MyDiary (102)
20 Disember 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada
para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat
dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa
diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau
matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri
Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil
kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan
menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana
individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana
individu untuk tujuan ini).
TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB
SEBENAR AHLI DAN PENYOKONG UMNO
Semua orang sedang menanti-nanti tarikh diumumkan PRU13. Jangkaan
terkini ialah selepas sahaja Hari Raya Cina. Jika ini betul, bermakna semua
parti, secara adilnya, masih ada masa yang banyak untuk melakukan kerja-kerja
persiapan akhir seperti menyemak segala butiran dalam rekod dan melakukan
kerja-kerja ulangkaji termasuk gerakerja ‘bilasan’ masing-masing.
Didalam artikel saya pada kali ini, seperti biasa saya ingin menulis
sesuatu yang menyentuh ahli-ahli dan penyokong-penyokong UMNO sahaja. Ini lebih
bersesuaian dengan saya sebagai seorang ahli UMNO. Saya tidak banyak menulis
tentang orang-orang dari parti lain kerana saya bukan pemegang sebarang jawatan
penting parti kecuali ahli biasa parti UMNO sahaja. Oleh itu,tulisan saya pada
kali ini adalah berbentuk seruan kepada seluruh ahli-ahli dan
penyokong-penyokong biasa UMNO seperti saya sahaja.
Jika pada pilihanraya-pilihanraya yang lalu, gejala ahli UMNO memangkah
calon dari parti lain dianggap salah satu daripada punca utama kekalahan BN,
maka pada kali ini gejala dan malapetaka ini masih lagi dianggap sebagai
sesuatu yang akan berulang lagi dalam PRU13 jika sesuatu tidak dilakukan segera.
Sebab itulah pucuk kepimpinan parti diperingkat pusat terutamanya YAB Dato’ Sri
Presiden sendiri telah mengambil inisiatif dan langkah awal melakukan satu
perubahan besar didalam usaha untuk menentukan gejala ini dibendung atau pun
seboleh-bolehnya dihapuskan. Maka itulah diperkenalkan istilah ‘winnable
candidate’ atau ‘calon mampu menang’.
Pada masa-masa yang lepas, secara kebiasaan dan tradisinya hampir
keseluruhan calon-calon yang bertanding itu terdiri daripada mereka yang
memegang jawatan parti. Pada kali ini apabila istilah dan konsep ‘winnable
candidate’ ini diperkenalkan dan digunapakai, maka ini bermakna bahawa bukan
semua calon yang akan bertanding itu nanti akan dipilih oleh pucuk kepimpinan
parti terdiri daripada mereka yang memegang jawatan-jawatan utama parti lagi.
Ada orang yang tidak memegang sebarang jawatan penting parti pun akan tetap
dipilih juga semata-mata kerana orang itu sudah dikenalpasti boleh dan mampu
membawa kemenangan kepada parti.
Pada tanggapan saya secara peribadi, pucuk kepimpinan parti diperingkat
pusat sebenarnya bukan dengan sengaja dan sewenang-wenangnya mahu
memperkenalkan sesuatu yang baru dan diluar tradisi seperti itu tanpa alasan
yang munasabah. Apalagi untuk mengajendakannya dan menjadikannya sebagai amanat
dan peringatan terpenting Presiden parti didalam Perhimpunan Agung UMNO
baru-baru ini. Mereka terpaksa mencari formula baru dan menyuntik sesuatu yang
berkesan semata-mata untuk membendung gejala itu. Kalaulah gejala ini tidak
mengancam calon-calon yang bertanding, sudah tentulah istilah itu tidak
diperlukan.
Walau bagaimana pun, perubahan terhadap polisi ‘pra-kelayakan’ yang diperkenalkan oleh pucuk kepimpinan
parti ini sebenarnya bukan mudah untuk diterima oleh sesetengah pemimpin parti
di peringkat Bahagian. Laungan ikrar sokongan yang diucapkan secara terbuka
oleh mereka hanyalah di bibir sahaja hanya semata-mata untuk menunjukkan sikap
akur mereka terhadap pucuk kepimpinan parti secara luaran sahaja. Ianya tidak
sekali-kali boleh dianggap sebagai jaminan bahawa jika mereka tidak terpilih
sebagai calon nanti, mereka ini tidak akan terlibat didalam usaha untuk menentukan
calon parti sendiri kalah. Bagi mereka menjadi calon pilihanraya adalah
kemuncak matlamat kerjaya politik mereka setelah diasaskan dengan jawatan yang
disandangnya itu.
Itu semua adalah suatu kemungkinan tentang apa yang akan dilakukan oleh
pemegang-pemegang jawatan penting parti yang tidak terpilih menjadi calon. Jika
inilah yang akan berlaku, sudah tentulah mereka akan cuba mempengaruhi
orang-orang lain untuk bertindak serupa.
Maka di sinilah saya ingin
membuat seruan saya supaya mereka ini jangan sekali-kali diikuti.
Apabila anda memasuki kotak
mengundi nanti, letakkanlah kepentingan parti melebihi kepentingan orang
perseorangan. Jika anda ialah seorang ahli UMNO, maka BNlah yang perlu
dipilih dan dipangkah tanpa soal. Biarkanlah orang-orang lain yang hendak
menipu diri mereka sendiri itu melakukan sebaliknya. Begitu jugalah kepada
penyokong-penyokong UMNO. Walaupun mereka bukan ahli parti tetapi hendak
menyokong UMNO, inilah juga masanya untuk anda buktikan kemuncak sokongan anda.
‘Bersatu’ ‘Bersetia’ ‘Berkhidmat’
Salam 1Malaysia
Dari,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak,
Pasir Puteh,
Kelantan.
No comments:
Post a Comment