Wednesday, 29 January 2014

Pelan Perpaduan Nasional


Pelan Perpaduan Nasional

YAB Dato’ Sri Najib telah melancarkan ‘Pelan Perpaduan Nasional’ hari ini. Sudah tentulah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional atau JPNIN menjadi ‘instrument’ atau ‘sayap kerajaan’ yang paling utama dalam merealisasikan hasrat ini. Semua agensi di bawah jabatan ini pula akan digerakkan secara lebih aktif dan agresif termasuk Kawasan Rukun Tetangga atau KRT.

Inilah yang saya dan semua orang menunggu-nunggu selama ini. Pelan seperti ini sudah tentu boleh memberikan semangat dan nafas baru kepada cita-cita mewujudkan suasana perpaduan masyarakat di seluruh negara termasuk kawasan saya, Semerak. Kesungguhan pihak pemerintah mengambil perhatian dan bertindak untuk melakukan sesuatu dalam soal seperti ini sangatlah dialu-alukan oleh semua pihak yang cintakan semangat perpaduan berbilang kaum.

Kita ingin melihat suasana dimana semua bangsa dan kaum bergaul mesra seperti kawan atau keluarga. Walaupun pada peringkat harian, masing-masing dengan kerja dan tugas berlainan tetapi mereka tetap berinteraksi dengan bebas dan harmoni. Walaupun pada peringkat fahaman politik, masing-masing dengan pegangan yang berbeza tetapi mereka tetap menjaga sensitiviti pihak yang lain terutamanya dalam soal budaya dan agama. Suasana seperti ini pernah wujud dizaman perdana-perdana menteri terdahulu terutamanya dizaman Allahyarham Tun Abdul Razak. Tidak pernah dilancarkan sebarang pelan tetapi cukup dengan asuhan perpaduan yang dimulakan dari bangku sekolah lagi.
Namun, pada masa ini suasana baik ini sudah tiada. Hari-hari kita melihat bukan sahaja orang-orang melayu berbalah sesama bangsa sendiri bahkan orang dari berlainan kaum dan agama pun sudah berani mencabar orang-orang melayu dalam soal-soal yang tidak sepatutnya mereka sentuhi iaitu agama.

Saya tidak tahulah apa puncanya maka keadaan ini sudah pun berlaku sampai kepada tahap ini. Saya bukan orang politik dan bukan pengkaji sejarah yang ada ilmu kemasyarakatan tetapi saya mempunyai minat yang mendalam dalam soal ini. Ada orang berkata puncanya kerana ISA dimansuhkan. Oleh itu pemerintah terpaksa menjadi terlalu bertolak ansur atau ‘lenient’ (not strict in the way you punish someone or in the standard you expect). ISA ialah ‘standard’ yang telah dimansuhkan itu.

Sekarang, pemerintah tidak berupaya berbuat apa-apa lagi kecuali merangka startegi-strategi lain untuk mengurangkan suasana panas yang semakin hari semakin menjadi-jadi itu. Sesuatu yang boleh menggantikan ISA tidak mungkin boleh dihasilkan lagi kerana sudah tentu usaha seperti itu dihalang dengan hebat oleh parti-parti pembangkang dalam parlimen. Jadi apa yang boleh dilakukan hanyalah dengan mengadakan pelan-pelan yang dirasakan boleh memberikan kesedaran sahaja. Sebab itu pelan seperti ini agak tidak munasabah dilancarkan baru sekarang.

Walau bagaimana pun ianya tetap sesuatu yang perlu dilaksanakan juga. Lewat atau tidak lewat bukan menjadi penting. Semua pihak harus menyambut baik pelan ini kerana inilah sahaja jalan yang ada jika kita mahukan perpaduan itu dicapai.

Apabila saya berkata begini, saya yakin tentu ada orang yang menyangka saya menyokong BN. Bukan itu maksud saya. Saya ialah seorang penulis bebas yang ‘non-partisan’. Saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik lagi tetapi akan menyokong apa sahaja usaha baik yang dilakukan oleh mana-mana pihak, baik kerajaan mahu pun parti pembangkang. Bagi saya apa yang betul tetap betul, apa yang tidak tetap tidak.

Berbalik kepada soal pelan ini, sebagai seorang penulis bebas ianya tetap akan saya kritik juga. PM Najib lupa bahawa asas kepada kejayaan pelan ini bergantung kepada sejauh mana orang-orang melayu terlebih dahulu bersatu dan berpadu sesama mereka. Selagi orang-orang melayu sendiri tidak boleh disatukan dalam ertikata yang sebenar, selagi itulah pelan ini tidak akan mencapai matlamatnya. Bangsa-bangsa lain tidak akan sekali-kali menyambut dan memberikan kerjasama selagi mereka melihat orang-orang melayu sendiri pun tidak boleh bersatu. Ini adalah kerana konteks perpaduan yang disasarkan itu sebenarnya berpaksi kepada satu tujuan utama sahaja secara terlindung iaitu perpaduan diantara orang-orang melayu dan bangsa-bangsa lain. Orang-orang melayu di satu pihak manakala bangsa-bangsa lain disatukan dipihak yang satu lagi.

Oleh yang demikian perpaduan bangsa melayu sendirilah yang lebih dahulu sepatutnya diusahakan, bukan ‘nasional’. Jika ini dicapai barulah pelan ‘nasional’ ini boleh digerakkan. Jika tidak, buatlah macam mana pun, saya yakin matlamatnya sekadar menjadi retorik dan slogan politik sahaja.

Saya faham bahawa ‘Pelan Perpaduan Melayu’ tidak mungkin kerajaan sendiri yang melancarkannya. UMNO pun tidak boleh juga walaupun parti ini ialah parti melayu dan tunjang pemerintahan negara dalam BN. Yang boleh mengusahakan wadah ini ialah NGO-NGO utama melayu seperti PERKASA dan lain-lain yang seumpamanya. NGO-NGO ini perlu bergabung sesama mereka dan kerajaan memberikan ‘back-up’ atau sokongan di belakang baik dari segi moral mahupun kewangan. Apa yang diperlukan selebihnya ialah komitmen yang tinggi oleh kedua-dua pihak NGO dan kerajaan serta rakyat jelata.

Dengan cara ini barulah matlamat ‘Pelan Perpaduan Nasional’ itu boleh dicapai. Jika tidak, PM Najib akan berhadapan dengan satu lagi reaksi yang tidak menyenangkan dari orang-orang melayu sendiri. Mereka akan berkata bahawa “pelan syok sendiri sahaja, memudahkan kroni mencipta projek, membodek agar tak lari, ….”  dan bermacam-macam lagi tohmahan terhadapnya.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

No comments:

Post a Comment