Friday 31 January 2014

Asas 'Pelan Perpaduan Nasional' Diperingkat Akar Umbi

Sambutan Tahun Baru Cina Di Semerak
Saya telah dijemput hadir ke satu majlis jamuan hari raya cina di peringkat DUN Semerak pada malam 31hb Jan 2014. Program bermula jam 9 malam bertempat di Bangunan Usahawan Muda (Belia) DUN Semerak Pasir Puteh bersebelahan Balai Polis Cherang Ruku.

Program diisi dengan ucapan oleh wakil kaum tionghua Semerak diikuti dengan ucapan oleh Sdr Wan Hassan Wan Ibrahim, Penyelia DUN. Acara selingan yang diadakan ialah penyampaian hamper, ang pau raya kepada warga emas dan kanak-kanak, makan dan minum dan jalinan muhibbah.

Kehadiran dan sambutan masyarakat cina Semerak terhadap program tahunan ini sangat memberangsangkan walaupun ianya diadakan secara sederhana dan santai sahaja. Mereka datang dengan senyuman mesra dan bersalaman dengan setiap orang seolah-olah seperti sebuah keluarga besar. Inilah pertama kali saya melihat suasana ini secara 'live' di Semerak. Rupa-rupanya program ini sentiasa disambut baik oleh kaum cina walaupun Sdr Wan Hassan kalah dalam pilihanraya yang lalu.

Mereka berkata program seperti ini tidak boleh dihentikan kerana ianya sudah 8 tahun diadakan di Semerak. Mereka tidak kisah tentang kekalahan yang dialami oleh Sdr Wan Hassan tempuh hari. Bagi mereka hubungan mesra dengan Sdr Wan Hassan dan juga lain-lain orang melayu tempatan hendaklah sentiasa disuburkan melalui cara ini. Inilah sahaja kesempatan yang ada untuk mereka yang berada diperantauan pulang setahun sekali pada hari raya cina dan bergaul mesra dengan kawan-kawan melayu. Saya pun bernasib baik kerana boleh juga berjumpa dengan kawan lama satu kelas sekolah dan juga asrama semasa di Sek Men Kamil Pasir Puteh dulu iaitu Sdr Sim Beng Hwa yang sudah menetap di Kuala Terengganu.

Wakil rakyat atau ADUN Semerak yang baru tidak pula menganjurkan sebarang majlis seperti ini untuk mereka, bahkan pembahagian buah tangan raya seperti buah limau pun tidak juga dibuat sepertimana pada tahun 2012 yang lalu iaitu sebelum PRU13. Mungkin inilah nasib yang menimpa mereka apabila ADUN beralih tangan. Mereka tidak lagi mendapat perhatian oleh ADUN yang baru apabila sudah menang dalam pilihanraya yang lalu. Ironinya, calon yang kalah pula tetap memberikan perhatian dan ingin sentiasa menyuburkan hubungan muhibbah dengan mereka seperti biasa.

Sebab itulah saya pernah menulis sebelum ini bahawa gagasan 'Pelan Perpaduan Nasional' akan tetap gagal kerana asasnya tidak pernah mahu diperkuatkan oleh jentera kerajaan sendiri iaitu wakil-wakil rakyat BN di peringkat akar umbi. Bagaimana mungkin sesebuah bangunan tinggi boleh bertahan jika 'foundation'nya tidak kuat? Buatlah rekabentuk atau 'pelan arkitek' secantik mana pun, bangunan itu akan runtuh juga akhirnya jika kekuatan asas pembinaan strukturnya tidak diberikan perhatian dan pengawasan yang sewajarnya.

Sebab itulah juga saya pernah menulis tentang kemungkinan pihak yang lain pula terpaksa menggerakkan Rukun Tetangga di tempat saya jika dilihat KRT yang ada sekarang masih tidak diperkemaskan semula dengan cara dan cadangan yang telah saya sampaikan itu. Jika ini berlaku, bukan 'pelan' yang telah dilancarkan oleh YAB Dato' Sri Najib itu perlu dipersalahkan sahaja. Yang lebih bersalah ialah wakil-wakil rakyat yang tidak mahu memahami tentang kehendak masyarakat dimana mereka menjadi wakil rakyat itu. Sudah tentulah apabila masyarakat dari kaum lain pun tidak mahu didampingi oleh wakil rakyat, pelan seperti ini payah hendak dicapai matlamatnya.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak





Wednesday 29 January 2014

Pelan Perpaduan Nasional


Pelan Perpaduan Nasional

YAB Dato’ Sri Najib telah melancarkan ‘Pelan Perpaduan Nasional’ hari ini. Sudah tentulah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional atau JPNIN menjadi ‘instrument’ atau ‘sayap kerajaan’ yang paling utama dalam merealisasikan hasrat ini. Semua agensi di bawah jabatan ini pula akan digerakkan secara lebih aktif dan agresif termasuk Kawasan Rukun Tetangga atau KRT.

Inilah yang saya dan semua orang menunggu-nunggu selama ini. Pelan seperti ini sudah tentu boleh memberikan semangat dan nafas baru kepada cita-cita mewujudkan suasana perpaduan masyarakat di seluruh negara termasuk kawasan saya, Semerak. Kesungguhan pihak pemerintah mengambil perhatian dan bertindak untuk melakukan sesuatu dalam soal seperti ini sangatlah dialu-alukan oleh semua pihak yang cintakan semangat perpaduan berbilang kaum.

