TEKS UCAPAN
YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO
DI MAJLIS BERSAMA TIMBALAN PRESIDEN UMNO
PADA 7 DISEMBER 2015; PUKUL 8.30 MALAM
BERTEMPAT DI KELAB SULTAN SULAIMAN, KUALA LUMPUR
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad
Mantan Presiden UMNO dan
Perdana Menteri Malaysia
YB Datuk Seri Shafie Apdal
Naib Presiden UMNO
Saudara Adhif Syan Abdullah
Ketua UMNO Cawangan
Kampung Sungai Rasau
Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,
1.Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 81:
وَقُلۡ جَآءَ ٱلۡحَقُّ وَزَهَقَ ٱلۡبَـٰطِلُۚ إِنَّ ٱلۡبَـٰطِلَ كَانَ زَهُوقً۬ا
Yang bermaksud:
“Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam) dan hilang lenyaplah
perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu
sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Qulil Haq Walau Kana Murran
Yang bermaksud:
“Berkatalah benar walaupun pahit”
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:
Man Ra’a Minkum Munkaran Fal-Yughayyirhu Biyadih, Fa’in Lam Yastati’
Fa-Bilisanihi Fa’in Lam Yastati’ Fa Biqalbihi Wa Hiya Adh’aful Iman
“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangan
(kuasa), sekiranya tidak mampu maka dengan lidah, sekiranya tidak mampu
maka dengan hati. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
2. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada
Gabungan Ketua-Ketua Pemuda Cawangan Se-Malaysia, Suara Belia Marhaen
(SUABEMA) dan Gabungan Anak Melayu Bangkit (GAMB) yang telah
menganjurkan majlis pada malam ini. Terima kasih dan penghargaan saya
ucapkan kepada YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, YB Datuk Seri Shafie
Apdal, dif-dif kehormat dan saudara-saudari sekalian yang sudi hadir
untuk bersama-sama kita pada malam ini.
3.Kelab Sultan Sulaiman
ini adalah satu tempat yang amat bersejarah bagi UMNO. Di sinilah, 69
tahun yang lalu berlangsungnya perhimpunan besar-besaran umat Melayu
yang datang dari seluruh pelusuk tanah air untuk membincangkan nasib
orang Melayu yang terjajah sehingga mencetuskan penubuhan UMNO untuk
menuntut kemerdekaan. Mudah-mudahan dengan berhimpunnya kita di sini
pada malam ini akan menyegarkan kembali nostalgia perjuangan UMNO untuk
memerdekakan tanah air dan membangkitkan semangat kita untuk meneruskan
perjuangan UMNO yang asal.
4.Saya telah menjadi ahli UMNO selama
45 tahun dan Timbalan Presiden UMNO selama 6 tahun. Pada setiap tahun
selaku Timbalan Presiden saya dijemput untuk merasmikan Persidangan
Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Tetapi pada kali ini entah mengapa
Majlis Tertinggi membuat keputusan saya tidak dijemput untuk berucap
merasmikan persidangan sayap-sayap. Setelah MT membuat keputusan itu,
saya menerima banyak permintaan supaya saya menyampaikan sedikit amanat
sebelum Perhimpunan Agung UMNO bermula. Mungkin kerana itulah majlis
pada malam ini diadakan.
5.Walaupun peranan dan fungsi saya
sebagai Timbalan Presiden agak tersekat pada waktu ini, mungkin kerana
saya tidak lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri, namun taat dan setia
saya kepada UMNO sebagai wadah perjuangan tetap unggul. Semangat juang
saya untuk memartabatkan anak bangsa tetap berkobar-kobar. Apatah lagi
ramai yang tampil menyatakan sokongan dan memberikan semangat kepada
saya untuk terus berjuang di landasan yang benar. Mereka mahukan saya
terus berkata benar dan jangan sekali-kali berundur. Saya ucapkan terima
kasih kepada semua pihak yang menyokong perjuangan saya untuk agama,
bangsa dan negara kita.
6.Sebagai seorang Islam, adalah menjadi
suatu kewajipan ke atas saya untuk menyatakan kebenaran dan menentang
kemungkaran sepertimana yang disebut di dalam ayat al-Qur’an dan hadis
Rasulullah s.a.w yang saya bacakan tadi. Saya tidak akan biarkan segala
kemungkaran atau salah laku yang nyata bermaharajalela tanpa ditentang,
khususnya perkara-perkara yang melibatkan kepentingan agama, bangsa dan
negara. Saya tahu bahawa berjuang di atas landasan kebenaran adalah
sukar dan penuh ranjau. Namun, Allah s.w.t. berjanji bahawa akhirnya
kebenaran akan muncul dan kebatilan akan hancur. Sebagai seorang Islam
kita wajib percaya bahawa tiada sebenar-benar janji melainkan janji
Allah s.w.t. Maka, apabila kita yakin bahawa kita berada di landasan
yang benar, istiqamah lah. Teruslah berjuang walau dihempas ribut dan
badai!
7. Kita pastinya agak risau melihatkan perkara yang
berlaku di negara kita pada masa ini. Seolahnya, ada satu sentimen
bahawa negara kita tidak berada pada landasan yang betul. Rakyat kurang
yakin dengan keupayaan kerajaan untuk mengurus negara dengan baik. Dari
segi ekonomi, walaupun negara kita masih mencatatkan pertumbuhan yang
positif, rizab luar negara jatuh lebih RM40 bilion. Hutang luar negara
bertambah dari RM196 bilion pada tahun 2003 kepada RM852.86 bilion pada
suku ketiga 2015. Pada bulan Jun tahun ini, hutang kerajaan mencecah
RM627.5 bilion atau 54% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),
iaitu kurang 1% sahaja daripada siling yang ditetapkan.
