Friday 30 November 2012

Terbitan Khas

Persidangan Agung UMNO 2012 akan melabuhkan tirainya hari ini.
Dengan bekalan yang secukupnya dari persidangan itu, diharap kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh serta seluruh jentera parti pulang dengan langkah-langkah teratur dan tersusun untuk menghadapi PRU13 dengan hati yang ikhlas, jujur, amanah serta penuh setia kepada seruan dan arahan pihak tertinggi kepimpinan parti untuk menghadapi PRU13.
Oleh itu, seluruh jentera hendaklah memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab mereka terhadap PRU13. Soal-soal remeh temeh yang membazirkan masa hendaklah ditinggalkan kerana masanya sudah sangat hampir dan suntuk. Begitu juga masa untuk bersuka-ria sudah juga tiada. Kepimpinan parti Bahagian dan jentera hendaklah bijak menawan hati pengundi. Ego mereka juga hendaklah diturunkan demi parti. Jangan ada lagi mana-mana kepimpinan Bahagian atau jentera parti yang menunjukkan rasa bangga dengan jawatan yang disandang dan menunjukkan sikap 'lebih UMNO' daripada orang lain hanya kerana pergi ke persidangan agung itu.

Dari,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak

Thursday 29 November 2012

Terbitan Khas

Berita Harian atau BH adalah akhbar terbaik berbanding semua akhbar-akhbar lain. BH lebih tepat dan padat beritanya, lebih adil, lebih sederhana dan lebih mampu menyusun dan mengutamakan mana berita yang lebih penting. Saiznya juga lebih sesuai dan selesa sementara ketebalan kandungan beritanya lebih memuaskan pembaca seperti saya. Paling sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian oleh semua peringkat masyarakat samada untuk tujuan rujukan oleh para pelajar atau bacaan santai oleh orang ramai.
Sebab itulah BH merupakan akhbar arus perdana yang paling digemari dan laris di mana-mana jua.
Syabas dan Tahniah saya ucapkan kpd pengurusan BH.

Wednesday 28 November 2012

Terbitan Khas

Ucapan Dasar YAB Dato' Seri Presiden UMNO tadi penuh bersemangat dan memukau. Pengucapannya lancar, jelas dan berisi zahir dari hati yang bersih dan tulus ikhlas sebagai orang yang paling bertanggungjawab untuk menentukan agama, bangsa dan tanah air selamat selepas PRU13.
Semoga semua perwakilan dan juga semua ahli UMNO (baik yang hadir mahu pun yang tidak) dapat betul-betul menghayatinya dan melakukan apa sahaja yang termampu selepas persidangan ini supaya UMNO dan BN dapat mengekalkan kuasa demi agama, bangsa dan tanah air.
Salam 1Malaysia.

Tuesday 27 November 2012

MyDiary (101)


MyDiary (101)
28 Nov 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

PERSIDANGAN AGUNG UMNO 2012

Hari ini ialah hari kedua berlangsungnya Persidangan Agung UMNO Yang Ke-66 di PWTC. Seperti biasa ribuan perwakilan dari seluruh negara hadir. Begitu juga ribuan pemerhati dan ahli-ahli UMNO yang lain pun hadir sama.

Mereka semua ke sana dengan tujuan utama yang sama. Mereka hadir kerana setiap tahun sememangnya persidangan ini diadakan. Yang membezakan pada tahun ini ialah, inilah persidangan terakhir sebelum PRU13.

Yang tidak membezakan pula ialah mereka ke sana seperti biasa kecuali para perwakilan. Lain daripada perwakilan ini, ada yang ke sana semata-mata hanya untuk menikmati keseronokan melihat ribuan orang-orang UMNO lain dari seluruh negara. Mereka ke sana tak lebih daripada tujuan ‘makan angin’ sahaja kerana mereka adalah orang-orang kampong yang sememangnya menunggu peluang untuk ke Kuala Lumpur secara percuma. Jarang-jarang sekali, inilah peluang untuk mereka melihat bandaraya utama Malaysia selain daripada dapat berjumpa dengan sanak saudara atau kawan-kawan di sana.

Mereka tetap nampak ‘ghairah’ dan ceria setiap kali menjelangnya persidangan ini. Awal-awal lagi mereka sudah bercakap tentang hotel mana yang mereka akan menginap, makan di mana dan pergi dengan siapa.

Semua itu tidak salah. Yang salah ialah jika mereka merasa seronok tanpa menyedari bahawa BN masih belum lagi menguasai semula kawasan mereka. Contohnya di Pasir Puteh, dimana parlimen dan ke-empat-empat DUN masih lagi didalam genggaman PAS. Maka, bagi saya ianya adalah sesuatu yang salah jika mereka kesana dengan perasaan seronok bukan dengan perasaan dukacita.    