Kita ingin melihat suasana dimana semua bangsa dan kaum bergaul mesra seperti kawan atau keluarga. Walaupun pada peringkat harian, masing-masing dengan kerja dan tugas berlainan tetapi mereka tetap berinteraksi dengan bebas dan harmoni. Walaupun pada peringkat fahaman politik, masing-masing dengan pegangan yang berbeza tetapi mereka tetap menjaga sensitiviti pihak yang lain terutamanya dalam soal budaya dan agama. Suasana seperti ini pernah wujud dizaman perdana-perdana menteri terdahulu terutamanya dizaman Allahyarham Tun Abdul Razak. Tidak pernah dilancarkan sebarang pelan tetapi cukup dengan asuhan perpaduan yang dimulakan dari bangku sekolah lagi.
Namun, pada masa ini suasana baik ini sudah tiada. Hari-hari kita melihat bukan sahaja orang-orang melayu berbalah sesama bangsa sendiri bahkan orang dari berlainan kaum dan agama pun sudah berani mencabar orang-orang melayu dalam soal-soal yang tidak sepatutnya mereka sentuhi iaitu agama.

Saya tidak tahulah apa puncanya maka keadaan ini sudah pun berlaku sampai kepada tahap ini. Saya bukan orang politik dan bukan pengkaji sejarah yang ada ilmu kemasyarakatan tetapi saya mempunyai minat yang mendalam dalam soal ini. Ada orang berkata puncanya kerana ISA dimansuhkan. Oleh itu pemerintah terpaksa menjadi terlalu bertolak ansur atau ‘lenient’ (not strict in the way you punish someone or in the standard you expect). ISA ialah ‘standard’ yang telah dimansuhkan itu.

Sekarang, pemerintah tidak berupaya berbuat apa-apa lagi kecuali merangka startegi-strategi lain untuk mengurangkan suasana panas yang semakin hari semakin menjadi-jadi itu. Sesuatu yang boleh menggantikan ISA tidak mungkin boleh dihasilkan lagi kerana sudah tentu usaha seperti itu dihalang dengan hebat oleh parti-parti pembangkang dalam parlimen. Jadi apa yang boleh dilakukan hanyalah dengan mengadakan pelan-pelan yang dirasakan boleh memberikan kesedaran sahaja. Sebab itu pelan seperti ini agak tidak munasabah dilancarkan baru sekarang.

Walau bagaimana pun ianya tetap sesuatu yang perlu dilaksanakan juga. Lewat atau tidak lewat bukan menjadi penting. Semua pihak harus menyambut baik pelan ini kerana inilah sahaja jalan yang ada jika kita mahukan perpaduan itu dicapai.

Apabila saya berkata begini, saya yakin tentu ada orang yang menyangka saya menyokong BN. Bukan itu maksud saya. Saya ialah seorang penulis bebas yang ‘non-partisan’. Saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik lagi tetapi akan menyokong apa sahaja usaha baik yang dilakukan oleh mana-mana pihak, baik kerajaan mahu pun parti pembangkang. Bagi saya apa yang betul tetap betul, apa yang tidak tetap tidak.

Berbalik kepada soal pelan ini, sebagai seorang penulis bebas ianya tetap akan saya kritik juga. PM Najib lupa bahawa asas kepada kejayaan pelan ini bergantung kepada sejauh mana orang-orang melayu terlebih dahulu bersatu dan berpadu sesama mereka. Selagi orang-orang melayu sendiri tidak boleh disatukan dalam ertikata yang sebenar, selagi itulah pelan ini tidak akan mencapai matlamatnya. Bangsa-bangsa lain tidak akan sekali-kali menyambut dan memberikan kerjasama selagi mereka melihat orang-orang melayu sendiri pun tidak boleh bersatu. Ini adalah kerana konteks perpaduan yang disasarkan itu sebenarnya berpaksi kepada satu tujuan utama sahaja secara terlindung iaitu perpaduan diantara orang-orang melayu dan bangsa-bangsa lain. Orang-orang melayu di satu pihak manakala bangsa-bangsa lain disatukan dipihak yang satu lagi.

Oleh yang demikian perpaduan bangsa melayu sendirilah yang lebih dahulu sepatutnya diusahakan, bukan ‘nasional’. Jika ini dicapai barulah pelan ‘nasional’ ini boleh digerakkan. Jika tidak, buatlah macam mana pun, saya yakin matlamatnya sekadar menjadi retorik dan slogan politik sahaja.

Saya faham bahawa ‘Pelan Perpaduan Melayu’ tidak mungkin kerajaan sendiri yang melancarkannya. UMNO pun tidak boleh juga walaupun parti ini ialah parti melayu dan tunjang pemerintahan negara dalam BN. Yang boleh mengusahakan wadah ini ialah NGO-NGO utama melayu seperti PERKASA dan lain-lain yang seumpamanya. NGO-NGO ini perlu bergabung sesama mereka dan kerajaan memberikan ‘back-up’ atau sokongan di belakang baik dari segi moral mahupun kewangan. Apa yang diperlukan selebihnya ialah komitmen yang tinggi oleh kedua-dua pihak NGO dan kerajaan serta rakyat jelata.