8.Dengan
kejatuhan harga minyak dunia, pendapatan Petronas berkurangan dan
sumbangan Petronas kepada kerajaan juga dijangka menurun daripada RM26
bilion pada tahun ini kepada sekitar RM16 hingga RM20 billion sahaja
pada tahun hadapan. Nilai ringgit juga jatuh 20 peratus berbanding
dollar Amerika, iaitu antara yang terburuk dalam sejarah negara.
Akibatnya, harga barangan import meningkat dan ini menambah beban
rakyat.
9.Rakyat pastinya amat terkesan dengan kenaikan kos sara
hidup. Di mana-mana sahaja orang bercakap mengenai kenaikan harga
barangan keperluan harian, kenaikan kadar tol, kenaikan tambang
pengangkutan awam seperti ERL, bas, teksi dan lain-lain lagi. Kos
perniagaan juga meningkat menyebabkan ada syarikat yang memberhentikan
pekerja atau tidak mengambil pekerja baharu. Statistik menunjukkan,
bilangan orang tidak bekerja pada tahun ini naik 22 peratus berbanding
tahun 2014. Rakyat yang berada dalam kategori 40 peratus ke bawah juga
semakin tertekan. Walaupun kerajaan memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BRIM), tetapi oleh kerana harga barangan dan perkhidmatan meningkat
secara mendadak, bantuan yang diterima tidak dapat menampung sepenuhnya
kenaikan kos sara hidup. Semua ini semakin menghimpit kehidupan rakyat.
10.Selain itu, ada juga yang merasakan seolah-olahnya terdapat suasana
ketakutan (climate of fear) di negara kita. Undang-undang keselamatan
seperti SOSMA digunakan untuk menahan individu yang membuat laporan
terhadap pemimpin negara. Mereka ini bukan pengganas, tetapi warganegara
biasa. Satu rang undang-undang baharu mengenai keselamatan negara iaitu
Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara yang memberi kuasa kepada
Perdana Menteri untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan
keselamatan juga telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Saya tidak
mempersoalkan kewajaran menggunakan instrumen undang-udang untuk
memelihara keselamatan negara, tetapi bimbang mengenai kecenderungan
penyalahgunaan undang-undang untuk tujuan yang lain.
11.Di
samping itu, terdapat masalah tadbirurus yang serius. Isu 1MDB misalnya
telah menjadi satu skandal kewangan yang terburuk dalam sejarah negara
kita. Ada orang kata, it is a scheme to scam. Bagaimana sebuah syarikat
dengan modal hanya RM1 juta berhutang sebanyak RM42 billion? Kerana
model perniagaannya yang salah, syarikat ini telah mengalami masalah
aliran tunai yang teruk sehingga terpaksa meminjam daripada kerajaan
untuk membayar hutang.
12.Lebih malang skandal 1MDB melibatkan
Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Penasihat. Mungkinkah ada
keputusan pelaburan 1MDB yang dibuat oleh Perdana Menteri sendiri tanpa
merujuk kepada Lembaga Pengarah? Saya diberitahu ada Ahli Lembaga
Pengarah yang telah meletak jawatan kerana mereka tidak mahu terbabit
dengan keputusan-keputusan pelaburan yang merugikan syarikat.
13.Misalnya, keputusan untuk melabur dalam usahama dengan Petrosaudi.
Tidak ada due diligence dibuat. Hanya dalam tempoh kurang seminggu,
pelaburan berjumlah 1 billion dollar dibuat pada tahun 2009 dan
kemudiannya meningkat kepada 1.8 billion dollar pada tahun 2011.
Usahasama ini gagal kerana kemudiannya didapati Petrosaudi tidak pernah
memiliki telaga minyak di Turkmenistan.
14.Apabila usahasama ini
gagal, nilai pelaburan 1MDB tidak dipulangkan, sebaliknya ditukar
menjadi hutang. Soalnya, ke mana perginya wang berjumlah 1.8 billion
dollar atau RM6.9 billion yang dilabur? Labur atau lebur? Akhbar The
Edge mendakwa, wang ini telah dimasukkan ke dalam beberapa akaun di
bank-bank di New York, Switzerland, London and Singapura. Jika usahama
telah gagal dan wang ini ada di dalam akaun-akaun di luar negara,
mengapakah ia tidak dipulangkan kepada 1MDB? Apakah benar sepertimana
yang didakwa oleh The Edge, usahasama itu hanyalah satu skim untuk
menipu Malaysia? Kerana itu wang berbillion dollar tidak dipulangkan
semula. Sekiranya dakwaan ini tidak benar, maka wajar 1MDB menyaman The
Edge.
15.Yang kita mahu ialah isu IMDB dijelaskan dengan hasil
siasatan yang dijalankan dengan telus dan tanpa campurtangan atas dua
aspek, iaitu dari sudut tadbir urus korporat (corporate governance), dan
kedua dari sudut bagaimana bebanan hutang dan tanggungan hendak
diselesaikan.
16.Dari segi tadbir urus korporat, mesti ada
penjelasan mendalam bagaimana IMDB membuat pelaburan yang besar dengan
cara tadbir urus yang irregular dan disangsikan. Lebih-lebih lagi ia
bermodalkan pinjaman, dan oleh sebab ia merugikan apalagi tidak
mempunyai aliran wang tunai yang baik, maka hutangnya bertimbun
berbilion ringgit.
17.Mereka yang membuat pertimbangan yang
berisiko tinggi ini harus bertanggungjawab. Lebih-lebih lagi jika
terdapat elemen penipuan atau kesalahan yang amat serius, maka mereka
yang terlibat mesti menanggung akibat daripada kesilapan-kesilapan ini.
Sebab itu tindakan siasatan yang sudah dimulakan mesti dielesaikan
segera dan agensi yang terlibat termasuk Bank Negara, PDRM, SPRM dan
Jabatan Peguam Negara mesti menjalankan siasatan tanpa gangguan atau
campur tangan. Apa yang telah berlaku selama ini amat mencemar nama baik
pimpinan Perdana Menteri dan menjejaskan keyakinan dan kepercayaan
rakyat terhadap Kerajaan.