Keghairahan mereka kerana mendapat kesempatan berada disamping ribuan orang-orang UMNO lain di sana tidak membawa sebarang erti jika di kawasan mereka sendiri suasana politik belum lagi berpihak kepada BN. Keghairahan di sana tiada kena mengena dengan suasana di kampong sendiri. Mereka semua harus pulang selepas persidangan ini bukan dengan ‘wajah kemenangan’ dan bergaya kerana menang kalah BN bukan ditentukan di PWTC, tetapi ditentukan di kampong masing-masing oleh pengundi-pengundi yang tidak pun pergi ke persidangan itu. Disebabkan merekalah yang ke sana, maka merekalah yang seharusnya menggalas tugas dan tanggungjawab utama bagi menentukan pengundi-pengundi memilih BN. Tunaikanlah dahulu tugas ini secara serious, barulah boleh dizahirkan ‘wajah-wajah kemenangan’ selepas itu jika BN mengambilalih kuasa.

Dengan harapan semoga Persidangan Agung UMNO Kali Ke-67 nanti menyaksikan ‘wajah-wajah kemenangan’ sejati yang saya tidak akan pertikaikan lagi di dalam blog saya.

Dari
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak
Pasir Puteh
Kelantan.

Monday 26 November 2012

Terbitan Khas


Persidangan Agung UMNO 2012 bermula hari ini.

Tahun lepas, saya berkunjung sekejap sekadar untuk memenuhi keinginan menghadirkan diri ke satu tempat dimana berlangsungnya suatu acara kemuncak tahunan bagi parti kesayangan saya, UMNO.

Tahun ini, lagilah memuncak keinginan saya untuk sama-sama ke sana kerana inilah persidangan terakhir sebelum PRU13 tetapi malangnya saya tidak mungkin boleh ke sana kerana tugas dan tanggungjawab keluarga. Sudah tentulah Persidangan kali ke-66 ini amat menarik dan amat penting untuk dihayati oleh setiap ahli UMNO.

Apa pun, sekali lagi saya ucapkan Selamat Bersidang kepada perwakilan dari seluruh negara. Mudah-mudahan segala urusan dipermudahkan Allah SWT.

Sunday 25 November 2012

Terbitan Khas

Selaku ahli UMNO dan penulis blog ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan 
"Selamat Bersidang" 
kepada perwakilan UMNO dari seluruh Malaysia dalam "Perhimpunan Agung UMNO 2012" 
yang akan bermula esok di Kuala Lumpur. 
Semoga persidangan berjalan dengan lancar dan diberkatiNya. 

Daripada
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak, Pasir Puteh
Kelantan

Wednesday 21 November 2012

MyDiary (100)


MyDiary (100)
22 Nov 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

Program Parti UMNO vs Parti PAS

Pada 20hb November, 2012 iaitu hari Selasa waktu pagi, saya terpandang begitu ramai orang di hadapan pejabat ADUN Semerak dengan beberapa buah khemah terpasang sewaktu saya memandu kereta untuk pulang ke rumah saya di Taman Jaya atau Rumah Murah (RM). Apabila saya keluar semula, barulah saya tahu ianya ialah program ‘berkhatan’ kanak-kanak.

Saban tahun, ADUN Semerak tidak lupa untuk memberi khidmat ini kepada kanak-kanak DUN Semerak. Kanak-kanak ini tidak tahu apa-apa tentang politik. Mereka hanya tahu ibubapa mereka membawa mereka ke situ untuk tujuan dikhatankan. Yang tahu selebihnya ialah ibubapa mereka itu. Ibubapa-ibubapa ini sememangnya tahu bahawa mereka mendapat faedah daripada program parti PAS ini. Selain daripada memperkukuh dan memperluaskan lagi sokongan mereka terhadap parti PAS, sekurang-kurangnya mereka boleh berjimat kerana kos sebenar berkhatan ialah RM100.00 seorang tetapi bayaran yang dikenakan hanyalah RM30.00 sahaja atau 30% daripadanya.

Pagi ini saya dimaklumkan bahawa jumlah kanak-kanak yang berkhatan semalam itu berjumlah 98 orang atau orang kampong menyebutnya ‘kurang 2 seratus’. Jumlah doktor yang terlibat menyumbang khidmat pula ialah seramai 7 orang.

Program seperti ini tidak pernah dibuat oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh untuk kanak-kanak yang beribubapakan orang-orang UMNO. Saya tidak tahu mengapa ianya tidak dibuat. Mungkin UMNO Bahagian Pasir Puteh tidak mahu dilabelkan sebagai ‘meniru’ apa yang dibuat oleh PAS kerana program seperti itu sudah dianggap ‘rutin’ tahunan parti PAS pada setiap kali musim cuti penggal akhir persekolahan.

Kalau inilah alasannya, maka apa sahaja yang menjadi rutin parti PAS perlu ditinggalkan termasuk jugalah program ‘kacau asyura’ dibulan Muharam. Namun program ini dibuat juga oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh.

Saya tidak pernah melihat atau mendengar apa-apa yang dilakukan oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh akhir-akhir ini yang boleh dianggap melebihi sambutannya berbanding dengan apa yang dibuat oleh PAS Kawasan Pasir Puteh. Kalau pun acara ‘kacau asyura’ dibuat contohnya, jumlah ‘kawah’ yang dibuat oleh PAS masih banyak bezanya.