Dengan cara ini barulah matlamat ‘Pelan Perpaduan Nasional’ itu boleh dicapai. Jika tidak, PM Najib akan berhadapan dengan satu lagi reaksi yang tidak menyenangkan dari orang-orang melayu sendiri. Mereka akan berkata bahawa “pelan syok sendiri sahaja, memudahkan kroni mencipta projek, membodek agar tak lari, ….”  dan bermacam-macam lagi tohmahan terhadapnya.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

Monday 27 January 2014

Bag Plastik Ubat Pusat Kesihatan Kerajaan

Pagi ini saya ke klinik kesihatan kerajaan cherang ruku (semerak)
terkejut saya apabila pergi nak ambil ubat selepas pemeriksaan
tersedia supit2 utk bubuh ubat
saya tanya pegawai farmasi bila supit2 ini ada?
dia kata baru seminggu
saya tersenyum
(terima kasih kpd KP KKM, ahli group 'Scholars & Learned')

KRT Cherang Ruku (Semerak)

Berita baik utk orang2 Semerak yang baru saya terima melalui emel drp Pengarah JPNIN Kelantan susulan cadangan saya supaya dilantik pengerusi baru utk KRT Cherang Ruku....

Safidah Abu Samah
Today at 8:25 AM

To

Wan Malek
Nazri Bin Mohamed
Normah Nazri
Normah Binti Daud
Herni Juita Binti Mohd Mokhtar
Noor Diana Muhammad
Zainun Aziz

Assalammualaikum w.b.t.

Salam Sejahtera, Salam Perpaduan & Salam 1Malaysia.

Tuan,

1. Terlebih dahulu saya bagi pihak JPNIN Kelantan merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas emel dan keprihatinan tuan berhubung dengan KRT Cherang Ruku.

2. Untuk makluman tuan, perkara ini sedang dalam perhatian dan tindakan pihak Jabatan.

3. Sesungguhnya pihak Jabatan sentiasa menyanjung tinggi dan amat berterima kasih atas segala usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat untuk mengerakkan Rukun Tetangga yang menjadi wadah penting untuk memperkukuhkan kehidupan bermasyarakat.

Justeru, usaha-usaha sentiasa digerakkan untuk mempastikan KRT yang diwujudkan bergerak secara aktif dan memberi impak yang tinggi kepada komuniti.

4. In sha allah, Jabatan akan mengambil langkah yang sebaik-baiknya untuk menangani perkara yang dibangkitkan mengenai KRT ini untuk memastikan keharmonian dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara dan diperkukuhkan.

Sekian, Terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menurut perintah,

Safidah Abu Samah
Pengarah
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
Negeri Kelantan

Friday 24 January 2014

Kelajuan Jalur Lebar Internet Yang Tidak Memuaskan Di Tok Bali

Apabila disebut Tok Bali, pertama semua orang sudah tahu di mana letaknya tempat ini. Tambah lagi ianya tidak jauh dari Pengkalan TUDM Gong Kedak yang menempatkan jet-jet pejuang yang tercanggih iaitu Sukhoi yang dikatakan boleh terbang dengan kelajuan melebihi 3 ribu kilometer sejam dan boleh berhenti diam seketika di udara. Tambah lagi juga, ianya tidak jauh dengan Tok Aman Bali Resort yang berbintang 4 itu. Kedua, kerana Tok Bali akan dibangunkan sebagai sebuah pelabuhan perikanan terbesar Asia Tenggara sepertimana yang dirancang 20 tahun lebih yang lalu.

Ini bermakna bahawa Tok Bali ialah satu kawasan pembangunan mega yang akan melibatkan kos pembangunannya sehingga berbilion ringgit apabila projeknya mula dibangunkan secara bersungguh-sungguh nanti. Sekarang proses pembangunannya masih lagi lembab disebabkan faktor politik sepertimana yang pernah saya tulis sebelum ini.

Walau bagaimana pun, itu tidak bermakna bahawa kelajuan jalur lebar di kawasan ini tidak perlu dipertingkatkan lagi. Penduduknya ramai termasuk pekerja-pekerja yang bekerja dan juga orang-orang berniaga. Mereka semua sudah pandai menggunakan kemudahan internet kerana ianya diperlukan untuk membantu dalam urusan harian kehidupan dan perniagaan mereka termasuk juga oleh pelajar-pelajar sekolah.

Apa yang menjadi rungutan adalah tahap kelajuan yang terlalu rendah di kawasan itu. Oleh kerana ada yang tahu saya menulis, mereka pun meminta supaya saya terbitkan satu artikel ringkas mengenainya di dalam blog saya ini.

Oleh itu, artikel pendek ini bertujuan menarik perhatian pihak-pihak yang berkenaan supaya dapat kiranya dipertingkatkan kelajuan akses internet di kawasan ini sepertimana yang sudah dinikmati oleh kawasan-kawasan yang lain.