18.Soal kedua ialah bagaimana bebanan
hutang dan liabiliti IMDB hendak diselesaikan? Apa pun ia by hook or by
crook mesti diselesaikan! Kita telah melihat bagaimana kesan IMDB telah
menjejaskan iklim dan sentimen pelaburan dalam negara, malah kesannya
terhadap kejatuhan nilai ringgit diakui oleh pakar-pakar ekonomi.
19.Yang pasti, mahu tidak mahu untuk menyelesaikannya SEGALA asset
strategik IMDB yang sebahgiannya dikurnia oleh Kerajaan dengan harga
yang amat istemewa termasuk tanah TRX dan Bandar Malaysia terpaksa
dilelong kepada mana-mana pihak dari dalam atau luar negeri, tetapi
hasilnya bukan menjadi khazanah rakyat, sebaliknya terpaksa digunakan
untuk membayar hutang dan tanggungan IMDB! Dalam ertikata lain rakyat
telah kerugian berbilion-billion ringgit disebabkan angkara IMDB! Maka
sewajarnyalah mereka yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka
pengadilan! Sebagai orang yang terlibat dengan kesemua urusan IMDB,
bolehkah Perdana Menteri dan Presiden UMNO terlepas daripada memikul
tanggungjawab di atas kesilapan besar ini?
20.Yang pasti juga,
isu kedaulatan negara juga terpaksa dikorbankan untuk menyelamatkan
sebuah perniagaan yang tidak diperlukan. Yang amat menyedihkan juga
ialah IMDB terpaksa menjual aset IPP Edra Energy yang dibeli menerusi
wang pinjaman kepada syarikat dari China dengan harga yang lebih rendah
daripada harga ianya dibeli kerana IMDB memerlukan wang untnk membayar
hutangnya!
21.Selain isu 1MDB, timbul pula dakwaan bahawa Perdana
Menteri telah menerima wang berjumlah RM2.6 bilion daripada seorang
penderma Arab. Wang ini yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana
Menteri didakwa digunakan untuk membiayai kegiatan parti termasuk
pilihanraya. Kita tahu bahawa UMNO mempunyai peraturan dan kaedah
tertentu dalam mengurus sumbangan kepada parti. Adakah semua peraturan
ini dipatuhi? Lebih-lebih lagi Presiden parti adalah Perdana Menteri.
Adakah penerimaan wang yang sebegitu besar jumlahnya tidak melanggar
mana-mana peraturan dan undang-undang negara?
22.Saya sendiri
tidak mengetahui dan tidak pernah bertanya mengenai dana rahsia
Presiden. Tetapi apabila didedahkan oleh akhbar Wall Street Journal,
rahsia sudah terdedah kepada awam, lebih-lebih lagi Presiden mengakui
menerima wang yang dimasukkan dalam akaun peribadi. Soal yang berbangkit
ialah dengan apa jua penjelasan yang telah dibuat termasuk oleh
Presiden dan Timbalan Perdana Menteri mengenai perkara ini, ramai yang
masih tidak percaya, malahan tidak yakin tentang penjelasan itu. Ada
yang mungkin berasa tidak munasabah bahawa ada pihak yang bersedia
memberi derma sebesar itu. Jadi, ia menimbulkan soal persepsi yang amat
serius. Dan lebih serius lagi apabila Presiden mengatakan wang tersebut
adalah bukan dari sumber 1MDB dan ia adalah untuk parti. Bermakna bahawa
Presiden telah membabitkan parti dalam soal derma yang beliau terima.
Yang membimbangkan saya kalau ia menjadi satu kes di mahkamah maka UMNO
akan diheret ke mahkamah. Dan dalam proses penyiasatan itu, urusan
kewangan parti akan terdedah kepada khalayak umum, dan na’uzubillah
kalau ia akhirnya dikaitkan dengan sumber-sumber dari 1MDB.
23.Saya bimbang kerana PKR telah pun memfailkan saman di mahkamah
terhadap UMNO dan mendakwa UMNO dan BN telah melanggar peraturan
pilihanraya dengan berbelanja melebihi had yang dibenarkan oleh
undang-undang. Ini satu dakwaan yang serius. Saya tidak mahu parti
menerima akibat buruk daripada keputusan mahkamah nanti. Jangan
sekali-kali parti terheret ke dalam kemelut ini.
24.Sehingga
kini, masih belum didedahkan siapakah dermawan itu? Akaun peribadi
Perdana Menteri juga telah ditutup dan khabarnya masih ada baki wang
yang disimpan di luar negara. Jika benar wang ini adalah untuk UMNO,
maka saya minta supaya Presiden pulangkan wang ini kepada UMNO. Biarlah
wang ini diurus mengikut perlembagaan dan peraturan UMNO.
25.Timbalan Perdana Menteri telah membuat penjelasan di Parlimen
mengenai isu derma RM2.6 bilion tetapi tidak komprehensif. Kononnya ada
isu subjudis yang menghalang penjelasan secara terperinci, walaupun kita
tahu kes ini masih belum dibawa ke mahkamah. Pokoknya, masih banyak
persoalan yang belum terjawab.
26.Rakyat mengharapkan penjelasan
yang komprehensif dan menyeluruh. Jadi, dengan jawapan yang tidak jelas,
sering kabur dan asyik berubah-ubah, saya fikir yang timbul adalah
lebih banyak soalan daripada jawapan. Rakyat makin meragui dan
mempertikaikan kewibawaan kepimpinanan.
27.Rakyat juga berharap
agar siasatan terhadap semua dakwaan salah laku berkaitan skandal 1MDB
dan derma RM2.6 billion dijalankan secara telus, bebas dan adil. Malah,
Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu juga buat pertama sekali dalam
sejarah mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan mengambil langkah
segera untuk menyelesaikan kemelut 1MDB.
