Friday, 28 February 2014

DSAI dan Pelabur Jepun



DSAI dan Pelabur Jepun

Pada waktu saya menulis artikel ini, DSAI sedang berada di Jepun. Melalui Facebook, saya mendapat berita bergambar (gambar di atas) beliau sedang membuat pertemuan demi pertemuan dengan pelabur-pelabur Jepun dan difahamkan bahawa pelaburan yang ingin ditarik pulang ke Malaysia adalah khusus untuk negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Saya tidak tahulah sejauh mana kejayaan yang akan dicapainya. Sudah tentulah kerja seperti ini lebih sesuai diusahakan oleh PM DSNajib, bukan oleh seorang ketua pembangkang dalam parlimen. Jika PM DSNajib sendiri yang pergi, sudah tentulah pelaburan yang akan diperolehi adalah untuk seluruh negara bukan hanya untuk tiga buah negeri itu sahaja.

Inilah yang agak menghairankan ramai orang. Ianya seolah-olah menunjukkan bahawa pelabur-pelabur Jepun lebih menyukai DSAI berbanding PM DSNajib. Apa yang istimewanya DSAI berbanding PM DSNajib tiadalah dapat saya huraikan di sini. Yang jelas ialah, pelabur-pelabur Jepun itu lebih mengetahuinya dari saya.

Jika DSAI benar-benar berjaya menarik mereka dan benar-benar berjaya pula membawa mereka pulang termasuk ke negeri Kelantan sepertimana yang diperkatakannya itu, saya yakin keseluruhan rakyat Kelantan sudah tentu menyambutnya dengan rasa lega. Penantian selama puluhan tahun akan membuahkan hasil dan pembangunan yang dinanti-nantikan di Tok Bali contohnya, akan menjadi bukti yang lebih jelas bahawa beliau sememangnya layak menjadi seorang pemimpin negara.

Namun, jalan baginya bukan mudah.kalau pun segala-galanya berjalan lancar di Jepun. Saya khuatir sekatan dalaman akan dikenakan juga oleh kerajaan pusat. Jika ini berlaku, maka pelabur-pelabur yang berminat hendak datang membangunkan ketiga-tiga negeri termasuk Kelantan itu terpaksalah menunggu sedikit masa lagi. Masa yang ditunggu-tunggu itu ialah apabila PR menawan pusat pada PRU14 ini. Pada masa ini barulah apa sahaja yang ingin dibangunkan oleh pelabur-pelabur Jepun termasuk di negeri Kelantan tidak boleh disekat oleh sesiapa lagi. Selain daripada Tok Bali, daerah-daerah lain pun dapatlah juga menikmati pembangunan yang diidam-idamkan selama ini. Negeri Kelantan tidak lagi dianaktirikan. Royalti minyak pun dilepaskan juga.

Oleh itu, misi ‘outreach’ DSAI membawa pulang pelabur-pelabur Jepun hendaklah juga di’syncronize’kan dengan usaha dalaman yang lebih penting daripada itu. Usaha itu ialah menawan kerajaan pusat. Jika tidak, usaha luaran itu menjadi sia-sia sahaja dan tinggallah orang-orang Kelantan sebagai Mat Jenin dalam keadaan terus berangan-angan entah sampai bila.

Jika misi ini berjaya sebaliknya dan sekatan pun tidak dikenakan oleh kerajaan pusat, apakah ini tidak memungkinkan bahawa sebenarnya PM DSNajiblah yang telah menelefon kepada PM Jepun secara sulit supaya membenarkan semula DSAI masuk ke negara itu?

Tiada siapa yang tahu tetapi ianya tidak mustahil kerana tiada apa yang mustahil dalam politik.

Untuk itu, saya ingin merujuk para pembaca kepada satu soalan khas:
Pernahkah selama ini kita terdengar atau terbaca sebarang kenyataan terbuka dikeluarkan oleh DSAI secara kasar atau tajam atau keterlaluan terhadap PM DSNajib? Begitu juga, pernahkah selama ini kita terdengar atau terbaca sebarang kenyataan terbuka dikeluarkan oleh PM DSNajib secara kasar atau tajam atau keterlaluan terhadap DSAI?

Jawabnya: Tidak

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas  

No comments:

Post a Comment