(nota: artikel ini saya sudah emelkan juga secara terus kpd YB Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia)

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak

Thursday 23 January 2014

Posting Pilihan Dalam FB

Alhamdulillah akhirnya hari ini pihak SPAD telah menghubungi saya melalui tel susulan artikel saya dlm blog saya mengenai lori2 treler yang mengangkut bijih besi dgn muatan yg terlampau melebihi had muatan sehingga mengakibatkan kerosakan jalan Pasir Puteh - Semerak dan Tok Bali.
Saya memaklumkan bahawa jalan yg rosak itu jika pun diperbaiki dan diselenggarakan di lapisan atas dari masa kesemasa, ianya tidak membawa sebarang makna kerana lapisan bawah atau 'base course' pun mengalami penurunan serious yg menyebabkan jalan menjadi berombak dan tidak rata seperti dahulu.
Cara utk menyelesaikannya hanyalah melalui penguatkuasaan undang2 jalanraya secara tegas tanpa mengambilkira siapa di belakang aktiviti lori2 ini.



sejak dari dulu sy bukan dari kalangan yg suka memuji2 dan memuja2 pemimpin politik secara melulu terutamanya pemimpin2 di tempat saya
saya lebih suka mengkritik kerana saya iginkan kerja dibuat
biarlah org lain yg buat posting seperti itu kerana itu pun diperlukan juga utk pengetahuan org ramai
oleh itu
bila saya dapat tahu wakil rakyat tempat saya merungut dalam ucapannya dihadapan orang ramai semalam
saya ingin nasihatkan beliau supaya sentiasa bertenang dan ikhlaskan diri
kerja sbg wakil rakyat bukan senang
selain kesabaran yg tinggi
kerjasama drp org2 bwh pun hendaklah betul
yg bermuka2 ramai sedangkan org itu sebenarnya dibenci ramai
utamakanlah mereka yg tidak berjawatan dan miskin
kerana merekalah yg ikhlas
dan boleh membantu

Tuesday 21 January 2014

Kekurangan Kritikal Anggota Polis Di Semerak

Beberapa tahun yang lepas, Balai Polis Cherang Ruku (Semerak) telah dibina baru. Begitu juga dengan kuaters anggotanya. Disebabkan pembinaan bangunan-bangunan baru ini, sekali gus pekan Semerak pun telah bertukar wajah dari sebuah pekan yang muram kepada cerah. Balainya cantik dan kuartersnya pula tinggi bertingkat. Sesiapa sahaja yang melihatnya akan merasakan seolah-olah pekan Cherang Ruku ialah sebuah bandar bukan lagi pekan kecil..

Itulah mercu tanda Semerak sekarang. Kawasan di hadapan balai polis ini menjadi kemudahan untuk orang-orang dari luar datang untuk berjumpa orang-orang Cherang Ruku sebelum dibawa ke rumah atau ke tempat yang hendak dituju. Kawasannya lapang dan bersih.

Pekan Cherang Ruku menjadi sebuah penempatan penduduk tersusun dan juga pusat pentadbiran kerana disinilah terdapatnya pejabat pos, sekolah-sekolah, pusat kesihatan kerajaan, klinik swasta, pasar utama, pasar malam, pasar tani dan lain-lain selain daripada balai polis dan kedai-kedai. Walaupun Tok Bali akan dibangunkan sebagai pelabuhan perikanan terbesar Asia Tenggara, namun pekan Semerak tetap akan terus berfungsi sebagai pekan sokongan yang penting. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa 'Tiadalah Tok Bali Jika Tiada Cherang Ruku".

Mungkin disebabkan prasarana yang sudah tersedia inilah maka Balai Polis Cherang Ruku telah dinaiktarafkan. Namun, sayang seribu kali sayang, kos yang telah dihabiskan itu belum sepadan dengan jumlah keanggotaan yang ada. Selain daripada balai polis ini berperanan sebagai pusat balai untuk seluruh kawasan Semerak yang luas, ianya juga untuk memenuhi tuntutan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Semerak yang semakin hari semakin padat.

Saya difahamkan bahawa jumlah pegawai dan anggota yang bertugas di balai ini masih lagi sangat terhad. Saya tidak tahulah kenapa perkara ini dibiarkan sehingga beban tugas yang dipikul oleh pegawai dan anggota-anggota balai ini telah mengakibatkan keciciran banyak tugas-tugas menjaga keselamatan. Seorang anggota dianggap seperti memikul tugas beberapa orang anggota kerana kekurangan ini. Sudah tentulah kita boleh bayangkan betapa berat dan sukarnya mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab kepolisian. Apalagi jika kawasan Semerak sudah dikategorikan sebagai salah satu daripada kawasan paling hitam dalam negeri Kelantan dengan beban kes-kes dadah, curi motosikal dan kereta, bahkan kabel bawah tanah TM pun dicuri juga yang bukan sahaja melibatkan pengguna-pengguna biasa talian telefon tetapi menjejaskan juga pengusaha-pengusaha kedai cyber. Akhir-akhir ini ada pula dikatakan bahawa di Semerak terdapat kes yang sangat berat iaitu memiliki senjata api secara haram.