28.Tetapi
malangnya, apa yang berlaku semakin menghakis kepercayaan rakyat. Peguam
Negara yang mengetuai pasukan petugas khas menyiasat 1MDB ditamatkan
perkhidmatan. Pasukan ini kemudiannya dibubarkan. Pegawai-pegawai kanan
SPRM yang menyiasat kes 1MDB dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.
29.Kemudian, tidak pernah berlaku dalam sejarah, Gabenor Bank Negara
bercanggah pendapat secara terang-terangan dengan Peguam Negara mengenai
hasil siasatan ke atas 1MDB. Bank Negara sebagai sebuah institusi kawal
selia kewangan tertinggi di negara kita tentunya mempunyai kepakaran
dalam bidang undang-undang kewangan. Tetapi malangnya, kertas siasatan
Bank Negara terhadap 1MDB telah ditolak oleh Peguam Negara berkali-kali.
30.Keadaan ini menimbulkan persepsi seolahnya ada campurtangan daripada
pihak tertentu untuk mengganggu siasatan kerana kes ini membabitkan
Perdana Menteri sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan Menteri
Kewangan. Persepsi begini adalah amat tidak baik untuk Perdana Menteri
yang juga merupakan Presiden UMNO.
31.Oleh itu, saya ingin
cadangkan supaya Perdana Menteri berehat seketika. Biarlah siasatan
berjalan dengan bebas, telus dan adil. Jangan timbul persepsi bahawa
Perdana Menteri campurtangan dalam siasatan. Ambillah cuti sehingga kes
selesai. Jika siasatan mendapati Perdana Menteri tidak terlibat,
baliklah semula sambung tugas sebagai Perdana Menteri. Dengan itu, saya
percaya nama Perdana Menteri dan juga imej UMNO dapat dibersihkan.
32.Saudara saudari, saya menyebut perkara ini bukan kerana ada niat
jahat. It is without malice. Saya sebutkan kerana ini adalah
soalan-soalan yang ditanya oleh rakyat. Kita cuba meyakinkan rakyat
bahawa kerajaan yang diterajui oleh UMNO hari ini komited untuk
melakukan transformasi. Kita adalah kerajaan yang telus, berintegriti,
bertanggungjawab, mengamalkan prinsip tadbirurus yang baik. Tetapi
sekiranya tindak tanduk kepimpinan kerajaan menimbulkan banyak persoalan
yang tidak terjawab, maka keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang
diterajui oleh UMNO akan terhakis. Sebagai Timbalan Presiden parti, saya
tidak mahu krisis keyakinan terhadap UMNO berpanjangan sehingga kita
kalah dalam pilihanraya. Jadi, kerajaan perlu berterus terang dalam
menjawab pertanyaan rakyat, siasat semua tuduhan salah laku secara
bebas, telus dan adil, dan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak
yang bersalah, without fear or favor.
33.Ada orang kata saya tak
perlu bercakap tentang perkara ini. Jangan sentuh kedudukan Perdana
Menteri dan Presiden parti. Nanti saya akan diambil tindakan. Saya akan
hilang jawatan. Saya akan dibuang daripada parti. Diam sahaja dan
masalah itu akan selesai dengan sendirinya. Kalau saya bercakap nanti
akan menambahkan lagi masalah kepada parti.
34.Tetapi apakah itu
boleh menyelesaikan masalah? Tentu sekali tidak. Ramai yang berkata
kepada saya, Tan Sri buatlah sesuatu untuk menyelamatkan parti dan
negara. Ya, saya telah buat. Saya telah memberikan nasihat, pandangan
dan teguran secara diam-diam. Beritahu kepada Presiden, kepada Majlis
Tertinggi, kepada Kabinet. Saya telah gunakan semua saluran parti untuk
menyampaikan nasihat dan teguran. Tetapi masalah tidak selesai juga.
35.Jadi saya fikir kalau Muhyiddin Yassin yang bercakap atau Tun
Mahathir yang bercakap tidak menyelesaikan masalah, mungkin jika 3 juta
ahli UMNO di setiap peringkat parti bercakap senada dan seirama,
menuntut supaya kepimpinan parti membuat tindakan yang betul, masalah
yang kita hadapi ini mungkin boleh kita atasi secara baik dan UMNO terus
kukuh.
36.Kerana itu saya memilih untuk bercakap secara terbuka
kepada ahli-ahli UMNO supaya kita bersama-sama lakukan sesuatu untuk
kepentingan parti, rakyat dan negara. Kita tidak boleh lagi berdiam diri
membiarkan UMNO dicemuh dengan pelbagai isu. UMNO perlu menjadi parti
hebat, bukan parti yang dihina. UMNO perlu menjadi parti yang berkongsi
kuasa, bukan mengemis kuasa. Jadi, kita tiada pilihan. Kita perlu
membincangkan masalah yang kita hadapi secara terbuka dan cari jalan
penyelesaian sebelum terlambat.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
37.Tiga hari dari sekarang para perwakilan UMNO ke Perhimpunan Agung
UMNO akan bersidang. Perhimpunan tahun ini adalah amat penting dalam
menentukan hala tuju UMNO selepas ini. Saya akan hadir walaupun saya
belum pasti samada akan diberikan peluang untuk berucap ataupun tidak.
Saya berharap kita gunakan peluang menghadiri perhimpunan agung untuk
membincangkan isu-isu penting yang sedang dihadapi oleh parti. Jangan
kita lari daripada membincangkan masalah parti..
38.Saya
diberitahu mungkin isu 1MDB tidak akan disentuh. Mungkin juga isu derma
RM2.6 billion tidak akan disebut. Saya harap khabar yang saya dengar ini
tidak benar. Janganlah dibuat begitu. Berilah ruang secukupnya untuk
pemimpin dan ahli akar umbi bersuara mengenai isu-isu penting yang
berkait dengan parti kita. Kalau ruang untuk berbicara bagi
mengungkapkan apa yang terbuku di fikiran dan kalbu mereka sudah
tertutup, ini akan menimbulkan masalah yang lebih besar. Jangan fikir
dengan menutup isu ini, iaitu dengan tidak membenarkan ahli dan pemimpin
akar umbi untuk bercakap, memperkatakan dengan sebenar-benarnya
pandangan mereka, ini boleh menyelamatkan pimpinan dan parti.
