengaruh melalui media sosial.

Ketika ini pun, DAP dan PKR mengambil pemimpin muda yang merugikan Umno dan sekutu-sekutunya. Keputusan Anwar akan menambahkan lagi penghijrahan ke PR dan mempercepatkan kematian parti bukan Melayu dalam BN ~ The Malaysian Insider

http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2015/02/liwat-2-yang-menang-mahathir-yang-kalah.html?spref=fb

No comments:

Post a Comment