Jika keadaan kekurangan anggota dalam pasukan polis Semerak ini dibiarkan, saya khuatir usaha pencegahan jenayah akan menjadi bertambah sukar pada masa hadapan. Oleh itu, saya ingin mencadangkan kepada pihak pengurusan tertinggi PDRM dan juga KDN supaya mengambil perhatian keatas perkara ini dengan segera. Jika belum boleh menyediakan dan menambahkan anggota dengan secukupnya lagi, sekurang-kurangnya biarlah separuh dulu untuk meringankan sedikit beban tugas pegawai dan anggota-anggota yang ada.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

Sunday 19 January 2014

Alemy Maggi Ketam Semerak


‘Alemy Maggi Ketam’ Semerak
  
Anak watan Semerak yang pernah gagal dalam dunia perniagaan di Kuala Lumpur sebelum ini. Apabila pulang semula ke kampung duduk termenung memikirkan apalah sangat yang boleh dibuat berbekalkan latar belakang akademik yang ada lalu membuka sebuah kedai kecil di hujung kampung berdekatan rumahnya dan sungai. Pada siang hari tidak ramai pelanggan yang berkunjung kecuali malam. Mereka yang datang ini terdiri daripada kaki-kaki pancing yang datangnya dari serata tempat dalam negeri Kelantan kerana di situlah terletaknya sebuah struktur pintu penahan dan pelepasan air sungai yang dipanggil ‘get’ oleh orang-orang kampung di mana terdapat banyak ikan-ikan seperti siakap putih dan lain-lain yang menarik minat pemancing-pemancing untuk berkunjung ke situ pada malam hari.

Di situlah bermulanya episod penjenamaan ‘Alemy Maggi Ketam’ secara tidak langsung. Alemy ada seorang ayah yang bekerja kampung yang selalu turun ke sungai menahan ‘bito’ ketam iaitu sejenis perangkap ketam yang diturunkan ke dasar sungai. Ketam yang diperolehi itu dibawanya ke warong Alemy selain dijual kepada orang-orang kampung. Kisah resipi ini bermula apabila ada pelanggan yang meminta supaya dibuatnya maggi rebus dengan ketam sebagai tambahan ke dalam menu.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Rasa sedap maggi bercampur ketam ini disukai pemancing-pemancing yang datang memancing di ‘get’ itu. Berita disebarkan dari mulut ke mulut bahawa terdapat satu warong kecil di ‘get Kampung Lembah’, Semerak yang menyediakan menu maggi ketam yang menyelerakan. Jadi pemancing pun tidaklah perlu risaukan perut yang lapar kerana warong ini dibuka sehingga pagi. Ada pula yang berpendapat bahawa ketam bagus untuk mengurangkan risiko jangkitan demam denggi walaupun ianya tiada pengesahan secara saintifik oleh mana-mana pakar perubatan.

Alemy melihat bahawa peluang keemasan untuk mengembangkan perniagaannya tidak harus disia-siakan. Oleh kerana kedudukan warongnya agak jauh masuk ke dalam kampung, beliau membuat keputusan untuk keluar ke pekan Cherang Ruku dengan menyewa sebuah daripada kedai-kedai Majlis Daerah Pasir Puteh atau MDPP berhampiran tapak pasar malam.

Di sinilah nama ‘Alemy Maggi Ketam’ mula mendapat penjenamaannya yang sebenar diperingkat nasional. Tokoh-tokoh ternama mulai datang untuk merasai hidangan istimewa ini. Ada yang berpangkat dan bergelar, ada tokoh-tokoh politik, ada ahli-ahli perniagaan dan tokoh-tokoh korporat, ada pegawai-pegawai tinggi kerajaan, ada selebriti-selebriti terkenal dan berbagai-bagai lapisan masyarakat yang datang dari seluruh negara. Dengan bantuan daripada kawan-kawan, gambar mereka yang pernah berkunjung ini diambil dan dipaparkan di dinding bahagian dalam kedainya.

Pada mulanya Alemy hanya menyewa sebuah sahaja daripada deretan bangunan kedai-kedai MDPP ini. Oleh kerana sambutan begitu memberangsangkan, sekarang premis perniagaannya sudah dibesarkan kepada empat pintu secara bersambung. Pernah beliau sendiri memaklumkan kepada saya bahawa purata jualan atau ‘sale’ setiap malam ialah diantara RM3,000 ke RM5,000. Pernah juga katanya sewaktu musim pilihanraya kecil DUN Kuala Besut baru-baru ini, jualan yang diperolehinya mencecah RM50,000 untuk tempuh 10 malam walaupun pada masa itu ialah bulan Ramadan. Itu juga telah menyebabkan isu cuba dibangkitkan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh bahawa pemimpin-pemimpin dan orang-orang UMNO dari luarlah yang berkunjung ke kedai Alemy sedangkan Alemy sendiri orang PAS.

Beliau berkata jika sesiapa yang ingin datang adalah digalakkan supaya membuat tempahan melalui telefon atau secara on-line terlebih dahulu. Untuk tujuan itu, anak-anaknya telah membantunya menyediakan sebuah website dalam internet iaitu www.alemymeggiketam.blogspot.com. Orang ramai bolehlah melayari laman webnya itu untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat tempahan. Pelanggan-pelanggan tidak perlu bimbang tentang stok ketam hidup kerana beliau mengimportnya jika bekalan tempatan tidak mencukupi.

Itu sekadar perspektif latar belakang seorang usahawan tempatan yang namanya sedang meniti di bibir semua orang. Seorang anak kampung biasa yang dimurahkan rezekinya oleh Allah SWT sehingga namanya menjadi begitu terkenal walaupun pernah gagal dalam bidang perniagaan lain di tempat orang iaitu di Kuala Lumpur. Orang-orang Kuala Lumpur pula sebaliknya ramai yang berkunjung apabila datang ke Kelantan. Tidak hairanlah jika satu hari nanti beliau membuka pula cawangan-cawangan di tempat lain, mungkin di seluruh tanah air termasuk Kuala Lumpur.