39.Lagipun, Perhimpunan Agung adalah badan tertinggi untuk ahli-ahli
membincangkan hal ehwal parti. Kalau dalam Perhimpunan Agung pun mereka
disekat daripada bersuara, di mana lagi tempat untuk mereka menyampaikan
pandangan kepada pucuk pimpinan? Apakah sudah tiada demokrasi di dalam
UMNO? Apakah sindrom bisu telah menguasai UMNO? Apakah demokrasi dalam
UMNO hanya untuk menyokong pemimpin tertentu? Jika menegur pemimpin,
maka itu dilihat sebagai melanggar perlembagaan? Sejak bila pula
pemimpin UMNO kebal daripada kritikan?
40.Saya tidak fikir
begitu. Setiap ahli ada hak untuk bersuara dan hak ini dijamin oleh
Perlembagaan UMNO. Antara hak yang pertama sekali disenaraikan di bawah
Fasal 6.2 Perlembagaan UMNO mengenai hak ahli ialah hak untuk “bercakap
dan mengemukakan pendapat-pendapat dan mengundi di dalam
mesyuarat-mesyuarat parti”. Jadi, apakah hak pihak tertentu di dalam
parti untuk menafikan hak seorang ahli daripada menyuarakan pandangan
masing-masing.
41.Jika berlaku perbezaan atau percanggahan
pendapat di dalam parti tidak mengapa. Seperti yang disebut oleh YABhg
Tun Musa Hitam, membenarkan perbezaan pendapat adalah lambang sebuah
parti yang demokratik. Tun Musa membuat kenyataan bahawa Tun Dr Mahathir
tidak pernah menghalang beliau daripada berucap dalam Perhimpunan
Agung. Walaupun beliau telah meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana
Menteri, beliau masih merasmikan persidangan sayap-sayap UMNO dan
berucap dalam sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 1987.
42.Nasib saya agak berbeza dengan Tun Musa. Saya masih Timbalan Presiden
yang sah tetapi dihalang daripada menjalankan fungsi saya sebagai
Timbalan Presiden. Saya tidak dibenarkan lagi mempengerusikan mesyuarat
pengurusan parti. Tidak lagi mempengerusikan mesyuarat pengurusan
Barisan Nasional. Malah, MT membuat keputusan saya tidak merasmikan
persidangan sayap-sayap parti yang merupakan tradisi turun temurun di
dalam UMNO.
43.Saya tidak bermaksud untuk bercakap bagi pihak
diri saya. Tetapi saya bersuara bagi pihak institusi Timbalan Presiden
parti yang mesti dihormati. Kalau kita boleh hormat kepada institusi
Presiden, mengapa kita tidak boleh hormat kepada institusi Timbalan
Presiden? Bayangkanlah, jika insitusi nombor dua parti pun tidak boleh
bersuara, apa lagi hak yang ada pada ahli-ahli di akar umbi. Saya
bimbang lama kelamaan demokrasi akan terkubur di dalam UMNO.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
44.Kita ingin melihat ke hadapan. Kita mahu supaya UMNO terus kukuh dan
mendapat sokongan majoriti rakyat untuk terus menerajui negara ini.
Untuk itu, ahli-ahli UMNO mestilah menilai kedudukan parti kita dan
melakukan perubahan. Kita perlu menilai setiap pandangan rakyat terhadap
UMNO. Ini penting kerana merekalah yang akan menentukan kedudukan UMNO,
samada UMNO menang atau kalah dalam pilihanraya akan datang.
45.Saya memanfaatkan media sosial untuk bertanyakan kepada rakan-rakan
facebook saya apakah perkara-perkara penting yang perlu dilakukan oleh
UMNO. Mereka ini adalah warganegara yang tentunya mewakili pandangan
majoriti rakyat. Alhamdulillah, respon yang saya terima amat
memberangsangkan. Rupa-rupanya, masih ramai rakyat di luar sana yang
berminat untuk memberikan pandangan tentang UMNO. Sehingga semalam, saya
menerima lebih 2,000 komen. Antara perkara-perkara penting yang disebut
oleh mereka ialah:
46.Pertama, atasi budaya “Cash is King”.
Saudara Firdaus Abdul Manaf berkata kepada saya, “Tan Sri, jika
berpeluang untuk berucap, tolong ingatkan pemimpin-pemimpin UMNO. Jangan
kerana kejarkan wang, pangkat dan kuasa, hilang akal fikiran yang waras
dalam menentukan hala tuju parti dan bangsa”.
47.Pendapat beliau
ini ada betulnya juga. Jangan kerana diberikan habuan, atau
mengharapkan habuan, ramai yang diam. Tidak berani bersuara menyatakan
yang hak. Takut nanti ditarik balik habuan. Apatah lagi jika kerana
diberikan habuan, ada pula segelintir pihak yang lantang mempertahankan
kebatilan, masyaAllah!
48.Saya bimbang budaya politik wang dan
politik naungan telah berakar umbi dan menjadi barah di dalam UMNO. Ini
menyebabkan budaya “yes sir” berleluasa dan UMNO semakin hilang semangat
asal perjuangan parti. Ketaatan dan kesetiaan bukan lagi kepada parti
dan perjuangan parti, tetapi kepada ketua yang boleh memberikan habuan.
Walaupun ketua melakukan kesilapan, tidak ramai yang berani menegur
kerana takut kehilangan pangkat dan kedudukan.
