MyDiary (93)
8 Sept 2012
(Saya akan
sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau
pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya
selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai
sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita
supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak
kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting
bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan
mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari
mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).
MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN PASIR PUTEH
PEMILIHAN G7
Mesyuarat ini telah berlangsung pada pagi ini di Dewan Besar
SMK Kamil, Pasir Puteh dengan perasmiannya disempurnakan oleh YBhg. Datuk SUK
UMNO Malaysia.
Mesyuarat pada kali ini adalah Mesyuarat Perwakilan Bahagian
terakhir sebelum PRU13 dan tiada pertandingan diperingkat AJK Bahagian kecuali
Perwakilan ke Persidangan Agung di Kuala
Lumpur yang dipanggil sebagai G7. Oleh itu, selain
daripada urusan pertandingan ini, perkara lain yang penting ialah ucapan Ketua
UMNO Bahagian Pasir Puteh dan ucapan perasmian Wakil UMNO Malaysia itu.
Dalam artikel ini saya tidak akan menyentuh tentang
ucapan-ucapan mereka ini kerana apa yang telah disampaikan sudah tentulah mudah
difahami dan dihayati oleh semua perwakilan dan juga ahli-ahli UMNO lain tanpa perlu diulas-ulas lagi.
Yang saya ingin sentuh sedikit di sini ialah tentang
pemilihan G7. Pemilihan ini telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Semua pihak telah berpuas hati apabila keputusan diumumkan. Mereka yang telah
menang, telah menang dengan proses pengundian yang bersih dan telus. Mereka
yang kalah, kalah pun begitu juga. Semua ini adalah kerana pemilihan untuk
menjadi G7 sememangnya tidak seperti pemilihan AJK Bahagian. Pemilihan ini
tidak memerlukan seseorang calon itu melobi perwakilan sepertimana biasa
dilakukan untuk pemilihan AJK Bahagian. Ianya tidak sehebat suasana sepertimana
kempen pemilihan AJK Bahagian dimana seseorang calon itu akan melalui satu
tempuh masa tertentu yang lebih panjang untuk kerja-kerja berkempen selain
daripada melibatkan kewangan untuk tujuan perbelanjaan makan minum, kenderaan
dan lain-lain perkara yang berkaitan. Kalau ada pun, hanya sedikit ruang yang
direbut seperti mewar-warkan diri di dalam Facebook atau sms kepada perwakilan
yang terlibat.
Saya dimaklumkan bahawa pada mulanya usaha telah dilakukan
supaya G7 ini tidak dipertandingkan. Apabila pencalonan ditutup,
terdapat 12 orang telah menawarkan diri. Ini bermakna bahawa 5 orang diharapkan
menarik diri tetapi hanya 2 sahaja yang telah melakukannya secara sukarela.
Disebabkan terdapat 10 orang yang hendak bertanding, maka proses pemilihan
terpaksa dijalankan.
Didalam hal ini, tiada sesiapa yang berhak berkata apa-apa.
Siapa pun yang hendak bertanding, itu adalah hak mereka mengikut perlembagaan
parti. Sudah tentulah siapa sahaja yang hendak bertanding itu merasakan bahawa
dirinya berpeluang untuk memenanginya. Tiada orang yang hendak bertanding
hendakkan kekalahan. Kalau pun kalah juga, mereka akan menganggap ianya bukan
pun kekalahan pula tetapi sebagai sesuatu yang boleh mengukur populariti diri
mereka. Istilah politik yang biasa digunapakai ialah ‘market test’.
Secara peribadi saya kurang bersetuju dengan sikap seperti
ini. Parti UMNO bukan tempat untuk orang-orang yang mempunyai kepentingan diri
seperti ini. UMNO tidak harus membiarkan orang-orang seperti ini menyebarkan
penyakit berjangkit mereka ini kepada orang-orang lain yang ikhlas
memperjuangkan hasrat dan cita-cita murni parti.
Sebab itu secara peribadi juga, saya sangat bersetuju jika
terdapat orang-orang tertentu menarik diri apabila mereka mendapat tahu
jumlahnya sudah melebihi 7 orang. Selain daripada lebih memudahkan perjalanan
mesyuarat kerana tidak perlu melibatkan perwakilan didalam urusan pengundian, orang-orang
ini pun tahu bahawa walaupun mereka berhak bertanding, perpaduan parti
hendaklah diutamakan dan cara menarik diri ini adalah juga sekurang-kurangnya diantara
caranya untuk mencapai tujuan ini.
Membuktikan kita mengutamakan perpaduan parti dengan cara
menarik diri adalah lebih mulia daripada menghadapi pertandingan tetapi kalah
kerana itu pun akan dianggap juga sebagai satu pengorbanan mulia kepada parti.
BERSATU
BERSETIA BERKHIDMAT
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.
No comments:
Post a Comment