Walaupun begitu, sesiapa sahaja yang belum mengenali Alemy ini sudah tentu akan terkejut besar jika bertemu dan bersemuka dengannya. Beliau sama sekali bukan sepadan dengan namanya. Dengan setiap hari menunggang motor dan bersinglet pagoda putih sahaja, sudah tentu orang tidak menyangka beliau ialah tuanpunya ‘Alemy Maggi Ketam’ yang tersohor itu. Apalagi jika pelanggan yang berkunjung jarang berpeluang berjumpa dengannya kerana beliau menggunakan sepenuh masanya berperanan sebagai ketua tukang masak di dapur dengan dibantu oleh isteri dan anak-anaknya, bukan sebagai ‘towkey besar’ dengan pakaian yang kemas dan cantik.

Bukan tidak ada ushawan-ushawan lain yang juga berjaya di Semerak. Namun, mereka yang ada ini kebanyakannya cepat mempamerkan kejayaan perniagaan mereka dengan berkereta besar dan berpakaian mahal. Kalau kontraktor contohnya, sudah tentulah awal-awal lagi memandu kereta mewah dan memakai jam’Rado’ contohnya, walaupun projek hanyalah kelas F sahaja.

Sebagai anak Semerak saya merasa bangga dengan adanya seorang usahawan muda tempatan seperti Alemy ini. Beliau patut dicontohi kerana walaupun sudah dianggap berjaya tetapi masih mengekalkan sikap rendah diri dengan tidak mahu mempamerkan apa-apa pada dirinya yang boleh melambangkan kejayaan perniagaannya secara riak dan takabbur.

Itulah kisah kejayaannya yang bermula hanya dengan satu resipi percubaan semata-mata diatas permintaan kaki-kaki pancing malam. Alemy tidak boleh lupa kepada kaki-kaki pancing yang telah membantu memberikan ilham ini kepadanya kerana beliau tidak pernah menyangka dan menduga bahawa 'experiment' ini telah membawanya kepada satu dimensi baru dalam hidupnya.

Jenama ini menjadi miliknya.  

(nota: saya menulis tentang beliau secara sukarela tanpa sesiapa pun memintanya dan tanpa sebarang niat yang lain melainkan untuk tujuan supaya diambil contoh oleh lain-lain usahawan terutamanya dalam soal menunjuk-nunjuk)

Syabas Alemy dan Tahniah.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

Ucapan Tahniah Untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin


Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada YAB Tan Sri Dato' Seri DiRaja Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang telah menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato' Seri DiRaja dari KDYMM Sultan Kedah sempena ulang tahun keputeraan baginda semalam.

Friday 17 January 2014

Perlantikan Pengerusi JKKKP

Isu Perlantikan Pengerusi JKKKP (revised)

Sebenarnya saya bukanlah berminat sangat untuk mencampuri urusan ini. Sebab itulah saya tidak banyak menyentuh tentang perkara ini dalam tulisan-tulisan yang lalu kecuali sedikit nasihat tentang kriteria perlantikan. Itu adalah urusan JPP untuk menentukannya. Sudah tentulah JPP lebih tahu siapa orang-orang yang sepatutnya dilantik. Kalau orang lama didapati masih sesuai, maka orang itu akan tetap dilantik semula lagi. Jika sebaliknya, orang lain akan digantikan.

Walau bagaimana pun, di Semerak terdapat sedikit keperluan untuk saya menulis tentangnya. Ada tempat atau mukim dimana permohonan berlaku melibatkan penjawat lama dan pemohon baru. Secara kebetulan saya sendiri berkawan rapat dengan kedua-duanya. Sudah tentulah agak serba salah juga bagi saya untuk menulis tentang kedua-duanya apalagi untuk membuat perbandingan.

Apa yang saya boleh katakan di sini ialah JPP seharusnya bekerjasama rapat dengan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh dalam menentukan siapa diantara keduanya yang hendak dilantik. Walaupun Ketua UMNO Bahagian dianggap tidak boleh memberikan kata putus dalam hal ini kerana urusan ini terletak kepada JPP tetapi beliaulah yang lebih mengetahui siapa sebenarnya orang yang lebih layak. Memanglah kepada semua pemohon mana-mana Ketua UMNO Bahagian pun akan berkata bahawa urusan perlantikan terserah bulat-bulat kepada JPP dan beliau hanya menerimanya sahaja. Sebenarnya bukan begitu.

JPP diwujudkan kerana negeri Kelantan diperintah oleh PAS. Jika BN sebaliknya yang memerintah, JPP tidak diperlukan lagi. Oleh itu, JPP ialah sebenarnya ‘kerajaan’ BN untuk negeri Kelantan secara tidak langsung. Oleh itu juga, UMNO ialah parti yang ‘mengawal’ dan ‘menyelia’ JPP selain daripada MCA dan MIC. Maka dengan itu, Ketua UMNO Bahagian setiap daerah ada peranan dan ‘kuasa’ keatas JPP secara tidak langsung walaupun dinafikan dalam isu perlantikan Pengerusi JKKKP ini mithalnya.