49.Ingatlah,
rakyat tidak bodoh. The people are not stupid. Mereka cerdik. Mereka
pandai, bijak. Mereka boleh menilai setiap perbuatan kita. Jika mereka
merasakan bahawa kita menyembunyikan kebenaran atau berbuat sesuatu
kerana habuan, bukan kerana prinsip untuk tegakkan kebenaran, mereka
akan hilang percaya kepada kita, dan mereka takkan undi kita. Parti kita
akan kalah. Jadi, ingatlah. Jangan kerana habuan yang sedikit, kita
menggadai prinsip perjuangan. Allah s.w.t. berfirman dalam surah
Al-Baqarah ayat 174:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ
ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡڪِتَـٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنً۬ا قَلِيلاًۙ
أُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِى بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا
يُڪَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَڪِّيهِمۡ وَلَهُمۡ
عَذَابٌ أَلِيمٌ
Yang bermaksud:
Sesungguhnya
orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa
keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah dan membeli
dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak
mengisi dalam perut mereka selain dari api Neraka dan Allah tidak akan
berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat dan Dia tidak membersihkan
mereka (dari dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
50.Kedua, mereka kata UMNO mestilah dilihat
bersungguh-sungguh membantu rakyat mengatasi masalah kos sara hidup.
Saya menerima banyak rintihan mengenai kenaikan kos sara hidup. Saudari
Nurdiyana Mohd Rohaizad, seorang pelajar universiti, menyuarakan
rintihan beliau mengenai kenaikan tambang pengangkutan awam. Saudara Abu
Hanifah, mengeluh mengenai harga makanan yang semakin mahal. Kalau saya
tanya setiap orang di dalam dewan ini pun, mesti ada keluhan
masing-masing. Perbelanjaan sekolah anak, bayaran tol, bil elektrik,
sewa rumah, tambang bas, ansuran kereta dan macam-macam lagi. Malah
mungkin ada yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, berpendapatan rendah
dan pelbagai lagi. Ke mana sahaja saya pergi, isu bebanan kos sara hidup
inilah yang banyak diperkatakan oleh rakyat dan mereka marah kepada
kerajaan. Jadi, bagaimana UMNO hendak menangani masalah ini?
51.Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk
memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) untuk meringankan beban kos
sara hidup, ternyata ramai rakyat yang masih susah. Mereka terpaksa
membayar harga yang lebih mahal untuk membeli barangan keperluan harian
atau menggunakan perkhidmatan. Bantuan yang diterima daripada kerajaan
akhirnya habis begitu sahaja. Malah tidak mencukupi untuk menampung
kehidupan. Apa lagi jika mereka tidak menerima apa-apa bantuan daripada
kerajaan. Sudah pasti bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat
menghimpit kehidupan mereka.
52.Jadi, kerajaan yang diterajui
oleh UMNO mesti bijak mengurus ekonomi. Laksanakan dasar-dasar yang
betul. Mungkin wajar bagi kerajaan mengkaji semula pelaksanaan dasar
rasionalisasi subsidi ketika rakyat sedang menghadapi zaman sukar. Dasar
ini boleh diteruskan semula apabila keadaan ekonomi negara kembali
pulih. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan juga mesti dikawal.
Kuatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 dengan lebih
tegas untuk memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan mengaut
keuntungan berlebihan. Pastikan kenaikan harga tidak terlalu tinggi
sehingga tidak mampu dibayar oleh pengguna. Jika pengguna tidak mampu
bayar, pastinya perniagaan akan merosot dan hasil kutipan cukai kerajaan
juga merosot. Perkasakan peranan Suruhanjaya Persaingan Malaysia untuk
memastikan wujud persaingan yang sihat dalam pasaran dan kepentingan
pengguna dilindungi.
53.Ekonomi negara mesti diurus dengan baik.
Laksanakan program-program untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Elakkan
pembaziran dan ketirisan. Urus hasil mahsul dan khazanah negara dengan
bijaksana. Ini penting kerana jika kita gagal mengurus ekonomi dengan
baik, akhirnya negara menanggung kerugian dan rakyat akan terbeban.
54.Ketiga, ramai yang berkata, UMNO mesti berubah. UMNO mesti ubah
persepsi buruk anak-anak muda terhadap parti, pemimpin UMNO mesti tepati
janji, berani berkata benar, jangan bohong, berjuang biar ikhlas, pilih
pemimpin yang jujur, jangan sokong membuta tuli, sentiasa bantu rakyat,
jangan amalkan rasuah, jangan pecah amanah, jangan khianati perjuangan.
55.Yang penting, kita mesti ada prinsip dalam berjuang. Kita mesti
berpihak kepada kebenaran. Memanglah sebagai sebuah parti politik
mengekalkan kuasa itu penting. Kita berjuang dan melakukan apa jua cara
untuk mengekalkan kuasa. Tetapi ingat. Kuasa juga boleh merosakkan kita.
Apatah lagi jika kita terlalu lama berkuasa sehinggakan kita terdorong
untuk salah guna kuasa, kerana merasakan bahawa diri kita kebal dan
boleh terlepas daripada sebarang hukuman. Power corrupts and absolute
power corrupts absolutely - kuasa merosakkan, dan kuasa mutlak
merosakkan secara mutlak.
56.Mungkin satu langkah penting untuk
UMNO mengatasi masalah kekebalan kuasa ialah dengan menghadkan tempoh
memegang jawatan. Jawatan Presiden dihadkan kepada dua penggal sahaja
supaya seorang pemimpin tidak terlalu lama memegang kuasa. Ini akan
menjadikan institusi Presiden UMNO lebih bertanggungjawab kerana
penyandang jawatan ini tahu kuasa yang ada pada beliau tidak kekal
selama-lamanya.
57.Namun, jangan kita salahkan kuasa semata-mata.