Oleh itu, sekarang orang-orang PAS DUN Semerak tidak lagi berkata ‘kami akan ‘mengulangi’ kemenangan dalam PRU13 ini tetapi mereka lebih gemar menggunakan ayat ‘kami akan menang sokmo’.

Saya tidak boleh membuat sebarang andaian tentang mengapa UMNO Bahagian Pasir Puteh begitu lemah dalam bab merancang dan melaksanakan sesuatu. Apa yang saya rasa secara peribadi ialah kelemahan ini adalah disebabkan ketiadaan semangat ‘kesepakatan’ dan ’kerasian’ diantara mereka yang memegang jawatan-jawatan utama parti diperingkat Bahagian. Faktor kedua ialah kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh tidak tahu atau pun tidak suka kepada mana-mana pihak yang berupaya memberikan khidmat nasihat terutamanya orang-orang lama parti atau pun veteran. Kalau pun ada percubaan atau usaha dibuat, ianya hanyalah sekadar sebuah kumpulan baru atau ‘group Facebook’ yang dinamakan sebagai ‘P28 SUARA RAKYAT’  di link Facebook
https://www.facebook.com/groups/212680755531127/  yang dtubuhkan di pejabat UMNO Bahagian Pasir Puteh baru-baru ini. Inipun sudah agak lewat kerana pihak parti PAS sudah lama mengguna peluang IT seperti ini termasuk siaran radio internet sejak bertahun-tahun yang lalu.

Oleh itu, memandang kepada suasana semasa, saya berpendapat secara peribadi bahawa DUN N31 Semerak masih ditahap sukar untuk diambilalih daripada genggaman parti PAS.

Apa pun, Selamat Bersidang saya ucapkan kepada semua perwakilan dari UMNO Bahagian seluruh Malaysia terutamanya dari Pasir Puteh yang hadir di Perhimpunan Agung UMNO 2012 ini. Dengan iringan doa semoga persidangan berjalan dengan lancar sehingga selesai dan direstui Allah SWT.

“BERSATU  BERSETIA  BERKHIDMAT”

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak. 

Saturday 10 November 2012

Terbitan Khas

Peta Lakar ke lokasi Kedai
"Nasi Ayam Peladang"

Sila klik

https://excel.office.live.com/x/ExcelView.aspx?FBsrc=https%3A%2F%2Fwww.facebook.com%2Fdownload%2Ffile_preview.php%3Fid%3D246378218824102%26metadata&access_token=1

Friday 2 November 2012

Terbitan Khas


Makluman: -

Pada 30 Okt 2012 lebih kurang jam 2 pagi, saya telah membawa isteri saya ke Bahagian Kecemasan Pusat Kesihatan Cherang Ruku untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Setibanya kami di sana, tiada seorang pun dijumpai termasuk jaga. Apabila melihat ada papantanda supaya loceng kecemasan ditekan untuk menghantar isyarat kepada petugas, saya pun menekannya dan menunggu selama 10 minit sepertimana yg diarahkan di papantanda itu. Selepas 10 minit tiada sesiapa yg datang, saya pun menelefon kpd nombor yg ditulis di papan kenyataan petugas. Panggilan saya sebanyak beberapa kali tidak dijawab. Disebabkan itu, saya terpaksa bergegas membawa sendiri isteri saya ke Hospital Tg Anis, Pasir Puteh.

Dengan itu, saya ingin menasihatkan kepada semua orang-orang Semerak supaya jangan terlalu mengharapkan perkhidmatan kecemasan di Pusat Kesihatan Cherang Ruku jika terdapat mana-mana ahli keluarga memerlukan rawatan kecemasan ditengah malam. Jika mampu, lebih baik terus ke HTA Pasir Puteh sahaja kerana di sana rawatan kecemasan sudah dijamin tersedia dengan memuaskan.

Harap maklum.

Thursday 1 November 2012

Terbitan Khas


Makluman: -
Kedai 'Nasi Ayam Peladang' isteri saya terpaksa dipindahkan apabila Ahli Lembaga Pengarah PPK Semerak bermesyuarat pada 18 Okt 2012 memutuskan untuk menender semula kedai jika penyewa asal tidak meneruskan sendiri perniagaannya. Surat ini diterima semalam. Oleh itu Tuan Hj Muhammad, penyewa asal iaitu Imam Tua Masjid Al-Taqwa terpaksa menyambung semula perniagaannya, walaupun masih lagi uzur, kerana tidak mahu kedai ini ditarik balik oleh Lembaga Pengarah PPK Semerak yg dipengerusikan oleh Cikgu Hj Tuan Mud Tuan Mat, Gong Manak.
Dengan ini suka saya umumkan bahawa kedai isteri saya akan dipindahkan ke Kuala Semerak minggu depan.
Isteri saya kata, "ingatkan sebagai orang UMNO bolehlah tumpang berniaga di PPK sebab nak tumpang di MDPP takleh"

Sekian untuk makluman.