Apabila setiap Pengerusi JKKKP ini dilantik, mereka akan mula bertugas dan memikul tanggungjawab untuk Ketua UMNO Bahagian dalam segala urusan yang berkaitan politik, bukan JPP. JPP hanya membayar elaun bukan memberikan arahan kerja. Ketua UMNO Bahagianlah yang akan memberikan arahan dalam setiap urusan mereka dan juga membuat keputusan. Ini telah berlaku sudah lama dan semua orang sudah tahu. Sebab itu, kita selalu melihat dimana ada Ketua UMNO Bahagian, di situlah adanya ramai Pengerusi JKKKP ini bersamanya. JPP tidak turun padang untuk urusan politik kecuali dalam program-program tertentu sahaja. Apa sahaja program yang hendak dilaksanakan oleh UMNO dan BN, Pengerusi-Pengerusi JKKKPlah yang diberikan tugas dan harapan oleh Ketua UMNO Bahagian selain Ketua-Ketua Cawangan.

Terdapat satu mukim di Semerak dimana orang ramai sudah lama tidak sukakan cara bekerja Pengerusi JKKKP mukim itu. Saya dimaklumkan jika orang ini masih dikekalkan lagi, sekurang-kurangnya separuh daripada anak-anak mukim ini akan bertindak melakukan protes politik dengan menaikkan bendera PAS. Jika ini berlaku, sudah tentulah beban tambahan akan ditanggung oleh Ketua UMNO Bahagian, bukan JPP.

Berdasarkan kepada inilah, maka sudah tentulah seseorang Ketua UMNO Bahagian menginginkan orang-orang yang memegang jawatan Pengerusi JKKKP ini terdiri daripada mereka yang boleh dipercayainya. Sebab itulah saya katakan, orang-orang yang akan dilantik akan terdiri daripada mereka yang diingini oleh Ketua UMNO Bahagian, bukan JPP.

Oleh itu, kepada mereka yang berminat untuk menjawat jawatan ini saya ingin menjelaskan bahawa peluangnya terletak semata-mata diatas penilaian dan keputusan yang akan dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian, bukan JPP. Jika anda layak dan ianya dalam pengetahuan Ketua UMNO Bahagian, anda tetap akan dilantik oleh JPP. Apalagi jika anda pun rapat dengannya. Jika dalam soal keputusan calon pilihanraya pun seorang Ketua UMNO Bahagian boleh membantah dan mendesak supaya senarai calon yang telah diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti diubah, inikan pula soal perlantikan Pengerusi JKKKP.

Akhir sekali, saya ingin menyeru kepada semua yang berjaya nanti supaya janganlah menjadikan elaun sebagai sandaran utama untuk memegang jawatan ini. Keutamaan harus diberikan kepada tugas dan tanggungjawab terhadap masyarakat. Saya berani berkata begini kerana sayalah orangnya yang telah menghantar emel kepada YAB Perdana Menteri dua tahun yang lepas supaya elaun Pengerusi JKKKP dinaikkan. Orang yang meminta saya berbuat demikian itu sayangnya telah meninggal dunia lebih kurang dua atau tiga bulan yang lalu tanpa sempat menikmati kenaikan elaun ini. Al-Fatihah.  

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.

Wednesday 15 January 2014

Rukun Tetangga PAS



Rukun Tetangga atau RT Ala PAS

Sepertimana yang sudah ketahui oleh semua pembaca blog saya bahawa aduan tentang KRT Cherang Ruku (Semerak) telah dibuat kepada pihak berwajib baru-baru ini. Semoga seorang pengerusi baru dilantik untuk menerajui KRT ini sebagai menggantikan pengerusi sedia ada sepertimana yang dikehendaki oleh orang ramai.

KRT ialah sebuah organisasi yang tiada kena mengena dengan mana-mana badan politik. Namun ianya adalah dibawah seliaan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional JPM atau JPNIN. Disetiap negeri ada Pengarahnya. Melaluinyalah segala peruntukan disalurkan. Ini bermakna bahawa soal KRT ialah soal kerajaan persekutuan, bukan kerajaan negeri.

Disebabkan inilah, saya dapati kerjasama untuk melibatkan orang-orang PAS kedalam KRT menjadi sesuatu yang agak sukar diperolehi. Namun, saya memahaminya kerana apa sahaja program yang ada kaitannya dengan kerajaan pusat di bawah BN sudah tentulah tidak akan disokong dan diberikan kerjasama oleh pihak kepimpinan PAS dan orang-orangnya. Dengan itu, usaha untuk menarik orang-orang PAS menyertai organisasi ini tidak perlu dilakukan.

Apabila saya timbulkan isu ini secara terbuka baru-baru ini di dalam blog saya, terhasil satu reaksi baru daripada pihak kepimpinan PAS di tempat saya. Mereka berkata bahawa jika KRT yang diterajui oleh orang UMNO ini tidak berfungsi dengan sebaiknya untuk orang ramai, satu kumpulan baru akan diwujudkan oleh mereka sendiri tidak lama lagi. Mereka berkata bahawa KRT (mungkin dengan nama yang lain) yang akan diwujudkan ini sudah tentulah ada kaitannya secara langsung dengan kerajaan negeri. Peruntukan akan dipohon daripada kerajaan negeri sepertimana juga KRT sedia ada yang memohonnya daripada kerajaan pusat. KRT ala PAS ini akan menjadi alternatif untuk orang ramai.

Jika penubuhan kumpulan baru ini benar-benar terjadi, maka KRT Cherang Ruku (Semerak) akan terbahagi kepada dua kumpulan yang berasingan. Jika kedua-duanya aktif, maka berlakulah persaingan. Jika KRT sedia ada tidak aktif dan tidak dipulihkan semula, maka sudah tentulah KRT baru di bawah PAS ini akan menjadi pilihan untuk orang ramai.