Lihat diri kita sendiri. Kalau kita tidak biarkan kuasa merosakkan
kita, maka kita tidak akan rosak. Tuhan memberikan kita akal untuk
membuat pilihan. Jadi, buatlah pilihan yang betul. Kalau kita tahu
salah, jangan buat. Kalau kita buat juga, pasti kita akan rosak. Dan
kalau kita dah terbuat silap, mengaku sajalah dan perbetulkan kesilapan
kita. Kerana memperbetulkan kesilapan juga adalah satu perbuatan yang
betul, dan insyaAllah kita akan selamat. Jangan kita tegakkan benang
yang basah kalau kita dah tahu ianya salah. Jadi, always do the right
thing and we will never go wrong.
58.Saya petik kata-kata rakan
FB saya, Saudara Izhar Pawancheek. Beliau berkata, “UMNO perlu muhasabah
diri dan berani membetulkan kesilapan. Jika UMNO jatuh (na’uzubillah)
bukannya sebab orang lain, tetapi kerana UMNO tidak lagi menepati
kehendak rakyat.”
59. Keempat, ramai yang mahu supaya UMNO
kembali kepada semangat asal perjuangan parti, iaitu untuk membela
agama, bangsa dan negara. Kita mesti ingat bahawa, orang Melayu hari ini
sudah banyak berubah. Mereka semakin berpendidikan, peka dengan isu-isu
semasa dan berfikiran lebih terbuka. Mereka mempunyai banyak pilihan
dalam mengundi parti dan memilih pemimpin yang terbaik untuk mewakili
mereka.
60.Kita tidak boleh berkata kepada mereka kamu tiada
pilihan. Mesti undi UMNO. Kalau UMNO hancur, maka hancurlah Melayu. Ya,
itu mungkin akibat yang akan berlaku jika UMNO hancur. Tetapi jika UMNO
terpalit dengan pelbagai masalah, pelbagai isu, banyak kelemahan, orang
Melayu tidak akan menyokong UMNO. Mereka hanya akan menyokong UMNO yang
bersih, UMNO yang amanah, UMNO yang kuat bekerja untuk membela rakyat.
Jangan kerana kita parti Melayu kita berharap orang Melayu akan mengundi
kita hingga kiamat. Tidak! Kita juga mesti sentiasa memperbaiki parti
supaya orang Melayu terus menyokong kita.
61.Kembalilah kepada
semangat asal perjuangan UMNO iaitu untuk membela agama, bangsa dan
negara. Jangan perkataan ini hanya disebut manis di bibir. Buktikan
dengan perbuatan kita dan kesungguhan kita untuk membela orang Melayu.
Jika kita leka, padah menanti UMNO dan bangsa Melayu. Saya agak tertarik
tetapi pada masa yang sama risau juga dengan komen rakan FB saya
Saudara Hairuzi. Beliau berkata, “Melayu boleh hidup tanpa UMNO, tetapi
UMNO tidak boleh hidup tanpa Melayu”.
62.Kelima, ramai yang
meminta suatu perkara yang agak sukar untuk saya sebut. Amat berat hati
saya tetapi apakan daya. Jika saya tidak sebut, saya tidak amanah kepada
rakyat. Saya lihat dalam facebook saya, komen kedua paling banyak
selepas kos sara hidup ialah desakan supaya Datuk Seri Najib berundur.
Ini dalam facebook saya. Mungkin tuan-tuan boleh semak samada di dalam
facebook Datuk Seri Najib sendiri, di twitter dan juga dalam
pertemuan-pertemuan dengan rakan-rakan dan kaum keluarga. Perkara ini
banyak disebut oleh ramai orang. Saya nak tegaskan, bukan hak saya untuk
meminta Presiden berundur. Apa lagi membuat desakan. Cuma ini adalah
pandangan sebahagian besar daripada rakyat. Jadi, apa yang boleh saya
katakan kepada Datuk Seri Najib, “it is your call, Sir. Ask your moral
conscience. Do the right thing for the interest of the people and the
country. Fa iza azamta fa tawakkal ‘ala llah. When you make your
resolution, then leave it to Allah”.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
63.Sadly, we have lost the loving feeling, the government that cares,
the government that is concerned with the livelihood of simple folks.
What should UMNO do? UMNO cannot be oblivious to all these malaise.
64.Then there is grave issue of lack of integrity. Many mistakes had
been done, blunders had been made and there is huge burden that the
rakyat have to bear! It is very costly! Not just on the future
generation, but also the current one. Why should the rakyat be made to
suffer all the burdens simply because of sheer lack of integrity, greed
and gluttony on the part of the leadership?
65.Even the Malay
Rulers have spoken. I appeal to the Malay Rulers to play their
appropriate role as Guardian of Islam, Malay and the People! The
relevancy of the institution of the Sultanate depends heavily on the
Malay Rulers’ role in solving the present crisis that befalls our
nation.
66.As for UMNO, if it wants to regain the trust of the
people, it must change! It must become a party that cares for the
rakyat. It must get rid of money politics and deep rooted patronage. It
must be led by able persons of high moral character. It must be prepared
to be the party of the future, not the party of the past. It must have a
national agenda that cares for the people regardless of race or
religion.
67.If UMNO doesn't change, the Rakyat will change UMNO!
These are painful facts. I would rather appeal UMNO to undergo this
painful surgery now than face uncertain future in a state of coma and
slow death later. The reform process is yet not seen. If we are serious
about it, we have to undergo true reform sooner than later.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
68.Biarlah saya berterus terang di sini. Siapa yang menjadi barah dan
nanah di dalam UMNO mesti ditolak! Demi menyelamatkan UMNO, Melayu dan
Negara, barah dan nanah di dalam UMNO harus dibuang. Saya sudah
menunaikan tanggungjawab saya! Saya mungkin berhadapan dengan
kemungkinan disingkirkan daripada parti walaupun apa yang saya ungkapkan
pada malam ini adalah atas rasa cinta saya kepada Parti Keramat ini.
