Thursday, 6 March 2014

Himpunan Aman SETIA

Berikut ialah salinan secara 'copy & paste' (tanpa edit) daripada posting dalam Facebook oleh Che Ibrahim Mohamed susulan protes secara aman pada 6hb Mac 2014 di Kota Bharu. Komen peribadi saya terlebih dahulu :
Tidak pernah dalam sejarah selama 24 tahun PAS memerintah negeri Kelantan diadakan protes atau bantahan secara terbuka seperti ini oleh orang-orang PAS sendiri terhadap kepimpinan parti dan kerajaan negeri. Saya melihatnya sebagai titik permulaan kearah berlakunya perpecahan besar didalam parti PAS kerana jika dibiarkan, gejala ini akan terus merebak apabila pihak yang membantah ini mengumpulkan sokongan hari demi hari. Kesan paling buruk yang akan diterima oleh parti PAS negeri Kelantan yang memerintah ialah dalam PRU14 nanti apabila kekuatan yang terbina melalui perpaduan ahli selama ini punah sehingga mengakibatkan kerajaan negeri tumbang. Puncanya mungkin kecil sahaja tetapi itulah yang menyebabkan kebakaran yang besar kerana api yang kecil pada mulanya itu dibiarkan sahaja. Apabila api sudah besar dan menghanguskan sebahagian besar kediaman, bomba pun tidak lagi boleh berbuat apa-apa kecuali menyembur air ke atas abu sahaja.

AKTIVIS SETIA KELANTAN (SETIA)

(bertekad mempertahankan Institusi Diraja, Pakatan Rakyat (PR) dan Kerajaan Kelantan)

KETETAPAN PERHIMPUNAN AMAN - 06 MAC 2014/04 J’AWWAL 1434H – KOTA DARUL NAIM.

Bahawa, kami hamba rakyat melihat dan memerhatikan secara bersama dengan penuh berhati-hati, terdapat beberapa kepincangan yang berlaku dalam pengurusan PAS Kelantan dan Kerajaan Kelantan menjelang PRU13 dan selepasnya .

Salah urus parti yang berlaku dan tidak dibendung, menyebabkan berlakunya beberapa perlanggaran dalam akhlak urus tadbir secara berleluasa samada dalam parti dan kerajaan seperti berikut;

: Perlantikan penyelia DUN bagi kerusi yang ditandingi oleh PAS, yang tidak disenangi oleh ahli dasar parti. Perlantikan lebih kepada kroni yang sedang dibina oleh kelompok pimpinan tertentu dalam parti..

Salah urus perlantikan penyelia DUN bagi kerusi yang ditandingi PKR, khasnya bagi DUN Kuala Balah dan Pengkalan Kubur. (sudah nikah tapi kena tidur dikandang kuda) Padahal ketetapan telah dibuat oleh Majlis Presiden PR bahawa mana-mana kerusi yang ditandingi oleh PKR, jawatan penyelia DUN hendaklah diserahkan kepada PKR, demi merencanakan kekuatan masa depan parti.

Penyingkiran dan pemecatan beberapa tokoh dan tenaga penting dalam parti, bertujuan melantik muka baru yang sebulu. Kes terbaru adalah pemecatan yang tidak berakhlak Islam ke atas Us.Che Ibrahim Mohamad sebagai Tim.Pendaftar KIAS.

Kecuaian dan ketirisan pengurusan wang parti dalam mengagihkan perbelanjaan kepada pengundi luar dalam PRU13. Ramai yang tidak menerima wang tersebut walaupun telah mengisi borang dan memang dijanjikan oleh parti. Khabarnya wang tersebut memang telah sedia ada, tetapi kemana dibelanjakan. Kesannya hampir 350 ribu orang pengundi luar telah tawar hati untuk pulang mengundi, dan sudah ada yang mula memindahkan daftar tempat mengundi mereka ditempat kerja masing-masing diluar Kelantan.

Ekoran daripada salah urus dan tiadanya etika pengurusan di atas, maka ianya merebak ke dalam pentadbiran kerajaan Kelantan yang kemudiannya telah membawa kepada beberapa kepincangan berikut;

: Beberapa projek rakyat seperti lebuhraya, stadium dan seumpamanya tidak diambil perhatian yang serius, kerana diusahakan oleh exco sebelumnya. Tidak mahu disambung kerana takut dikata membangunkan idea orang lain. Ditambah pula dengan tiadanya anggota exco yang mampu kedepan mengorak langkah menggandakan usaha meneruskan pembangunan negeri sebagaimana yang berlaku dizaman pemerintahan Tok Guru.

Perancangan perlaksanaan Hudud yang terlalu perlahan. 23 tahun masih lagi diperingkat cadangan. Malah dikatakan tidak pernah ada perbincangan diadakan dikalangan panel pakar teknikal yang telah dilantik. Paling menarik kerajaan Kelantan masih gagal untuk mewartakan dokumen mengenai hudud ini.

Pembolotan jawatan tanpa terkawal oleh beberapa pimpinan negeri, seperti Tim.Menteri Besar yang memegang terlalu banyak jawatan dalam anak syarikat kerajaan negeri. Selain memegang polio sebagai TMB, beliau juga masih terus memegang jawatan sebagai pengerusi KIAS(beliau bukan lagi memegang polio pendidikan negeri), Perbadanan Tunjung dan sebagainya lagi. Begitu juga dengan SU Perhubungan PAS Kelantan yang membolot beberapa jawatan penting dalam beberapa anak syarikat kerajaan Negeri Kelantan.

Keadaan kewangan kerajaan Kelantan dan beberapa agensi yang diberitakan semakin meruncing.

Kecenderungan pimpinan Kelantan yang suka dan kerap melawat ke luar negara yang tentunya akan membazirkan wang rakyat yang banyak. Apakah dengan memperbanyakkan lawatan keluar negara, negeri, parti dan rakyat Kelantan boleh dibangunkan?

Difahamkan juga bahawa banyak tindak tanduk YB TMB dalam parti dan kerajaan, tidak banyak membantu memperkukuhkan kepimpinan dan kerja YAB Menteri Besar dan Peseuruhjaya. YB TMB dan SU Perhubungan terlalu banyak menimbulkan masalah kepada parti dan kerajaan.

Berdasarkan beberapa perkembangan yang berlaku di atas, kami hamba rakyat mendesak supaya pihak pimpinan tertinggi parti bertindak MENUKAR atau MENGGUGURKAN Tim.Menteri Besar dan SU Perhubungan yang ada sekarang dengan seberapa segera, dan digantikan dengan tokoh lain yang lebih jujur dan lebih berkemampuan.

Ini bertujuan memberi laluan yang lebih luas kepada YAB MB dan Pesuruhjaya PAS Kelantan membuat perubahan segera yang boleh menyelamatkan parti dan kerajaan daripada terus lemah dan tersungkur menjelang PRU14.

Pihak SETIA akan terus bergerak mengumpulkan sokongan pelbagai pihak samada dalam dan luar negeri bagi mendesak sehingga dua nama yang menimbulkan masalah kepada kepimpinan dan kerajaan Kelantan ini digugurkan dan ditukar kepada tokoh yang lain.

Sekian. Terima kasih.

Sekretariat AKTIVIS SETIA KELANTAN (SETIA)

No comments:

Post a Comment