Tuesday, 27 November 2012

MyDiary (101)


MyDiary (101)
28 Nov 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

PERSIDANGAN AGUNG UMNO 2012

Hari ini ialah hari kedua berlangsungnya Persidangan Agung UMNO Yang Ke-66 di PWTC. Seperti biasa ribuan perwakilan dari seluruh negara hadir. Begitu juga ribuan pemerhati dan ahli-ahli UMNO yang lain pun hadir sama.

Mereka semua ke sana dengan tujuan utama yang sama. Mereka hadir kerana setiap tahun sememangnya persidangan ini diadakan. Yang membezakan pada tahun ini ialah, inilah persidangan terakhir sebelum PRU13.

Yang tidak membezakan pula ialah mereka ke sana seperti biasa kecuali para perwakilan. Lain daripada perwakilan ini, ada yang ke sana semata-mata hanya untuk menikmati keseronokan melihat ribuan orang-orang UMNO lain dari seluruh negara. Mereka ke sana tak lebih daripada tujuan ‘makan angin’ sahaja kerana mereka adalah orang-orang kampong yang sememangnya menunggu peluang untuk ke Kuala Lumpur secara percuma. Jarang-jarang sekali, inilah peluang untuk mereka melihat bandaraya utama Malaysia selain daripada dapat berjumpa dengan sanak saudara atau kawan-kawan di sana.

Mereka tetap nampak ‘ghairah’ dan ceria setiap kali menjelangnya persidangan ini. Awal-awal lagi mereka sudah bercakap tentang hotel mana yang mereka akan menginap, makan di mana dan pergi dengan siapa.

Semua itu tidak salah. Yang salah ialah jika mereka merasa seronok tanpa menyedari bahawa BN masih belum lagi menguasai semula kawasan mereka. Contohnya di Pasir Puteh, dimana parlimen dan ke-empat-empat DUN masih lagi didalam genggaman PAS. Maka, bagi saya ianya adalah sesuatu yang salah jika mereka kesana dengan perasaan seronok bukan dengan perasaan dukacita.    

Keghairahan mereka kerana mendapat kesempatan berada disamping ribuan orang-orang UMNO lain di sana tidak membawa sebarang erti jika di kawasan mereka sendiri suasana politik belum lagi berpihak kepada BN. Keghairahan di sana tiada kena mengena dengan suasana di kampong sendiri. Mereka semua harus pulang selepas persidangan ini bukan dengan ‘wajah kemenangan’ dan bergaya kerana menang kalah BN bukan ditentukan di PWTC, tetapi ditentukan di kampong masing-masing oleh pengundi-pengundi yang tidak pun pergi ke persidangan itu. Disebabkan merekalah yang ke sana, maka merekalah yang seharusnya menggalas tugas dan tanggungjawab utama bagi menentukan pengundi-pengundi memilih BN. Tunaikanlah dahulu tugas ini secara serious, barulah boleh dizahirkan ‘wajah-wajah kemenangan’ selepas itu jika BN mengambilalih kuasa.

Dengan harapan semoga Persidangan Agung UMNO Kali Ke-67 nanti menyaksikan ‘wajah-wajah kemenangan’ sejati yang saya tidak akan pertikaikan lagi di dalam blog saya.

Dari
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak
Pasir Puteh
Kelantan.

No comments:

Post a Comment