69.Dalam perhimpunan nanti, saya mungkin akan menjadi bahan celaan,
seolah-olah saya telah melakukan dosa yang besar. Saya percaya, saya
tidak melakukan apa-apa kesalahan. Saya lakukan semua ini atas dasar
prinsip dan tuntutan agama. Kalau saya mahu selamat, mungkin saya perlu
diam sahaja dan selamatlah saya. Mungkin saya masih Timbalan Perdana
Menteri. Tetapi, jika saya berbuat begitu maka saya tidak berlaku adil
kepada parti dan negara. Jika saya hanya memikirkan kedudukan dan
kepentingan saya, mungkin saya telah menerima tawaran-tawaran lumayan
Perdana Menteri dan berdiam diri.
70.Saya bersedia untuk
berkorban. Bagi saya yang penting ialah prinsip perjuangan parti, bukan
kepentingan diri. Nilai perjuangan parti adalah lebih tinggi daripada
nilai kepentingan diri. Ianya sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Yang
penting ialah kita tumpukan kepada penyelesaian masalah negara yang
kritikal. 3 juta ahli parti dan 28 juta rakyat sedang bergantung harap
kepada keutuhan dan kestabilan parti kita.
71.Saya ingin
menyatakan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada YABhg Tun Dr Mahathir
yang tidak pernah putus asa berjuang untuk menyatakan kebenaran demi
kepentingan UMNO, orang Melayu dan negara. YABhg Tun, you earned my
greatest respect, and you will never be alone, Sir.
72.Saya juga
menghargai semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin akar umbi,
ketua-ketua cawangan, ketua-ketua pemuda cawangan yang sudah mula berani
bersuara. Teruskanlah bersuara. Jangan gentar dengan ugutan dan
tekanan. Pemimpin sebenar bangkit di atas jiwa perjuangan, bukan jiwa
kerdil yang tunduk pada ketakutan. Saya merayu kepada ahli-ahli parti
supaya tidak berdiam diri. Beranilah nyatakan kebenaran, kerana
kebenaran pasti akan menang akhirnya.
Kepada anak-anak muda, masa
depan negara ini adalah milik anda. Peloporilah satu usaha yang
bersepadu untuk membentuk satu konsensus bagi menentukan halatuju dan
masa depan negara.
73.Kita tiada pilihan. Kita tidak boleh
menoleh ke kiri atau ke kanan. Sudah tentu kita tidak boleh undur. Kita
cuma ada satu pilihan jika kita benar-benar mahu melihat parti kita dan
Negara kita terus maju, dihormati dan dijadikan teladan sebagai
pentadbir yang jujur, ikhlas dan berwibawa. Saya ingin baca di sini
beberapa bait sajak anak Johor, sasterawan Negara tanpa bandingan, Datuk
Usman Awang atau Tongkat Warant:
Apakah ini derita diri dalam mimpi
Atau kenyataan pahit menyepit
Pada lena yang membunuh kehidupan manusia
Sama-sama kita rangkul menguji diri
Kawan-kawan ku yang dikasihi
Di belakang duri di depan api
Kita tidak bisa undur lagi
Duri dan api, tajam panasnya kita hadapi
Semalam dan hari ini kita diukir sejarah
Di mana air mata tidak akan menitik tumpah
Sebab kebulatan ikrar tak akan merubah
Apa saja kita tidak akan menyerah
Ingatlah kata pujangga Usman Awang juga:
Anak Melayu, namamu telah diseru,
Jawablah, sebelum lidahmu jadi bisu.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim
Engkau kurniakanlah kepada pemimpin kami hidayah dan panduan,
Engkau kurniakanlah kepada negara kami nikmat kesejahteraan dan keselamatan,
Engkau kurniakanlah kepada kami nikmat keamanan, kemakmuran dan perpaduan.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim
Engkau berikanlah kekuatan kepada kami untuk berjuang menegakkan agama Mu yang suci,
Engkau tiupkanlah semangat di jiwa kami untuk menghadapi dugaan dan ranjau berduri,
Engkau tetapkanlah hati kami untuk meneruskan perjuangan parti kami yang murni.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim
Sesungguhnya kami adalah hamba-hamba Mu yang pasrah,
Hanya kepada Mu kami berharap dan berserah.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rah[truncated by WhatsApp]
Mohon diberikan perhatian :
Ada perkara yang saya mohon kawan2 jelaskan di sini secara berfakta dan rasional.
Apabila melayu merah (bukan semua melayu) marah kpd cina kuning (hampir semua cina), saya nak tengok contoh2 apa yang orang cina buat kepada orang melayu sehingga orang melayu terasa seperti ditolak2?
Apakah kesombongan bercakap segelintir peniaga cina terhadap orang melayu di low yatt sudah cukup untuk mencetuskan rusuhan kaum?
Atau apakah faktor2 lain yang boleh dijadikan asas untuk orang melayu memberontak?
Harap mana2 kawan yang boleh kongsikan pandangan sila hulurkan hujah anda di sini secara sopan.
Saya alu2kan semua orang tanpa mengira bangsa dan agama.
Silakan.
Terima kasih.
(Saya hendak copy & paste semua pandangan ke dalam blog saya)
Ada perkara yang saya mohon kawan2 jelaskan di sini secara berfakta dan rasional.
Apabila melayu merah (bukan semua melayu) marah kpd cina kuning (hampir semua cina), saya nak tengok contoh2 apa yang orang cina buat kepada orang melayu sehingga orang melayu terasa seperti ditolak2?
Apakah kesombongan bercakap segelintir peniaga cina terhadap orang melayu di low yatt sudah cukup untuk mencetuskan rusuhan kaum?
Atau apakah faktor2 lain yang boleh dijadikan asas untuk orang melayu memberontak?
Harap mana2 kawan yang boleh kongsikan pandangan sila hulurkan hujah anda di sini secara sopan.
Saya alu2kan semua orang tanpa mengira bangsa dan agama.
Silakan.
Terima kasih.
(Saya hendak copy & paste semua pandangan ke dalam blog saya)
Even the Chinese Ambassador had to be there to calm the nerves of the traders at Petaling Street. Can we...
malaysia-chronicle.com|By Iskandar Dzulkarnain 1/9