Dalam hal ini saya tidak mementingkan apa yang akan dilakukan oleh pihak kepimpinan PAS. Mereka berhak merancang dan melaksanakan apa sahaja program dan tiada sesiapa pun boleh menghalangnya walaupun meniru apa yang dibuat oleh kerajaan pusat. Peluang sudah lama berada di tangan orang-orang UMNO melalui KRT ini untuk kebaikan orang ramai tetapi telah tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya. Apabila kes dibawa kepada perhatian pihak berwajib, alasan demi alasan pula diberikan bukan pengakuan untuk memperbetulkan keadaan.

Sebagai seorang yang cintakan perpaduan orang-orang melayu sudah tentulah saya tidak berapa menyukai apa sahaja unsur-unsur politik yang boleh menambahkan lagi perpecahan orang-orang melayu. Sudah tentulah kewujudan KRT baru oleh PAS ini menambahkan lagi suasana perpecahan ini. Namun, seperti yang telah saya katakan bahawa PAS tidak boleh dipersalahkan. Peluang sudah tentulah akan direbut diatas kelemahan UMNO sendiri. Sebelum ini pun usaha untuk cuba menarik orang-orang PAS supaya mereka juga dilibatkan dalam KRT tidak pernah dilakukan kerana dianggap sukar dan mustahil.

Oleh itu, satu sahajalah yang menjadi harapan saya dan kawan-kawan dalam konteks ini. Diharap kedua-dua kumpulan ini akan tetap merintis jalan kearah perpaduan yang saya maksudkan itu. Biar pun berasingan, kedua-dua kumpulan ini harus berada pada tahap ‘kerjasama’ bukan ‘persaingan dan permusuhan’ kerana apa yang hendak dilakukan ialah untuk kepentingan dan kesejahteraan bersama. Soal politik hendaklah diasingkan. Saya akan cuba berpakat dengan kawan-kawan dari kedua-dua belah pihak untuk diadakan pertemuan dan perbincangan dari masa kesemasa kearah mewujudkan suasana perpaduan ini. Dengan itu diharap aktiviti masing-masing pihak tidak bertentangan atau bertindih yang boleh mencetuskan perbalahan dan permusuhan kerana ianya adalah sia-sia dan merugikan semua pihak.

Untuk itu, sekali lagi saya menyeru dan berharap pihak JPNIN Kelantan segera melakukan perubahan dan reformasi keatas KRT Cherang Ruku (Semerak) sepertimana dikehendaki orang ramai supaya orang baru yang akan memegang jawatan pengerusinya ialah orang yang boleh berinteraksi dengan kepimpinan PAS selain daripada mempunyai minat yang mendalam terhadap perpaduan dan muhibbah. Jika diminta, saya boleh cadangkan senarai nama orang-orang yang dimaksudkan itu untuk di’temuduga’ (jika perlu) dan dilantik.

Nafas baru hendaklah disuntiik kepada KRT Cherang Ruku (Semerak) oleh JPNIN. Jika tidak, rungutan orang ramai ini mungkin akan diterjemahkan pada suatu masa nanti melalui tindakan-tindakan tertentu yang mungkin tidak akan menyenangkan pihak kerajaan pusat yang memerintah.

Oleh
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.      

Sunday 12 January 2014

Respon Positif Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan

saya ada satu soalan nak tanya Jab Kesihatan Neg Kelantan...
tidakkah seorang MA yang bertugas malam di bahagian kecemasan perlu berada di dalam kawasan pusat kesihatan sepenuh masa pada waktu beliau bertugas supaya jika ada kecemasan beliau pun senang untuk dihubungi dan dicari? Tidakkah menjadi suatu kesalahan jika MA yang bertugas itu pulang ke rumah di luar kawasan pusat kesihatan?
  • Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Terima kasih atas atas pertanyaan dan keprihatinan tuan. Untuk makluman tuan, berdasarkan kepada Polisi Operasi Kecemasan di Klinik Kesihatan dan Klinik Desa KKM, perkara 7.2 semua anggota bertugas mesti berada di dalam kawasan klinik mengikut giliran dan jadual yang ditetapkan. Di luar waktu pejabat, nama anggota bertugas dan no telefon dipaparkan diluar Unit Kecemasan untuk dihubungi ketika kecemasan. Klinik kesihatan telah disediakan kuarters dan wajib diduduki oleh Pegawai dan anggota khususnya untuk tugasan atas panggilan ( on call) di luar waktu pejabat, hari cuti dan kelepasan am.

    Terima kasih.
  • Wan Malek terima kasih banyak2 tuan diatas maklumat
     
    Tuan, saya ada satu lagi soalan. Apakah polisi membekalkan ubat-ubatan kepada pesakit luar tanpa beg plastik akan dikekalkan? Saya sentiasa melihat terdapat pesakit-pesakit tua tidak selesa yang terpaksa memegang ubat-ubatan dalam tangan dan kadang-kadang ada yang terjatuh ke lantai. Mereka adalah orang-orang kampong yang tidak faham tentang polisi kerajaan. Bolehkah kerajaan mempertimbangkan supaya beg plastik disediakan semula di klinik-klinik kerajaan untuk kemudahan orang ramai?
    terima kasih.