UBAHLAH STRATEGI KEMPEN GST
Saya bersetuju dengan pelaksanaan GST, tetapi alasan persetujuan saya
tidak sama dengan alasan kerajaan. Saya bersetuju kerana saya melihat
pelaksanaan GST ini dapat meningkatkan hasil cukai serta mengelakkan
berlakunya ketirisan dalam menjana pendapatan negara.
Dengan hasil cukai yang meningkat itu, harapan saya ialah untuk negara mempunyai daya saing, negara dapat
membayar hutang luar, dan negara dapat menggunakannya untuk
meningkatkan kemudahan hospital, sekolah, jalan raya dan lain-lain
kemudahan asas yang diperlukan oleh rakyat.
Saya membaca alasan
dan hujah beberapa pemimpin kerajaan. Cukup mengelirukan. Kata mereka,
GST membolehkan rakyat menikmati harga lebih murah untuk pelbagai jenis
barang. Ini kerana rakyat hanya perlu membayar GST 6% sahaja
berbanding 5% bagi cukai perkhidmatan dan 10% cukai jualan sekarang
ini.
Kata mereka lagi, GST juga dapat menurunkan Indeks Harga
Pengguna (IHP), sekali gus menurunkan perbelanjaan isi rumah. GST juga
dapat mengurangkan kos operasi para peniaga kerana syarikat yang
mencatatkan perolehan tahunan kurang daripada RM500,000 dikecualikan
daripada membayar GST.
Kata mereka lagi, GST dikecualikan ke
atas barangan keperluan seperti produk pertanian serta makanan asas bagi
memastikan ia tidak membebankan rakyat khususnya golongan miskin dan
berpendapatan rendah.
Otak saya menolak hujah di atas. Jikalah
GST menurunkan harga barang, mustahil untuk rakyat menolaknya. Kenapa
kerajaan tidak memberikan alasan yang lebih sempurna dan lebih telus
tentang GST supaya rakyat senang faham?
Kenapa kerajaan tidak
menyatakan GST penting untuk meningkatkan pendapatan kerajaan bagi
memastikan negara kita kekal sebagai sebuah negara yang mempunyai daya
saing? Kenapa kerajaan tidak boleh beritahu rakyat bahawa kita perlukan
wang untuk mengurus ekonomi negara dan membayar hutang luar kita, serta
membangunkan kemudahan asas yang diperlukan rakyat?
Susahkah
untuk kita berlaku jujur dan memberi penjelasan yang tidak berbelit
kepada rakyat? Saya yakin rakyat tidak menolak GST jika kempennya tidak
mengelirukan.
Cumanya, sebelum melaksanakan GST ambillah
beberapa langkah awal supaya rakyat tidak tersepit dengan pelaksanaan
GST nanti: naikkan pendapatan rakyat, kurangkan pengangguran, tambatkan
harga komoditi dan lain-lain langkah yang kerajaan fikirkan patut.
KEMPEN GST
Dua hari lepas, Timbalan Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan akan
melatih 330 penceramah untuk memberi penerangan tentang GST di setiap
kawasan Parlimen dengan peruntukan RM2.2 juta. Kata beliau, semua
penceramah itu dipilih sendiri oleh Ketua Umno Bahagian di setiap
kawasan Parlimen dan mereka akan menjalani latihan selama tiga hari.
Persoalan saya ialah kenapa mesti Ketua Bahagian Umno yang pilih?
Bukankah GST ialah dasar kerajaan, maka kenapa tidak memberikan tugas
ini kepada pegawai kerajaan yang berkelayakan untuk menjelaskannya
kepada rakyat?
Persoalan saya seterusnya ialah apakah masih
belum mencukupi lagi kempen yang dijalankan oleh kerajaan dengan
paparan iklan GST di sepanjang jalan? Tidak cukupkah lagi dengan iklan
di tv, akhbar, dan penjelasan yang dibacakan pak imam di khutbah Jumaat?
Saya fikir kempen yang dijalankan oleh kerajaan telah mencukupi,
cumanya pendekatan dan strategi kempen sahaja yang tidak tepat. Untuk
rakyat memahami isu GST ini mudah sahaja, berlaku jujur kepada mereka.
Nyatakan apa kesan sebenar GST kepada mereka dan nyatakan apa kebaikan
sebenar kepada negara.
GST ini pun bukanlah sistem yang
teruk. Sebab itulah ia digunakan oleh sebanyak hampir 150 buah negara
sekarang ini. Dalam kelompok negara ASEAN, selain negara kita, hanya
Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkannya.
Laksanalah,
tetapi ubahlah strategi kempen. Jangan selalu memberikan alasan yang
memberi ruang kepada rakyat jalan untuk menolaknya. Hormati intelek
mereka.
No comments:
Post a Comment